
NAZRIL ke gim mahu bentuk tubuh menarik
di samping mengekalkan kecergasan.SEBAGAI model, Nazril Idrus perlu mengekalkan susuk tubuh menarik bagi memastikan setiap pakaian yang dilekat pada badannya nampak cantik dan menarik. Untuk mendapat bentuk badan menarik apa perlu dilakukan ialah bersukan atau aktiviti kecergasan.
Sehubungan itu, Nazril mengambil pendekatan sihat melakukan aktiviti kecergasan di Twin Towers Fitness Centre dan mendapat bimbingan daripada jurulatih kecergasan berpengalaman, Shahrul Nizam.
Pengacara rancangan Misi Suara Hati yang disiarkan menerusi Astro itu berkata, dia menjadi ahli di gimnasium berkenaan sejak dua tahun lalu tetapi baru tiga bulan dia serius mendapatkan jurulatih.
“Antara senaman yang saya lakukan ialah angkat berat dan cardio. Sebelum ini tujuan saya masuk untuk mengempiskan perut saja tetapi sekarang saya mahu mendapatkan bentuk tubuh menarik di samping mengekalkan kecergasan dan kesihatan.
“Saya memilih gimnasium ini kerana saya pernah bertugas di sekitar kawasan ini suatu ketika dulu dan mengenali anggota petugas di sini. Latihan kecergasan ini saya lakukan tiga kali seminggu di sebelah pagi,” katanya yang turut popular berlakon dalam iklan komersial.
Selain melakukan aktiviti kecergasan, gimnasium itu turut menyediakan gelanggang bola keranjang, futsal, skuasy dan badminton.
Menurut Nazril ketika zaman remajanya dia adalah seorang pemain hoki dan pernah menjadi naib ketua pasukan dan membantu skuad hoki Kuala Lumpur muncul juara Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia.
Selain hoki, jejaka berusia 31 tahun ini juga adalah jaguh tinju dan pernah memenangi kategori feather weight ketika di MTD. Sekiranya ada masa Nazril juga meluangkan masa bermain golf dan dia turut menjadi ahli Kelab Golf Titiwangsa.
DATA
NAZRIL IDRUS
TARIKH LAHIR: 28 April 1974
ASAL: Petaling Jaya, Selangor
KERJAYA: Pengacara, model
iklan dan Pakar Perunding Saham Amanah
RANCANGAN: Misi Suara
Hati dan Pengacara rancangan Astro
IKLAN: Cadbury, Biore, Maxis
dan Sunsilk
Tahukah Anda?
SATU ketika dulu Nazril Idrus pernah bermain hoki bersama bekas kapten skuad hoki kebangsaan, Mirnawan Nawawi apabila kedua-dua persona liti ini menuntut di Maktab Tentera DiRaja (MTD) di Sungai Besi. Pada tahun berkenaan Nazril belajar di tingkatan dua manakala Mirnawan berada di tingkatan lima.