[ 03-12-2008 ]
Sidang Editor:
PENAUNG
Y. Bhg. Dato' Dr. Firdaus Haji Abdullah
Ketua Pengarah DBP

PENASIHAT
Hajah Noresah Baharom
Pengarah Jabatan Bahasa

Othman Ismail
Ketua Bahagian Pengembangan
Bahasa Melayu DBP

KETUA EDITOR
Rohayu Ismail
(ayu@dbp.gov.my)

TIMBALAN KETUA EDITOR
Siti Ruzaiha Mohd Riffin
(ruzaiha@dbp.gov.my)

EDITOR DBP
Wan Mohd Saophy Amizul Wan Mansor
(amizul@dbp.gov.my)

Roziah Mohd Yunus
(roziah@dbp.gov.my)

Norazlinda Misran
(linda_m@dbp.gov.my)

Fatimah Zahrin Mohd Taib
(fatimah@dbp.gov.my)

PROMOSI
Ismail Karmun
(karmun@dbp.gov.my)

PENYELARAS LAMAN WEB
BERITA HARIAN-KLIK DBP

Unit Berita Harian Online
emediabh@bharian.com.my

 
Pedoman Sastera: Alusi
[Oleh Saifullizan Yahaya]

Dalam Pedoman Sastera bulan ini, akan dibincangkan satu lagi gaya bahasa yang lazim digunakan oleh penyair sewaktu menulis sesebuah puisi. Namun begitu penggunaan gaya bahasa ini tidak disedari oleh kebanyakan penyair.

Gaya bahasa yang dimaksudkan itu ialah alusi, iaitu gaya bahasa yang merujuk secara langsung atau tidak langsung kepada sesuatu peristiwa atau orang yang telah diketahui umum dalam kalangan pembaca.

Biasanya orang atau peristiwa yang dirujuk itu sangat dikenali oleh masyarakat setempat.

Sebagai contoh ialah sebuah puisi daripada Sasterawan Negara Usman Awang yang berjudul Malam di Balai Budaya

Malam itu di Balai Budaya
Api dan air mata
Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara

‘Berarak ke parlimen,
aku di muka’
Malam itu di Balai Budaya
Seseorang peguam muda
berkata

‘Bakar Perlembagaan 152’
Malam itu di Balai Budaya

Seseorang pemuda berteriak
‘Ayuh mari kita berarak’
Malam itu di Balai Budaya
para pelajar berikrar

‘Dada kami sedia dibakar’
Malam itulah juga
Parlimen jadi petanda
Memenggal leher BAHASA.
(1991: 90)


Malam itu di Balai Budaya ialah satu peristiwa Perarakan Keranda 152 kerana menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka sekarang. Penyair hanya mengambil satu peristiwa dengan hanya menyebut Malam itu di Balai Budaya dengan maksud untuk mewakilkan seluruh peristiwa tersebut.

Satu lagi penggunaan gaya bahasa alusi adalah dengan merujuk nama seseorang yang telah diketahui umum atau yang tercatat dalam sejarah. Contohnya adalah dalam rangkap ketiga puisi Dato’ Onn, karya Usman Awang.

...
Tapi siapa akan lupa, tanyalah
Anak-anak yang sekarang
jadi dewasa
Gemparnya MacMichael
di bumi bertuah
Menyebabkan namamu
harum di lembah.
...
(1991: 122)


Puisi ini menceritakan ketokoh-an Dato’ Onn Jaafar, iaitu salah seorang tokoh pejuang kemerdekaan negara. Namun gaya bahasa alusi di sini adalah apabila nama salah seorang pegawai Inggeris yang bernama MacMichael disentuh secara tidak langsung oleh penyair. Bagi mereka yang tahu tentang sejarah penubuhan Malayan Union, tentu sahaja pernah mendengar nama MacMichael, iaitu pegawai British yang ditugaskan untuk memujuk dan mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu. Tetapi dalam puisi ini, nama MacMichael disebut untuk mewakili semua pegawai British di Tanah Melayu, yang gempar dengan kebangkitan semangat kebangsaan bangsa Melayu yang disemarakkan oleh Dato’ Onn Jaafar.

Begitulah penggunaan alusi dalam puisi yang merujuk sesu-atu peristiwa atau nama seseorang yang dianggap dikenali oleh umum sama ada secara langsung atau tidak langsung. Biasanya penggunaan gaya bahasa alusi ini adalah untuk menguatkan lagi sesuatu persoalan sesebuah puisi. Apatah lagi sifat puisi itu sendiri yang padat dan ringkas menyebabkan tidak perlu semua peristiwa diceritakan tetapi cukup sekadar disentuh sepintas lalu sahaja.


