
WALAUPUN kali pertama menunggang beliau
berjaya mempamerkan aksi menarik.BERSESUAIAN dengan lakonannya dalam filem KL Menjerit yang memaparkan kehidupan Mat Rem pit, Sheera Iskandar diberi peluang merasai sendiri bagaimana cabaran menunggang motor.
Namun, Sheera yang memegang watak Khatijah iaitu kekasih kepada Mat Rempit lakonan Que Haidar langsung tidak melakonkan adegan menunggang motor sebalik sekadar menjadi penumpang.
Sekalipun tidak melakonkan adegan watak menunggang motor namun dia pernah beberapa kali membawa motor TZM, RX2 dan motor kapchai.
Berbeza dengan pengalaman sebelum ini, Sheera diberi peluang merasai keseronokan menunggang motocross dan mendapat bimbingan daripada Wong Chun Wei dari Mascorn Racing Team.
“Dalam filem 'KL Menjerit' Sheera sekadar menjadi penumpang dan tidak ada aksi yang memerlukan Sheera melakonkan adegan menunggang motosikal.

“Ini pertama kali Sheera mencuba membawa motocross. Mula-mula bawa perlahan saja tapi apabila sudah mampu mengimbangi badan mulalah rasa nak bawa laju tetapi memikirkan motor ini bukan kepunyaan Sheera jadi terpaksa melupakan hajat itu.
“Sheera tak kisah kalau terjatuh. Ia akan membuatkan Sheera lebih berani.
“Semasa promosi Sheera ada juga pinjam motor krew tetapi sekadar untuk merasakan keseronokan saja bukan betul-betul,” kata anak gadis kepada pelakon Aznah Hamid itu. Sheera berkata dia minat melihat motor tetapi tidak kepada perlumbaan kerana bimbang dengan kelajuan.
Bercerita mengenai sukan, Sheera adalah seorang yang aktif dalam acara olahraga antaranya bola baling dan lontar lembing dan pernah muncul juara Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor ketika masih di tingkatan empat dan lima. Bagaimanapun dia tidak meneruskan aktiviti kesukanan itu selepas tamat alam persekolahan.
DATA
SHEERA ISKANDAR
NAMA: Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar
TARIKH LAHIR: 18 April 1985
ASAL: Kelantan
ADIK BERADIK: Anak pertama daripada tiga beradik
FILEM: KL Menjerit 1, Bicara Hati, Sembilu 2005
DRAMA: Usia, Sembilu Kasih,
Pinggiran Hati, Janjiku, Jangan Ada Dusta
IKLAN: Sunquick
Tahukah Anda?
SEJARAH sukan Motocross dikatakan berkembang seawal 1900 dan menjadi makin popular selepas itu sambil markas bagi acara mekanikal ini berpusat di California Selatan, Amerika Syarikat dengan gurun terbuka yang sesuai bagi riadah seperti ini.
Enjin motocross baik termasuk Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki. Pembuat aksesori utama termasuk Fox Racing, ThorMX, Alpinestars, Oneal, HJC, Shoei, Answer dan MSR. Antara peralatan dan aksesori diperlukan menyertai sukan ini adalah topi keledar, sarung tangan, but, penampan dada dan kaca mata besar (goggle).