Memanah tarik minat Farrah


MENGGELETAR tangan pengacara rancangan Wanita Hari Ini, Farrah Adeeba Mohamed Ashraf apabila pertama kali menarik busar. Apapun rasa menggeletar itu hilang apabila Farrah yang sebelum itu menggunakan tangan kanan menukar kepada tangan kiri dan sekali gus sasarannya mengena.

Pengacara berusia 27 tahun itu yang selama ini mengetahui perkembangan dan kejayaan skuad memanah negara di Sukan Sea menerusi media merasai sendiri kesukaran dan keseronokan acara yang semakin mendapat perhatian itu di Big Shot Archery di Maju Juntion.

“Masa mula mencuba memanglah rasa susah dan percubaan asyik tersasar saja tapi apabila bertukar tangan dan tahu di mana kekuatan sebenar di sebelah tangan kiri barulah rasa seronok apatah lagi tengok sasaran mengena.

“Sukan memanah adalah satu acara yang menarik dan dengan adanya gelanggang seperti Big Shot ini yang terdapat di pusat membeli belah ia sangat selesa apatah lagi bermain dalam gelanggang berhawa dingin dan turut disediakan kafe,” kata pengacara kecil molek itu.

Farah mengakui turut kagum dengan pencapaian atlit negara bermula di Vietnam lalu dan seterusnya di Manila yang menyumbang pingat emas buat negara. Lebih bangga pencapaian atlit negara sentiasa meningkat dari masa ke semasa.

Farrah berkata ketika di peringkat sekolah dia seorang yang aktif bersukan dan sering menyertai acara olahraga dan acara jarak jauh menjadi kegemarannya sehingga beraksi pada peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Pulau Pinang.

Apapun dia hanya aktif sehingga tingkatan tiga dan kurang memberi perhatian apabila berada di tingkatan empat dan lima kerana memberi tumpuan kepada akademik dan seterusnya tidak lagi aktif apabila melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa.


DATA
NAMA: Farrah Adeeba Mohamed Ashraf
TARIKH LAHIR: 31 Mac 1978
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Pengacara Wanita Hari Ini dan Wartawan Penyiaran





Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768