Isi masa lapang dengan bermain bowling



SEBAGAI remaja Salima turut gemar bermain
bowling dimasa lapang.

SEBELUM bergelar penyanyi, peserta Akademi Fantasia Empat (AF4), Nur Salima Habibi terlebih dulu menyertai tilawah Al Quran dan waktu senggang selepas menjalani latihan itu digunakan untuk bermain bowling.

Sambil mengakui tidak begitu mahir dengan sukan yang cukup popular di Malaysia itu, Salima mengatakan dia bermain sekadar mengisi masa lapang bersama rakan sekolah.

"Kalau nak kata pandai tu tak adalah sebab saya main hanya suka-suka dengan rakan persekolahan," katanya yang menjadi peserta pertama AF tampil dengan imej bertudung.

Sebagai remaja yang baru melepasi alam persekolahan semestinya sukan antara perkara yang menjadi aktiviti dan Salima sendiri turut terbabit dengan bola jaring dan bola baling.


SALIMA memulangkan kasut bowling kepada petugas di
Bangsar Bowl di Kompleks Membeli Belah Bangsar.

Bagaimanapun bicara mengenai aktiviti kecergasan lebih menarik minatnya kerana menerusi pembabitannya dalam senaman aerobik bukan saja membantu mengurangkan penyakit lelah yang dihadapi tetapi turut berjaya menurunkan berat badannya daripada 73 kilogram kepada 55 kilogram.

"Semuanya bermula dengan ibu saya, dia yang terlebih dulu menyertai aktiviti itu di kawasan perumahan kami di Ipoh dan apabila melihat ibu berjaya menurunkan berat badannya, membuatkan saya turut bersemangat.

"Kelas kecergasan itu disertai semua peserta wanita dan saya mengamalkan senaman ‘step’ dan diadakan dalam cara yang berat juga.

"Saya mengikuti kelas itu enam hari seminggu kecuali hari Ahad dan jika tidak ada kelas, saya akan lakukan larian di atas treadmill," kata peserta yang terkeluar pada minggu kelima itu.

Menurut Salima sejak mengamalkan aktiviti kecergasan, dia merasakan dirinya cukup sihat dan sangat senang tidur pada sebelah malam.

Sekalipun tidak menyertai kelas aerobik, Salima tetap meneruskan aktiviti kecergasannya di rumah apatah lagi kawasan kediamannya kini terdapat gimnasium.

DATA
NAMA: Nor Salima Habibi
TARIKH LAHIR: 1 Ogos 1988
TEMPAT LAHIR: Kuala Kangsar
ADIK BERADIK: Pertama daripada lima beradik
PENDIDIKAN: SPM
PENCAPAIAN: Separuh akhir Who Will Win 2003

ATLIT IDOLA
Tempatan
Suzana Ghazali Bujang (Renang Berirama)

Luar Negara
Michael Schumacher (Formula Satu)





Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768