Bowling buat minda Farah tenang


SEKALIPUN hampir enam bulan tidak menghayun bola bowling, namun kemahiran yang ada pelakon muda berbakat, Raja Farah Raja Aziz yang dikenali menerusi filem 'Salon' masih belum hilang sentuhannya.

Sebaik memulakan langkah ke lorong bowling terserlah gayanya sebagai pemain berbakat dan sebaik bola dihayun jumlah jatuhan pin begitu membanggakan dan tiba-tiba kedengaran suara bersorak kegirangan apabila beberapa kali strike berjaya dilakukan.

Farah belajar bermain bowling ketika berusia 15 tahun selepas berundur daripada menyertai acara gimnastik artistik berikutan masalah kecederaan dan pencapaian tertinggi sebagai gimnas adalah dengan mewakili Selangor di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia.

Minatnya amat mendalam dalam sukan dan berikutan kecederaan yang membataskan pergerakan membuatkan Raja Farah beralih kepada bowling dengan menyertai Akademi Remaja Megalanes di Shah Alam yang dikendalikan oleh Zulmazlan Zulkifli.

“Saya mengikuti program latihan di bawah bimbingan Zulmazlan selama setahun dan mewakili Sekolah Menengah Seksyen 18.

Untuk mewakili negeri agak sukar kerana Selangor mempunyai ramai pemain bowling berbakat.

“Boleh katakan hampir enam bulan saya tak main bowling kerana memberi tumpuan kepada lakonan serta Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya yang hadir ke Pusat Bowling Bangsar Shopping Centre dengan membawa bola dan kasut miliknya sendiri.

Ibarat kuah tumpah ke nasi, Raja Farah berkata, minatnya yang mendapat dalam bidang su kan adalah terdorong melihat bapanya yang sangat aktif menyertai acara sukan seperti ragbi, bola sepak, hoki dan olahraga.

Farah berkata, sekiranya dia tidak bermain bowling, masa terluang akan turut dipenuhi dengan bermain badminton dan dia lakukan demi kecergasan fizikal.

DATA
RAJA FARAH RAJA AZIZ
UMUR: 17 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
ADIK BERADIK: Ketiga daripada empat adik beradik
PENDIDIKAN: SPM
KERJAYA: Pelakon
FILEM: Salon
DRAMA: Cinta Nan Satu, Bila Ayah Minta Kahwin Lagi, Enggang Berlabuh Di Teratak Senja, Impian Ilyana dan Ali & Abib.
IKLAN: Pantene, Celcom dan Vanila Coke



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768