Tengku Marina lahir dalam keluarga hoki



TENGKU Marina berlatih bersama pemain remaja di
Stadium Hoki Kuala Lumpur.

IBARAT menggamit kembali kenangan zaman persekolahan sebaik kaki melangkah ke gelanggang Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Suatu ketika dulu, stadium itu menyaksikan ketangkasan Tengku Marina Tengku Ariffin beraksi menentang pasukan lawan dan kini biar pun sudah lama berlalu dan dia pula bergelar pelakon sentuhan sebagai pemain hoki masih ada.

Bersama pemain pasukan Kuala Lumpur yang menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma), Tengku Marina turut serta berlari memanaskan badan mengelilingi padang dan seterusnya menguji kemahirannya dalam sukan itu.

“Saya bermain hoki sejak sekolah rendah sehingga tingkatan lima mewakili Sekolah Bukit Bintang. Sebelum wujudnya Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sekolah kami pernah menjadi juara peringkat Kuala Lumpur.

“Dalam adik beradik saya satu keluarga bermain hoki dan abang saya (Tengku Mahazir) pernah mewakili negara dalam skuad remaja.

“Apapun saya berhenti bermain hoki selepas tamat persekolahan dan seterusnya menyambung pelajaran di kolej sebelum bekerja dan kini bergelar pelakon.

“Bila tengok adik-adik ni berlatih seronok pun ada dan tak kurang juga rasa tercabar. Tapi saya dah tak tangkas dan cergas sebab lama tak bersenam.

Tengoklah main sekejap saja sudah terasa penat,” kata pelakon yang akan tampil dalam filem Diva dan Susuk itu.

Selain bermain hoki dengan beraksi di posisi sayap, Tengku Marina juga aktif bermain bola jaring pada zaman persekolahannya dulu.

Menurut pelakon yang mendapat bimbingan Fauziah Nawawi dalam bidang teater, kali terakhir bermain di Stadium Hoki Kuala Lumpur ialah perlawanan bawah 18 tahun mewakili sekolahnya sempena Sukan Komanwel dan selepas tujuh tahun berlalu dia dapati banyak perubahan dan paling ketara stadium semakin bertambah menarik dan cantik.

DATA
TENGKU MARINA TENGKU ARIFFIN
TARIKH LAHIR:
6 April 1983
ASAL: Kuala Lumpur
ADIK BERADIK: Ketiga daripada empat beradik
KERJAYA: Pelakon
FILEM: Diva dan Susuk DRAMA: Gelang Emas Ibu, Seutuh Kudrat Talian Kasih dan Kisah Kehidupan
TEATER: Opera Ayu Chendana dan Dari Bintang ke Bintang


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768