[ 03-12-2008 ]
Sidang Editor:
PENAUNG
Y. Bhg. Dato' Dr. Firdaus Haji Abdullah
Ketua Pengarah DBP

PENASIHAT
Hajah Noresah Baharom
Pengarah Jabatan Bahasa

Othman Ismail
Ketua Bahagian Pengembangan
Bahasa Melayu DBP

KETUA EDITOR
Rohayu Ismail
(ayu@dbp.gov.my)

TIMBALAN KETUA EDITOR
Siti Ruzaiha Mohd Riffin
(ruzaiha@dbp.gov.my)

EDITOR DBP
Wan Mohd Saophy Amizul Wan Mansor
(amizul@dbp.gov.my)

Roziah Mohd Yunus
(roziah@dbp.gov.my)

Norazlinda Misran
(linda_m@dbp.gov.my)

Fatimah Zahrin Mohd Taib
(fatimah@dbp.gov.my)

PROMOSI
Ismail Karmun
(karmun@dbp.gov.my)

PENYELARAS LAMAN WEB
BERITA HARIAN-KLIK DBP

Unit Berita Harian Online
emediabh@bharian.com.my

 
Pembaca Naskhah Klasik Terbaik Tahun 2007
[Oleh Mardhiah Othman]

Pernahkah anda membaca Hikayat Seri Kelantan, Sejarah Melayu, Hikayat Patani, Hikayat Seri Rama, atau pun Hikayat Hang Tuah? Bolehkah anda bayangkan bagaimana penglipur lara pada zaman dahulu, bercerita untuk menghiburkan penontonnya?

Kreatif

Yusnizamawar Binti Mohd Anuar, peserta dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya memukau penonton dengan membuat persembahan yang menarik. Beliau dengan kreatifnya menggabungkan intonasi suara dengan mimik muka, dan dengan penuh penghayatan serta kelancaran, menyampaikan kisah Hikayat Seri Kelantan tanpa membosankan penonton.

Beliau satu-satunya peserta dengan idea yang paling kreatif membuat gimik lakonan seorang ‘nenek kebayan’ yang kemudiannya bertukar rupa menjadi wanita muda semasa menyampaikan ceritanya.

Dengan kreativitinya, Yusnizamawar telah muncul sebagai Pembaca Naskhah Klasik Terbaik Tahun 2007 dalam Pertandingan Baca Naskhah Karya Klasik: Hikayat Seri Kelantan. Beliau berjaya menewaskan 12 orang peserta lain yang mewakili Universiti Putra Malaysia, Akademi Pengajian Melayu, Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), dan Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Acara Pertandingan Baca Naskhah Hikayat Seri Kelantan yang berlangsung di Galeri Ilmu Koperasi DBP, Menara DBP, Kuala Lumpur, dianjurkan oleh Pusat Dokumentasi Melayu DBP dengan kerjasama Koperasi DBP Berhad sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2007 pada 23 April yang lalu.

Hikayat Seri Kelantan ialah naskhah klasik tentang sejarah pemerintahan negeri Kelantan yang tergolong dalam kategori manuskrip sejarah dan ketatanegaraan.

Hikayat ini bermula dengan kisah Cik Siti Wan Kembang sebagai raja yang asal memerintah negeri Kelantan Purba dan diikuti pula dengan kisah lagenda Tuan Puteri Sa’dong.

Pemerintahan Kelantan Purba bergolak selepas Puteri Sa’dong turun takhta dan menye rahkan pemerintahannya kepada suami baginda, Sultan Abdullah.

Hikayat Seri Kelantan mengisahkan susur galur pemerintahan beraja kerajaan Islam Kelantan, meliputi sistem undang-undang, ekonomi, bahasa, budaya dan agama.

Program ini telah mendapat sambutan peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk penyertaan bukan Melayu.

Antara peserta bukan Melayu yang menunjukkan bakatnya ialah Uthaya Sankar daripada Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Acara ini berjaya mendekatkan masyarakat dengan DBP sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab mengembangkan bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Maklumat Sastera

  • Sudut Pandangan Kamera: Kaedah penulisan ini menggalurkan sebahagian daripada serpihan hidup tanpa pemilihan atau susunan tertentu, sebagaimana yang berlaku di hadapan medium rakaman. Ia mungkin dimulakan de ngan wacana. “Aku adalah sebuah kamera... Di tepian sungai ada gadis mandi...” merupakan kaedah Iama yang amat mementingkan teknik, seperti kamera yang merakamkan setiap peristiwa. Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain menggarap novelnya yang berjudul Imam menggunakan kaedah ini berdasarkan pengalaman beliau dalam dunia perfileman sewaktu di Singapura dahulu.

  • "Bingung", merupakan cerpen pertama karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Sepuluh tahun kemudian, novel pertama beliau, “Rentong” diterbitkan pada tahun 1965.

  • Cerita Pendek menceritakan satu atau beberapa sahaja peristiwa dalam kehidupan manakala novel menceritakan semua peristiwa dalam satu kehidupan.


