Sabrina pantas kendali go kart



ADA gaya, ada rupa.

TIDAK terfikir di benak fikiran Sabrina Ali bahawa di belakang kawasan kolej tempat dia menimba ilmu suatu ketika dulu terdapat pusat kegiatan sukan lasak yang semakin popular terutama buat anak muda.

Justeru kesempatan untuk hadir ke Extreme Park@Sunway tidak dilepaskan begitu saja, sebaliknya dia menghabiskan masa hampir dua jam dengan bermain go kart.

“Saya tidak menyedari bahawa dekat sini rupanya ada pusat sukan lasak seperti go-kart, paintball, futsal, ATV dan macam-macam lagi sedangkan ia berhampiran dengan kolej saya,” kata pelakon berusia 26 tahun itu.

Sekalipun pernah bermain go kart sebelum ini, Sabrina tetap memerlukan tunjuk ajar daripada jurulatih Alen Gan dan sebaik sesi penerangan berakhir, dia terus memecut laju seolah-olah sudah biasa dengan sukan itu.

Tiada rasa takut yang tergambar di wajahnya dan melihat cara pemanduannya, dia seolah-olah seperti sudah biasa memandu go kart.


DIBERI tunjuk ajar sebelum memandu go kart.

Sabrina berkata, dia sudah lama tidak berpeluang memandu go kart dan peluang itu tidak harus dibiarkan begitu saja, apatah lagi ruang waktu yang singkat kerana terlalu sibuk dengan jadual penggambaran drama.

“Saya memang sukakan sukan lasak tetapi kecenderungan lebih kepada sukan air iaitu jet ski tapi tidak dapat melakukannya di sini kerana tempat untuk bermain jet ski masih dalam pembinaan,” katanya.

Melihat kepada bentuk tubuhnya yang tegap dan menarik, Sabrina menjelaskan dia sangat mementingkan aktiviti kecergasan dan pernah menjadi tenaga pengajar di Gimnasium Kecergasan Phillip Wayne.

Semasa di bangku sekolah, Sabrina bergiat dalam sukan taekwando selepas menyaksikan pembabitan aktif kedua-dua abangnya.

DATA
NAMA: Sabrina Ali Dad Khan
TARIKH LAHIR: 26 Jun 1980
ASAL: Kuala Lumpur
TINGGI: 170sm
BERAT: 55kg
ADIK BERADIK: ketiga daripada tiga adik beradik
PENDIDIKAN: Kolej Sunway
KERJAYA: Pelakon dan model
DRAMA TERBARU: Cinta di Hujung Chanting dan Lestari Mencari Cinta

SUKA:
- Mendengar muzik,
- Milo
- Menari

BENCI:
- Orang yang menilai diri seseorang dari aspek luaran saja

ATLIT IDOLA

TEMPATAN
Hafiz Hashim (Badminton)

LUAR NEGARA
Ronaldinho



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768