
KEJAYAAN ratu skuasy negara, Nicol Ann David menjadi pemain nombor satu dunia turut dikagumi pemenang keempat Akademi Fantasia (AF3), Marsha Milan Londoh.
Marsha yang pertama kali bermain skuasy dengan mendapat tunjuk ajar daripada pemain nombor tiga negara, Tricia Chuah di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil tidak dapat menggambarkan bagaimana Nicol melalui latihan sehingga berjaya berada di puncak dunia.
“Saya kagum dengan pencapaian Nicol dan tidak tergambar di fikiran saya bagaimana dia menjalani latihan seharian sehingga berjaya meraih kejayaan menjadi pemain nombor satu dunia.
“Ini adalah kali pertama saya bermain skuasy dan sebelum ini saya hanya menyaksikannya di televisyen saja. Rasa malu pun ada dan bimbang juga kalau-kalau bola terkena muka.
“Saya tidak ada masalah bermain skuasy. Kebiasaan bermain badminton membolehkan saya memegang raket dengan baik apatah lagi saya diajar oleh pemain kebangsaan.
“Dapat berlatih dengan calang-calang pemain seperti Tricia dan beraksi pula di Pusat Skuasy Nasional ad alahpengalaman berharga buat saya,” kata anak gadis berusia 20 tahun itu.
Memandangkan kesibukan masa yang membuatkan Marsha jarang berpeluang melakukan senaman, pengalaman bermain skuasy itu amat memenatkan. Namun di sebalik rasa penat itu jelas terpancar keseronokan di wajahnya itu.
Melihat gaya Marsha yang manja sebagaimana dipertontonkan dalam diari AF, pasti ramai yang tidak menyangka dia adalah pemain bola sepak ketika di zaman persekolahannya.
Tidak seperti di semenanjung yang sukar mendapatkan pemain bola sepak wanita di Sabah acara itu antara yang sering dipertandingkan dan bukan menjadi satu perkara luar biasa dengan pembabitan Marsha.
Begitupun pembabitannya hanya di peringkat sekolah saja.