Janet sanggup berbasikal di tengah malam
Tetap berkayuh setengah jam sehari di sekitar kawasan perumahan demi kecergasan
SEJAK daripada zaman kanak-kanak, Janet Khoo memang gemar menghabiskan masa lapangnya dengan berbasikal dan aktiviti itu tetap diteruskan sekalipun sibuk dengan jadual padat apabila bergelar artis popular.
Berbasikal menjadi pilihannya kerana dia gemarkan aktiviti lasak dan mudah dilakukan demi memastikan kecergasan.
Janet beruntung kawasan kediamannya di Desa Parkcity mempunyai tempat beriadah, sekali gus memudahkannya mengisi masa yang terluang dengan aktiviti kegemarannya itu bersama-sama anak saudaranya Khoo Chin Kuan.
“Saya memang suka berbasikal sejak zaman kanak-kanak sehingga sekarang. Walaupun sibuk saya tetap meluangkan masa kira-kira setengah jam sehari untuk berbasikal di kawasan perumahan tempat tinggal saya.
“Kerana sukakan aktiviti ini, kadangkala jam 1 pagi pun saya lakukannya, kebetulan sejak berpindah ke sini ada laluan untuk berbasikal. Jadi saya tidak melepaskan peluang. Saya dapat berkayuh dengan tenang kerana kawasan kediaman saya ini selamat dan terkawal. Saya berbasikal hingga berpeluh,” kata pelakon yang mendapat tempat di kalangan penonton Melayu itu.
Sekalipun menggemari basikal, Janet mengakui tidak mengikuti perkembangan acara sukan itu, sebaliknya sukan badminton menjadi kegemarannya sekeluarga. Jika tiada penggambaran, Janet dan keluarga meluangkan masa bermain badminton di Bukit Kiara Equestrian & Country Club.
JANET gemar berbasikal sejak zaman kanak-kanak.
Janet seorang yang aktif bermain badminton di zaman persekolahan dan turut mewakili pasukan sekolah dalam acara itu.
Berbicara mengenai badminton, Janet mengagumi kehebatan jaguh beregu negara, Razif dan Jailani Sidek kerana baginya pasangan itu mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak mudah mengaku kalah.
“Ketika menjadi pemain badminton mewakili sekolah suatu ketika dulu, saya menjadikan Razif dan Jailani sebagai inspirasi dalam mencapai kejayaan saya.
‘Kini saya masih aktif bermain badminton dan berharap dapat beraksi bersama rakan artis yang handal dalam acara ini suatu hari nanti,” katanya sambil melontar cabaran kepada rakan artis lain menguji kehebatannya di dalam gelanggang.
DATA: NAMA: Janet Khoo TARIKH LAHIR: 6 Mac 1973 ASAL: Pulau Pinang KERJAYA: Pelakon, model dan penerbit FILEM: Paloh, Lurah Dendam, Kad Cinta dan Putra DRAMA: Sebening Syawal, Astana Idaman 1 & 2, Permintaan Terakhir Mama
Artikel lain:
|
|
Copyright
2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami
sebarang maklum balas
|
|