
IBARAT pucuk dicita ulam mendatang. Selepas sekian lama menyimpan hasrat untuk mencuba sukan menembak akhirnya peluang itu menjelma buat pembaca berita Buletin Utama TV3, Norliza Mohd Zain.
Bukan dia tidak berpeluang, namun rasa tidak yakin dalam diri membuatkan dia menolak ajakan rakannya suatu ketika dulu.
Malah, sebagai anak seorang anggota polis dan abangnya turut menyertai kerjaya itu, Norliza tahu jenis senjata digunakan. Dia juga sering menyaksikan latihan menembak yang dijalankan di Pusat Latihan Polis (Pulapol).
Apabila keinginan untuk mencuba hadir dalam dirinya, kesibukan tugas pula menjadi penghalang dan dia terpaksa menolak ajakan rakannya untuk menjadi ahli Persatuan Menembak Wilayah Persekutuan.
Hasrat menembak yang sekian lama terpendam direalisasikan di Lapang Sasar Subang, Norliza mendapat tunjuk ajar cara mengendalikan senjata dengan betul di bawah bimbingan Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Mejar Jasni Shaari, baru-baru ini.
Apapun pengalaman mengendalikan senjata itu bukan pertama kali buatnya kerana sebelum ini pernah melakukannya ketika menjalani latihan praktikal di TV3 dan satu daripada tugasannya itu dia perlu menggunakan senjata M-16. Dia mengakui betapa sukar menggalas senjata itu. “Masa diajak rakan suatu ketika dulu saya rasa tidak yakin pada diri. Saya terfikir boleh ke saya melakukannya. Saya rasa berat sungguh senjata itu.
“Untuk melakukan tembakan, fokus menjadi perkara paling penting dan seterusnya mata dan tumpuan. Acara ini tidak memerlukan fizikal tetapi sangat mementingkan mental,” kata pengacara jelita itu. Menurut Norliza, sebagai peminat sukan tanah air dia juga mengikuti perkembangan sukan menembak negara dan dua nama penembak yang diingati ialah Nurul Hudda Baharin dan Nur Suryani Mohd Taibi.
DATA
NORLIZA MOHD ZAIN
TARIKH LAHIR: 9 Jun 1971
ASAL: Ipoh, Perak
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, UiTM
KERJAYA: Pembaca Berita dan Wartawan Penyiaran