Snuker idaman Annahita


KETIKA menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), pelakon Annahita Bakavoli gemar meluangkan masa lapang bersama rakan untuk bermain snuker/pool.

Kebiasaannya aktiviti itu dilakukan sekali sebulan dan Annahita mengenali dan mengetahui cara permainan sukan itu menerusi tunjuk ajar rakan.

Walaupun tidak begitu mengikuti peraturan sebenar permainan itu, Annahita menyangka cara permainannya sudah boleh dikira betul.

Bagaimanapun dia menyedari masih banyak perkara mengenai sukan itu tidak diketahui dengan sepenuhnya terutama membabitkan teknikal apabila menerima tunjuk ajar cara bermain American Pool dengan betul oleh pengurus Indah Snooker & Pool, Iskandar Lee.

Annahita diajar cara memukul dengan betul dan tiga teknik yang dipelajari ialah break cue, playing cue dan jump cue.

“Apabila mendapat tunjuk ajar daripada Iskandar, barulah saya tahu masih banyak lagi perkara yang saya belum ketahui. Selama ni main pukul saja dan menyangka sudah betul cara permainan saya.

“Selain mengetahui cara pukulan yang betul,menerusi tunjuk ajar ini juga saya mendapat tiga perkara penting untuk permainan ini iaitu kesabaran,tumpuan dan strategi.

“Semasa menuntut selalu juga main pool dan biasanya sebulan sekali di Shah Alam tetapi sekarang semakin sibuk berlakon. Tak ada masa untuk melakukan aktiviti ini.

“Saya bermain pool hanya untuk aktiviti masa lapang dan bukannya untuk serius,” katanya yang semakin laris di bidang lakonan.

Sekalipun tidak lagi meluangkan masa dengan bermain pool, Annahita masih tetap meluangkan masanya untuk bersukan dan dia gemar berenang bagi kecergasan dan mengekalkan bentuk tubuh menarik.

Annahita kebiasaannya berenang di kelab dan jika ketika menuntut kelab di Shah Alam menjadi pilihannya, kini dia memilih lokasi Kelana Jaya.

DATA
ANNAHITA BAKAVOLI

NAMA SEBENAR: Annahita Bakavoli Mehdi Bakavoli
TARIKH LAHIR: 25 Ogos 1982
ASAL: Pulau Pinang
KETURUNAN: Melayu Parsi
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Undang-undang UiTM
PENGACARAAN: TMNET Live Streaming, Sure Heboh dan Sihat Jelita
IKLAN: Citibank, TMNET, Pelancongan Malaysia dan DeWajah
LOKASI: Indah Snooker & Pool Club, Pandan Indah.
SOLEKAN DAN DANDANAN: Rezza Amour





Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768