[ 03-12-2008 ]
Sidang Editor:
PENAUNG
Y. Bhg. Dato' Dr. Firdaus Haji Abdullah
Ketua Pengarah DBP

PENASIHAT
Hajah Noresah Baharom
Pengarah Jabatan Bahasa

Othman Ismail
Ketua Bahagian Pengembangan
Bahasa Melayu DBP

KETUA EDITOR
Rohayu Ismail
(ayu@dbp.gov.my)

TIMBALAN KETUA EDITOR
Siti Ruzaiha Mohd Riffin
(ruzaiha@dbp.gov.my)

EDITOR DBP
Wan Mohd Saophy Amizul Wan Mansor
(amizul@dbp.gov.my)

Roziah Mohd Yunus
(roziah@dbp.gov.my)

Norazlinda Misran
(linda_m@dbp.gov.my)

Fatimah Zahrin Mohd Taib
(fatimah@dbp.gov.my)

PROMOSI
Ismail Karmun
(karmun@dbp.gov.my)

PENYELARAS LAMAN WEB
BERITA HARIAN-KLIK DBP

Unit Berita Harian Online
emediabh@bharian.com.my

 
Pedoman Sastera: Metonimi
[Oleh Saifullizan Yahaya]

DALAM Pedoman Sastera bulan lalu, telah dibincangkan tentang gaya bahasa alusi. Kali ini, Pedoman membincangkan pula satu lagi gaya bahasa iaitu Metonimi.

Jika gaya bahasa alusi merujuk secara langsung atau tidak langsung kepada sesuatu peristiwa atau orang yang telah diketahui umum dalam kalangan pembaca, meto-nimi pula menggantikan nama se-suatu benda yang erat hubungannya dengan perkara yang dimaksudkan. Dalam erti kata yang lain, gaya bahasa metonimi adalah untuk menggantikan perkara sebenarnya yang ingin dibicarakan oleh seseorang penyair dengan merujuk perkara yang sama ciri atau sifat sesuatu benda. Umpamanya apabila merujuk sekuntum bunga mawar, biasanya bukan bunga mawar yang kita kenali tetapi ialah seorang pe-rempuan.

Untuk lebih jelas lagi penggunaan gaya bahasa metonimi ini dalam puisi, mari kita lihat sebuah puisi daripada T. Alias Taib yang dipetik dari kumpulan puisi Pasar Pengalaman berjudul “Metamorfosis”

dia harum malam
yang kembang
di sebuah desa, daripada
benih ratusan kumbang
yang menyeri ibunya, kumbang
yang sama juga menyeri
hidupnya malam-siang.
pada suatu malam
dia bermimpi
api menjulang memakannya
pagi-pagi esok dia keluar
dari desa seribu dosa
dan memasuki desa seribu doa,
menangis sepanjang jalan.

di sebuah masjid di desa itu
dia mencuci diri dan kalbunya
yang berlumut pada air kolah
terapung-apung wajahnya,
tompokan lumut hitam
dan tetesan air matanya.
(2004: 73)


Dalam puisi “Metamorfosis” ini terdapat beberapa gaya bahasa metonimi yang boleh kita jadikan contoh, antaranya ialah “harum malam”, “kumbang”, “api”, “masjid”, “air kolah”, “lumut hitam”, dan “air matanya”.

Dalam puisi yang mempunyai kisah ini, penyair tidak merujuk secara langsung perkara yang hendak diceritakan tetapi menggunakan simbol untuk menggantikan perkara yang ingin dimaksudkan.

Dalam puisi ini ada disebut “harum malam”, iaitu nama sejenis bunga yang biasa dipanggil sundal malam atau nama saintifiknya Polianthes tuberosa. Antara ciri bunga sundal malam ini ialah ia berbau harum di waktu malam. Dalam puisi ini, sundal malam merujuk kepada seorang perempuan.

Tentu ada yang tertanya mengapa penyair tidak menggunakan nama bunga yang lazim dirujuk untuk perempuan seperti bunga mawar dan melati? Penyair tidak merujuk nama-nama bunga tersebut, tentu ada berkaitan dengan kisah yang ingin disampaikan.

Dalam baris seterusnya kita temui pula “kumbang” yang secara langsung kita tahu bahawa kumbang biasa dirujuk untuk lelaki. Untuk mengetahui cerita dalam puisi ini, pembaca haruslah dapat menautkan unsur-unsur gaya bahasa metonimi ini dengan lambang-lambang yang kita ketahui umum.

Untuk menerapkan metonimi ini, seseorang penyair itu mestilah peka dengan lambang-lambang budaya masyarakatnya kerana dengan penggunaan gaya bahasa metonimi ini sesebuah puisi itu bukan sahaja dapat meninggalkan kesan yang lebih hidup kepada pembaca tetapi dapat memperkayakan imaginasi khalayaknya.