  •  
    Istilah Bahasa  
    >> Patrimoni
    Harta pusaka yang diwarisi daripada bapa atau nenek moyang sebelah bapa.
    >> Patrilineal
    Berkaitan dengan hubungan keturunan atau kekeluargaan mengikut garis keturunan sebelah lelaki atau bapa.
    >> Mores
    Tatalaku, adat, kebiasaan dan sebagainya yang sudah mendasari nilai-nilai kehidupan sesuatu kumpulan.
    >> Pemawah
    Orang yang mengusahakan tanah, memelihara ternakan dan sebagainya yang dipawahkan oleh tuan punya kepadanya.
    >> Peracun
    1. Orang yang meracun atau meracuni: Perempuan boleh menjadi penawar dan perempuan juga boleh menjadi peracun. 2. Orang yang membuat racun.
    >> Peracik
    Orang yang menangkap burung dengan menggunakan racik: Bapanya bukanlah peracik burung sepenuh masa.
    >> Pempasteur
    1. Orang yang melakukan proses atau kerja pempasteuran. 2. Alat untuk mempasteurkan sesuatu bahan seperti susu, keju dan krim.
    >> Penyihir
    Orang yang mengenakan (ilmu) sihir terhadap orang lain.
    >> Perangka
    Orang yang merangka (program, rancangan dan sebagainya), perancang: Para perangka dan penyelia program ini terdiri daripada pegawai di Kementerian Pendidikan.
    >> Memprosakan
    Menukarkan puisi (sajak dan sebagainya) kepada prosa: Mereka juga diberi bimbingan tentang teknik memprosakan puisi, sajak dan sebagainya.
    >> Repertori (répertori)
    Persembahan teater yang terdiri daripada beberapa lakonan (drama) oleh satu kumpulan teater untuk tempoh masa yang singkat.
    >> Repertoir (répertoir)
    1. Semua drama, muzik, nyanyian, cerita dan sebagainya yang sedia untuk dinyanyikan (dilakonkan, dipersembahkan dan sebagainya) oleh penyanyi, pelakon, pemuzik dan sebagainya; 2. (Komputer) set arahan lengkap yang dimiliki oleh komputer tertentu.
    >> Sarkasme
    Kiasan atau ironi yang mengandungi unsur-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakitkan hati seseorang, sindiran.
    >> Kesasterawanan
    Hal (sifat dan sebagainya) yang berkaitan dengan sasterawan: Pengarang harus memiliki keterampilan kesasterawanan yang menguasai teknik penulisan dan peka terhadap hal-hal kemanusiaan.
    >> Pak Mulung
    Tukang cerita dalam persembahan mekmulung yang turut sama melakonkan ceritanya dengan pelakon lain.
    >> Imperialisme (imperialism)
    Penguasaan sesebuah negara ke atas negara lain sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial atau budaya. Dengan penguasaan ini, penjajah akan mengeksploitasi segala sumber dan tenaga yang terdapat dalam negara tersebut untuk kepentingan negara mereka.
    >> Hegemoni (hegemony)
    Penguasaan pemerintah terhadap orang ramai tanpa kekerasan dan paksaan. Orang ramai memberikan sokongan dan legitimasi kepada pemerintah tanpa menyedari bahawa mereka sedang dikuasai, khususnya dari sudut pemikiran dan nilai. Penguasaan ini boleh dibentuk melalui kempen yang berkesan, sistem pendidikan, peranan media, manipulasi unsur budaya, faktor sejarah masyarakat dan juga penggunaan agensi pemerintahan seperti polis, undang-undang, bahagian keselamatan dalam negeri, imigresen dan sebagainya. Melalui hegemoni ini, pemerintahan sesebuah kerajaan dapat bertahan lebih lama.
    >> Konserto
    Gubahan muzik yang menampilkan persembahan pemain solo dengan iringan orkestra.
    >> Presto (présto)
    Tempo muzik yang dimainkan dengan cepat.
    >> Rondo
    Bentuk lagu yang mengulangulang melodi utamanya, yang selalunya terdapat dalam pergerakan gubahan akhir muzik sonata atau konserto.
    >> Septet (séptét)
    1. gubahan muzik untuk sekumpulan tujuh orang penyanyi atau pemuzik; 2. kumpulan muzik yang terdiri daripada tujuh orang penyanyi atau pemuzik.
    >> Largo
    Muzik yang dimainkan dengan tempo yang sangat perlahan.
    >> Rabub
    Sejenis alat bunyi-bunyian bertali satu yang digesek, yang dimainkan oleh masyarakat kaum Kenyah di Sarawak.
    >> Bibliofil
    Orang yang suka mengumpul atau meminati buku, pencinta buku.
    >> Bigamis
    Orang yang beristeri atau bersuami dua.
    >> Filateli
    Kegemaran mengumpul dan mengkaji setem.
    >> Pempamer
    Pihak atau orang yang mempamerkan sesuatu produk, barang dsb: Pameran ini mencatat sejarah dengan penyertaan lebih enam ribu pempamer dari kira-kira dua ratus buah negara.
    >> Plutokrat
    Orang yang kaya-raya dan berkuasa, orang yang berpengaruh kerana kekayaannya.
    >> Purbawan
    Orang yang mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang purba atau antik.
    >> Tonem
    Tonem (ton'm) - Ciri nada yang membezakan dua bentuk atau kata seiras dalam bahasa nadaan seperti bahasa Cina dan bahasa Thai.

     
     
    Glosari  
    >> Covergirls (MAGAZINE)
    Wajah penghias
     
     
    Mutiara Kata  
    >> Tenas Effendy
    Sebagai pemimpin ianya cerdik
    Tahu Menyemak bijak menilik
    Tahu menyelesaikan perkara pelik.
    Ilmunya luas budi pun baik
    Akalnya panjang bicara pun molek
    Negeri makmur rakyat terdidik.
     
     
    Bahasa Sukuan  
    >> Kata Klasik: Pertanda, pelebaya
    Takrif: Orang yang menjalankan hukuman mati. Disebut juga algojo. Contoh ayat: Maka lalulah disuruhnya bunuh sebentar itu juga kepada pertanda.
     
    Hakcipta Terpelihara © 2007 Berita Harian Sdn Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.
    Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768
    Berita Harian Harian Metro Emedia Emedia NSTP