Go kart jadi pengubat tekanan Deja Moss



SELAIN menyanyi yang sudah sebati dengan dirinya menjadi pengubat tekanan yang melanda, memandu go kart turut membantu Deja Moss meredakan ketegangan seharian.

Minat terhadap acara perlumbaan itu mula berputik sekitar tahun 1998 dan antara litar yang menjadi destinasi buatnya memecut go kart ialah di Shah Alam dan Sepang.

Bagaimanapun, penyanyi yang akan mewakili negara di World Championship Of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood, Ogos depan bagi kategori vokal itu, mengakui sudah lama tidak beraksi dalam acara sukan kegemarannya itu.

Untuk mengubat kerinduan yang terpendam sejak empat tahun lalu itu, epg membawa Deja Moss memandu go kart di Extreme Park @ Sunway, baru-baru ini.

“Saya seorang yang sukakan sukan lasak dan memandu laju. Jadi apabila ada peluang memandu go kart, saya rasa sangat seronok.

“Kebiasaannya saya memandu go kart pada sebelah petang tetapi kali ini saya diberi peluang memandu ketika tengahari dan bawah tengahari terik dan ia sememangnya sesuatu yang lebih mencabar,” kata penyanyi berasal dari Kuching itu.

Selain Sepang dan Shah Alam yang menjadi destinasi Deja memandu go kart juga masih mengingati kenangan manis apabila berpeluang memandu go kart ketika bercuti di Scotland pada 2000.

“Saya mahu sentiasa tampil cergas, sebab itulah saya seronok untuk bersukan. Tetapi ketika Fiesta Media Idola 2006 lalu, saya terpaksa melupakan futsal kerana kecederaan di bahagian buku lali,” katanya yang memilih untuk beraksi dalam acara bowling ketika itu.

Deja juga meminati Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia dan turut bersengkang mata menyaksikan setiap perlawanan membabitkan empat pasukan yang diminatinya iaitu Jerman, Argentina, Brazil dan England.

Malah, sebaik berbicara mengenai Piala Dunia, wajah Deja bersinar ceria dan cukup seronok berkongsi pendapatnya ketika mengulas aksi yang ditonton.

DATA

NAMA: Sharifah Hadijah Wan Moss
TARIKH LAHIR: 6 Ogos 1973
TEMPAT LAHIR: Kuching, Sarawak
KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan ahli perniagaan
ALBUM: Deja Moss, Janji, Best Of Deja Moss dan Masih Di Sini
DRAMA: Persatuan Isteri-Isteri Tua dan Kisah Abang
PENCAPAIAN: Penyanyi Baru Asia Terbaik (Festival Muzik Asia Shanghai) dan Special Prize of Astana City Mayor dalam International Contest of Kazakh Song di Astana, Kazakhstan



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768