Mawi seronok pandu Proton R3 di Litar Sepang



SEKALIPUN perlumbaan Grand Prix A1 yang juga dikenali Piala Dunia Sukan Bermotoran sudah sebulan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, namun kemeriahannya masih terasa.

Bagi berkongsi keseronokan sebenar perlumbaan itu, epg memberi peluang buat juara AF3, Asmawi Ani untuk merasai cabaran sebenar memandu kereta yang direka khas untuk perlumbaan itu. Mawi memandu Proton R3 (Race, Rally dan Research) dan istimewanya kereta berkenaan sebelum itu dipandu oleh Sheikh Maktoum Hasher Maktoum Al Maktoum, pengasas yang juga Presiden dan Pengerusi Grand Prix A1, saudara Putera Mahkota Dubai.

Untuk memandu kereta berkenaan, Mawi mendapat tunjuk ajar daripada Ketua Juruteknik (Chassis) R3, Faidzil Alang Abdul Rahman yang juga seorang pelumba sebanyak satu pusingan.

Mawi yang memiliki lesen memandu sejak November lalu tidak menghadapi masalah menerima tunjuk ajar dan keberanian jelas terpancar di wajahnya apabila diberi peluang sebenar untuk memandu apabila mencuba sebanyak tiga pusingan.

“Inilah pertama kali memandu kereta dengan laju apatah lagi di Litar Sepang. Rupanya seronok bawa kereta laju-laju ni.

“Saya bawa betul-betul laju sehingga tak sedar berapa kelajuan sebenar, rasanya dalam 180 kilometer/sejam kot.

“Masa baru naik dan diberi demonstrasi oleh Faidzil memang takut, rasa macam nak terkeluar daripada kereta, nasib baik ada tali pinggang keledar. Tapi bila dah memandu sendiri tiga pusingan yang saya buat tu memang tak cukup.

“Masa pandu sendiri tu saya agak takut ketika melalui selekoh kerana tersilap boleh terbabas tetapi atas tunjuk ajar Faidzil saya dapat membawanya dengan baik,” katanya yang pernah menjadi pembantu keselamatan di perlumbaan Asia berlangsung di Litar Pasir Gudang, beberapa tahun lalu. Menurut Mawi sekiranya ada perlumbaan membabitkan selebriti dia juga mahu ikut serta akan ada kelapangan.

Mawi yang sebelum ini sekadar menonton perlumbaan di televisyen teringin duduk di grand stand untuk menyaksikan kehebatan sebenar perlumbaan.

DATA
MAWI

NAMA SEBENAR: Asmawi Ani
TARIKH LAHIR: 25 Ogos 1981
UMUR: 24 tahun
ASAL: Felda Bahagia, Kampung Taib Andak,Kulai, Johor
KELUARGA: Anak kelima daripada enam beradik
KERJAYA: Penyanyi
ALBUM: Mawi - Yang Tercinta



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768