 
Istilah Bahasa  
>> Patrimoni
Harta pusaka yang diwarisi daripada bapa atau nenek moyang sebelah bapa.
>> Patrilineal
Berkaitan dengan hubungan keturunan atau kekeluargaan mengikut garis keturunan sebelah lelaki atau bapa.
>> Mores
Tatalaku, adat, kebiasaan dan sebagainya yang sudah mendasari nilai-nilai kehidupan sesuatu kumpulan.
>> Pemawah
Orang yang mengusahakan tanah, memelihara ternakan dan sebagainya yang dipawahkan oleh tuan punya kepadanya.
>> Peracun
1. Orang yang meracun atau meracuni: Perempuan boleh menjadi penawar dan perempuan juga boleh menjadi peracun. 2. Orang yang membuat racun.
>> Peracik
Orang yang menangkap burung dengan menggunakan racik: Bapanya bukanlah peracik burung sepenuh masa.
>> Pempasteur
1. Orang yang melakukan proses atau kerja pempasteuran. 2. Alat untuk mempasteurkan sesuatu bahan seperti susu, keju dan krim.
>> Penyihir
Orang yang mengenakan (ilmu) sihir terhadap orang lain.
>> Perangka
Orang yang merangka (program, rancangan dan sebagainya), perancang: Para perangka dan penyelia program ini terdiri daripada pegawai di Kementerian Pendidikan.
>> Memprosakan
Menukarkan puisi (sajak dan sebagainya) kepada prosa: Mereka juga diberi bimbingan tentang teknik memprosakan puisi, sajak dan sebagainya.
>> Repertori (répertori)
Persembahan teater yang terdiri daripada beberapa lakonan (drama) oleh satu kumpulan teater untuk tempoh masa yang singkat.
>> Repertoir (répertoir)
1. Semua drama, muzik, nyanyian, cerita dan sebagainya yang sedia untuk dinyanyikan (dilakonkan, dipersembahkan dan sebagainya) oleh penyanyi, pelakon, pemuzik dan sebagainya; 2. (Komputer) set arahan lengkap yang dimiliki oleh komputer tertentu.
>> Sarkasme
Kiasan atau ironi yang mengandungi unsur-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakitkan hati seseorang, sindiran.
>> Kesasterawanan
Hal (sifat dan sebagainya) yang berkaitan dengan sasterawan: Pengarang harus memiliki keterampilan kesasterawanan yang menguasai teknik penulisan dan peka terhadap hal-hal kemanusiaan.
>> Pak Mulung
Tukang cerita dalam persembahan mekmulung yang turut sama melakonkan ceritanya dengan pelakon lain.
>> Imperialisme (imperialism)
Penguasaan sesebuah negara ke atas negara lain sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial atau budaya. Dengan penguasaan ini, penjajah akan mengeksploitasi segala sumber dan tenaga yang terdapat dalam negara tersebut untuk kepentingan negara mereka.
>> Hegemoni (hegemony)
Penguasaan pemerintah terhadap orang ramai tanpa kekerasan dan paksaan. Orang ramai memberikan sokongan dan legitimasi kepada pemerintah tanpa menyedari bahawa mereka sedang dikuasai, khususnya dari sudut pemikiran dan nilai. Penguasaan ini boleh dibentuk melalui kempen yang berkesan, sistem pendidikan, peranan media, manipulasi unsur budaya, faktor sejarah masyarakat dan juga penggunaan agensi pemerintahan seperti polis, undang-undang, bahagian keselamatan dalam negeri, imigresen dan sebagainya. Melalui hegemoni ini, pemerintahan sesebuah kerajaan dapat bertahan lebih lama.
>> Konserto
Gubahan muzik yang menampilkan persembahan pemain solo dengan iringan orkestra.
>> Presto (présto)
Tempo muzik yang dimainkan dengan cepat.
>> Rondo
Bentuk lagu yang mengulangulang melodi utamanya, yang selalunya terdapat dalam pergerakan gubahan akhir muzik sonata atau konserto.
>> Septet (séptét)
1. gubahan muzik untuk sekumpulan tujuh orang penyanyi atau pemuzik; 2. kumpulan muzik yang terdiri daripada tujuh orang penyanyi atau pemuzik.
>> Largo
Muzik yang dimainkan dengan tempo yang sangat perlahan.
>> Rabub
Sejenis alat bunyi-bunyian bertali satu yang digesek, yang dimainkan oleh masyarakat kaum Kenyah di Sarawak.
>> Bibliofil
Orang yang suka mengumpul atau meminati buku, pencinta buku.
>> Bigamis
Orang yang beristeri atau bersuami dua.
>> Filateli
Kegemaran mengumpul dan mengkaji setem.
>> Pempamer
Pihak atau orang yang mempamerkan sesuatu produk, barang dsb: Pameran ini mencatat sejarah dengan penyertaan lebih enam ribu pempamer dari kira-kira dua ratus buah negara.
>> Plutokrat
Orang yang kaya-raya dan berkuasa, orang yang berpengaruh kerana kekayaannya.
>> Purbawan
Orang yang mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang purba atau antik.
>> Tonem
Tonem (ton'm) - Ciri nada yang membezakan dua bentuk atau kata seiras dalam bahasa nadaan seperti bahasa Cina dan bahasa Thai.

 
 
Glosari  
>> Covergirls (MAGAZINE)
Wajah penghias
 
 
Mutiara Kata  
>> Tenas Effendy
Sebagai pemimpin ianya cerdik
Tahu Menyemak bijak menilik
Tahu menyelesaikan perkara pelik.
Ilmunya luas budi pun baik
Akalnya panjang bicara pun molek
Negeri makmur rakyat terdidik.
 
 
Bahasa Sukuan  
>> Kata Klasik: Pertanda, pelebaya
Takrif: Orang yang menjalankan hukuman mati. Disebut juga algojo. Contoh ayat: Maka lalulah disuruhnya bunuh sebentar itu juga kepada pertanda.
 
Hakcipta Terpelihara © 2007 Berita Harian Sdn Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768
Berita Harian Harian Metro Emedia Emedia NSTP