
MENYEDARI populariti sukan paintball yang semakin meningkat di kalangan peminat sukan tempatan membuatkan dua pelakon drama Dunia Anita, Nur Lydia Ibtisam dan Nor Azemi Suhaimi yang lebih dikenali dengan panggilan Tam untuk turut sama mencuba keseronokan permainan itu.
Sebelum diberi penerangan daripada petugas Extreme Park @ Sunway, kedua-dua pelakon itu beranggapan paintball satu permainan sukar tetapi keceriaan tergambar di wajah kedua-dua pelakon bertubuh kecil itu ketika bersiap sedia untuk mencuba.
Lydia yang gemarkan acara lasak termasuk memanjat dinding tiruan melahirkan rasa gembira diberi peluang mencuba permainan itu selepas sekian lama menyimpan hajat.
“Tak pernah main paintball dan pertama kali mencubanya terasa sangat seronok. Keinginan untuk bermain acara ini memang dah lama ada sejak gelanggang pertama dibuka di Bukit Tinggi.
“Saya ingatkan permainan ini biasa saja dan boleh memakai apa saja pakaian, sebaliknya peserta dikehendaki mengenakan pakaian keselamatan termasuk topi bagi mengelak kecederaan.

ADA GAYA...Lydia dan Tam bersemangat mencari sasaran.“Permainannya pula mencabar tetapi menarik serta lasak dan memerlukan larian serta perlu bijak mengelak daripada terkena peluru. Saya bercadang untuk datang bermain dengan rakan lain,” kata pelakon berimej riang yang membawa pulang beberapa risalah sebagai persiapannya untuk datang lagi.
Bagi Tam, permainan itu yang memerlukan larian bukan satu masalah kerana dia adalah atlit olahraga dan beraksi sehingga ke peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Kuala Lumpur di zaman persekolahannya.
Selain melakukan larian sebagai aktiviti kecergasan, Tam turut melakukan amalan yoga di pusat kecergasan.
Memegang watak sebagai pemberi info berhubung bola dalam drama Gila-gila Bola, Tam di luar drama juga gemar menonton perlawanan bola sepak.
“Dalam drama Gila-gila Bola saya bukan pemain tetapi sebagai seorang pemberi maklumat berhubung bola sepak,” kata peminat David Beckham yang menyokong England di Piala Dunia Jerman 2006 itu.
DATA
NAMA: Nor Azemi Suhaimi
TARIKH LAHIR: 20 Mac 1979
ASAL: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Diploma Seni Reka Grafik
FILEM: Pak Tam Duda, Kaki Bakar dan Ragam Pemandu
DRAMA: Dunia Anita dan Gila Bola
ATLIT IDOLA
Tempatan
Keevan Raj (Hoki)
Luar Negara
David Beckham (Bola sepak)
NAMA: Nur Lydia Ibtisam Abdul Wahab
TARIKH LAHIR: 4 Oktober 1980
ASAL: Pulau Pinang
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Komunikasi Multi Media, Universiti Malaya
DRAMA: Dunia Anita, Natasha dan Impian Illyana
IKLAN: Telekom Malaysia, Season dan Sunsilk
ATLIT IDOLA
Tempatan
Nicol Ann David (Skuasy)
Luar Negara
Zinedine Zidane (Bola Sepak)