Jehan risau jika tidak ke gim



BERSENAM ibarat makanan buat pelakon, Jehan Miskin dan dirinya terasa amat rimas jika agak lama meninggalkannya aktiviti kecergasan sama ada di rumah ataupun di gimnasium lantaran kesibukan di lokasi penggambaran.

Kerana sikap rajin bersenam juga, tidak hairanlah Jehan memiliki otot tubuh yang menarik persis atlit bina badan dan untuk mempunyai tubuh sedemikian, Jehan mengakui dia sudah giat mengamalkan aktiviti itu sejak berusia 19 tahun.

Bagaimanapun, usaha yang dilakukan pada peringkat awal tidak semudah yang disangka kerana ketika zaman remajanya, dia tidak memiliki wang untuk membeli peralatan senaman mahupun ke gimnasium.

Justeru dengan daya kreativiti, Jehan dan abangnya mencipta alat senaman sendiri dengan menggunakan barangan sedia ada di rumahnya.

“Dulu tak ada duit nak beli peralatan untuk kecergasan. Jadi saya dengan abang patahkan kayu pengelap lantai dan kemudiannya ambil baldi besar dan masukkan buku ke dalamnya sebagai pemberat.

“Kerusi piano juga turut jadi mangsa,” katanya sambil tergelak mengingatkan kisah lampaunya.

Apapun, segala-galanya berubah ketika usianya 20 tahun apabila dia bukan saja menyertai latihan kick boxing tetapi turut membeli beberapa peralatan kecergasan.

Selain mengadakan aktiviti senaman di rumah, Jehan turut mengunjungi gimnasium kerana di pusat kecergasan itu, dia berkesempatan menggunakan peralatan lain yang lebih moden.

“Kalau ke gimnasium saya akan melakukan aktiviti kecergasan menggunakan peralatan yang tidak ada di rumah dan kebiasaannya saya melakukannya dalam tempoh sejam,” kata adik kepada bekas gimnas kebangsaan Faiznur Miskin itu.

Jehan yang menjadi ahli di Celebrity Fitness, mengakui keadaan bentuk badannya kadang kala tidak menentu dan bentuk tubuhnya akan berubah andai dia meninggalkan aktivitinya bagi tempoh yang lama.

“Bila menjalani penggambaran panjang iaitu selama tiga minggu, saya tidak dapat mengekalkan bentuk tubuh dan apabila ke gimnasium, instruktor pun agak terkejut melihat perubahan itu.

“Apa boleh buat. Kerjaya perlu diutamakan kerana ia periuk nasi saya dan apabila selesai penggambaran, saya akan kembali melakukan aktiviti kecergasan untuk mendapatkan kembali bentuk tubuh saya,” katanya ketika ditemui di Celebriti Fitness di One Utama, Bandar Utama.

DATA

NAMA: Mohd Jehan Miskin
TARIKH LAHIR: 4 Disember 1979
ASAL: Pulau Pinang
KERJAYA: Pelakon
FILEM: Qaisy & Laila dan Gong
DRAMA: Begitulah Cinta, Miftahul Jamilah dan Ejen 016.

ATLIT IDOLA

Tempatan
Faiznur Miskin (Gimrama)

Luar Negara
Lance Amstrong (Basikal)



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768