
ZAHID lebih gemar aksi GT Jepun, Subaru,
Nissan Skyline berbanding Formula Satu yang
di sifatkan lebih teknikal.MINAT mendalam terhadap kereta mendorong juara AF2, Ahmad Zahid Baharuddin mengeluarkan sejumlah wang besar mendapatkan kereta idaman, Nissan Skyline ER34 yang dibeli tahun lalu.
Berbanding perlumbaan Formula Satu (F1) yang lebih memberi tumpuan kepada teknikal, Zahid mengakui kurang gemar dengan acara itu sebaliknya Super Car seperti GT Jepun, Subaru, Nissan Skyline, umpamanya menjadi pilihan.
Perlumbaan Super Car menjadi pilihan kerana dia berminat menyaksikan pelbagai model kereta di samping cara pembuatan enjin serta pelekat menarik menghiasi kereta itu.
Selain Super Car, Zahid gemar menyaksikan acara drift dan lokasi yang sering menjadi tumpuan ialah di Sunway Extreme Park, Port Dickson dan A Famosa, Melaka.
“Saya memang gilakan kereta dan selalu membeli majalah untuk mendapat maklumat terkini mengenai kereta. Walaupun memiliki kereta lumba buat masa sekarang saya tidak berhajat menyertai sebarang pertandingan.
“Bagaimanapun sekiranya diberi peluang membabitkan pasukan selebriti saya berminat untuk menyertainya.
“Sebenarnya keinginan untuk membeli kereta ini sudah lama saya pendamkan iaitu sebelum bergelar artis. Masa itu saya tidak berkemampuan tetapi dengan rezeki yang ada saya laksanakan impian saya.
“Untuk proses pengubah suaian kereta ini saya banyak mendapat bantuan daripada kawan baik saya, Abdul Aziz (Mahayudin) yang pakar dalam pencarian alat ganti,” katanya yang turut tidak melepaskan peluang melakukan drifting di Litar Sepang.
Sekalipun F1 bukan acara kegemaran utamanya, Zahid tetap mempunyai kenangan manis menyaksikan perlumbaan itu sebelum menyertai AF.
Menurut Zahid, memandangkan ketika itu tidak mempunyai wang untuk membeli tiket, pemberian tiket percuma daripada seorang kawan masih diingati.
Dengan tiket itu dia sekadar menyaksikan perlumbaan di kawasan terbuka yang panas dan terpaksa berjalan jauh dari tempat meletakkan kereta.
Walaupun kulit terbakar akibat kepanasan namun dia tetap seronok dapat menyaksikannya bersama rakan-rakan lain.
DATA
AHMAD ZAHID BAHARUDDIN
TARIKH LAHIR: 19 Disember 1980
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyanyi
ALBUM: Wo!!!