 
Istilah Bahasa  
>> Patrimoni
Harta pusaka yang diwarisi daripada bapa atau nenek moyang sebelah bapa.
>> Patrilineal
Berkaitan dengan hubungan keturunan atau kekeluargaan mengikut garis keturunan sebelah lelaki atau bapa.
>> Mores
Tatalaku, adat, kebiasaan dan sebagainya yang sudah mendasari nilai-nilai kehidupan sesuatu kumpulan.
>> Pemawah
Orang yang mengusahakan tanah, memelihara ternakan dan sebagainya yang dipawahkan oleh tuan punya kepadanya.
>> Peracun
1. Orang yang meracun atau meracuni: Perempuan boleh menjadi penawar dan perempuan juga boleh menjadi peracun. 2. Orang yang membuat racun.
>> Peracik
Orang yang menangkap burung dengan menggunakan racik: Bapanya bukanlah peracik burung sepenuh masa.
>> Pempasteur
1. Orang yang melakukan proses atau kerja pempasteuran. 2. Alat untuk mempasteurkan sesuatu bahan seperti susu, keju dan krim.
>> Penyihir
Orang yang mengenakan (ilmu) sihir terhadap orang lain.
>> Perangka
Orang yang merangka (program, rancangan dan sebagainya), perancang: Para perangka dan penyelia program ini terdiri daripada pegawai di Kementerian Pendidikan.
>> Memprosakan
Menukarkan puisi (sajak dan sebagainya) kepada prosa: Mereka juga diberi bimbingan tentang teknik memprosakan puisi, sajak dan sebagainya.
>> Repertori (répertori)
Persembahan teater yang terdiri daripada beberapa lakonan (drama) oleh satu kumpulan teater untuk tempoh masa yang singkat.
>> Repertoir (répertoir)
1. Semua drama, muzik, nyanyian, cerita dan sebagainya yang sedia untuk dinyanyikan (dilakonkan, dipersembahkan dan sebagainya) oleh penyanyi, pelakon, pemuzik dan sebagainya; 2. (Komputer) set arahan lengkap yang dimiliki oleh komputer tertentu.
>> Sarkasme
Kiasan atau ironi yang mengandungi unsur-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakitkan hati seseorang, sindiran.
>> Kesasterawanan
Hal (sifat dan sebagainya) yang berkaitan dengan sasterawan: Pengarang harus memiliki keterampilan kesasterawanan yang menguasai teknik penulisan dan peka terhadap hal-hal kemanusiaan.
>> Pak Mulung
Tukang cerita dalam persembahan mekmulung yang turut sama melakonkan ceritanya dengan pelakon lain.
>> Imperialisme (imperialism)
Penguasaan sesebuah negara ke atas negara lain sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial atau budaya. Dengan penguasaan ini, penjajah akan mengeksploitasi segala sumber dan tenaga yang terdapat dalam negara tersebut untuk kepentingan negara mereka.
>> Hegemoni (hegemony)
Penguasaan pemerintah terhadap orang ramai tanpa kekerasan dan paksaan. Orang ramai memberikan sokongan dan legitimasi kepada pemerintah tanpa menyedari bahawa mereka sedang dikuasai, khususnya dari sudut pemikiran dan nilai. Penguasaan ini boleh dibentuk melalui kempen yang berkesan, sistem pendidikan, peranan media, manipulasi unsur budaya, faktor sejarah masyarakat dan juga penggunaan agensi pemerintahan seperti polis, undang-undang, bahagian keselamatan dalam negeri, imigresen dan sebagainya. Melalui hegemoni ini, pemerintahan sesebuah kerajaan dapat bertahan lebih lama.
>> Konserto
Gubahan muzik yang menampilkan persembahan pemain solo dengan iringan orkestra.
>> Presto (présto)
Tempo muzik yang dimainkan dengan cepat.
>> Rondo
Bentuk lagu yang mengulangulang melodi utamanya, yang selalunya terdapat dalam pergerakan gubahan akhir muzik sonata atau konserto.
>> Septet (séptét)
1. gubahan muzik untuk sekumpulan tujuh orang penyanyi atau pemuzik; 2. kumpulan muzik yang terdiri daripada tujuh orang penyanyi atau pemuzik.
>> Largo
Muzik yang dimainkan dengan tempo yang sangat perlahan.
>> Rabub
Sejenis alat bunyi-bunyian bertali satu yang digesek, yang dimainkan oleh masyarakat kaum Kenyah di Sarawak.
>> Bibliofil
Orang yang suka mengumpul atau meminati buku, pencinta buku.
>> Bigamis
Orang yang beristeri atau bersuami dua.
>> Filateli
Kegemaran mengumpul dan mengkaji setem.
>> Pempamer
Pihak atau orang yang mempamerkan sesuatu produk, barang dsb: Pameran ini mencatat sejarah dengan penyertaan lebih enam ribu pempamer dari kira-kira dua ratus buah negara.
>> Plutokrat
Orang yang kaya-raya dan berkuasa, orang yang berpengaruh kerana kekayaannya.
>> Purbawan
Orang yang mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang purba atau antik.
>> Tonem
Tonem (ton'm) - Ciri nada yang membezakan dua bentuk atau kata seiras dalam bahasa nadaan seperti bahasa Cina dan bahasa Thai.

 
 
Glosari  
>> Covergirls (MAGAZINE)
Wajah penghias
 
 
Mutiara Kata  
>> Tenas Effendy
Sebagai pemimpin ianya cerdik
Tahu Menyemak bijak menilik
Tahu menyelesaikan perkara pelik.
Ilmunya luas budi pun baik
Akalnya panjang bicara pun molek
Negeri makmur rakyat terdidik.
 
 
Bahasa Sukuan  
>> Kata Klasik: Pertanda, pelebaya
Takrif: Orang yang menjalankan hukuman mati. Disebut juga algojo. Contoh ayat: Maka lalulah disuruhnya bunuh sebentar itu juga kepada pertanda.
 
Hakcipta Terpelihara © 2007 Berita Harian Sdn Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768
Berita Harian Harian Metro Emedia Emedia NSTP