[ 03-12-2008 ]
Sidang Editor:
PENAUNG
Y. Bhg. Dato' Dr. Firdaus Haji Abdullah
Ketua Pengarah DBP

PENASIHAT
Hajah Noresah Baharom
Pengarah Jabatan Bahasa

Othman Ismail
Ketua Bahagian Pengembangan
Bahasa Melayu DBP

KETUA EDITOR
Rohayu Ismail
(ayu@dbp.gov.my)

TIMBALAN KETUA EDITOR
Siti Ruzaiha Mohd Riffin
(ruzaiha@dbp.gov.my)

EDITOR DBP
Wan Mohd Saophy Amizul Wan Mansor
(amizul@dbp.gov.my)

Roziah Mohd Yunus
(roziah@dbp.gov.my)

Norazlinda Misran
(linda_m@dbp.gov.my)

Fatimah Zahrin Mohd Taib
(fatimah@dbp.gov.my)

PROMOSI
Ismail Karmun
(karmun@dbp.gov.my)

PENYELARAS LAMAN WEB
BERITA HARIAN-KLIK DBP

Unit Berita Harian Online
emediabh@bharian.com.my

 
TERAMPIL MENGARANG: Binaan Kata dalam Karang-Mengarang
[Bersama Profesor Dr. Awang Sariyan]

Dalam Klik DBP Jun 2008, telah kita bincangkan awalan ber- sebagai pem-bentuk kata kerja. Kali ini kita bincangkan pula awalan me- yang juga membentuk kata kerja. Jika dibandingkan dengan ber-, awalan men- jauh lebih produktif dalam pembentukan kata kerja dan amat penting dalam peng-hasilan wacana, baik lisan mahupun tulisan. Bahkan, kata kerja yang terbentuk dengan awalan tersebut jauh lebih kompleks.

Pertama sekali, anda perlu tahu bahawa awalan me- membentuk kata kerja aktif, iaitu kata kerja yang menegaskan subjek ayat sebagai pelaku.

Contohnya:

1. Kambing mengembik.

2. Anak kecil itu menangis.

3. Kerajaan merancang

pembangunan negara.

Semua kata kerja dalam ketiga-tiga ayat itu ialah kata kerja aktif, iaitu kata kerja yang ayatnya ialah ragam ayat aktif. Semua ayat itu menunjukkan subjek ayat sebagai pelaku. Namun, ada ke­lainan antara kata kerja dalam ayat (1) dan (2) daripada kata kerja dalam ayat (3).

Kata kerja dalam ayat (1) dan (2) ialah kata kerja tak transitif, iaitu kata kerja yang dapat berdiri sendiri tanpa objek. Kata mengembik dan kata menangis tidak memerlukan objek. Lain pula halnya dengan kata kerja dalam ayat (3), iaitu merancang yang diikuti oleh objeknya, iaitu pembangunan negara. Kata kerja yang memerlukan objek disebut kata kerja transitif.

Keadaan awalan men- dapat menjadi pembentuk kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif itu sahaja tidak kurang menyebabkan ada pengguna bahasa, termasuk penulis, yang kadang-kadang keliru sehingga silap menggunakan kata kerja yang betul.

Misalnya, sering kita temukan ayat seperti:

4. Kebanyakan orang memperkatakan tentang naiknya harga minyak.

Oleh sebab kata kerja memperkatakan ialah kata kerja transitif, maka tidak perlu digunakan kata sendi tentang yang memisahkan kata kerja transitif dengan objeknya, iaitu naiknya harga minyak.

Contoh lain kesilapan yang sering ditemukan dalam media ialah:

5. Jawatankuasa kerja sedang

membincangkan tentang

projek tahunan persatuan.

6. Hashim Saad melaporkan

dari Canberra.

Dalam ayat (5), kata kerja transitif membincangkan perlu terus diikuti oleh objeknya, iaitu projek tahunan persatuan. Dalam ayat (6) pula, kata kerja transitif tidak ada objeknya. Ayat itu perlu dilengkapkan menjadi Hashim melaporkan berita dari Canberra. Objek itu boleh jadi juga persidangan, sidang kemuncak dan yang lain.

Cara lain membetulkan ayat itu ialah dengan mengubahnya menjadi ayat nominal, iaitu ayat yang tidak menggunakan kata kerja, seperti Demikianlah laporan Hashim Saad dari Can-berra.

Anda dapat mengecamkan sama ada sesuatu kata kerja yang terbentuk dengan awalan me- itu transitif atau tak transitif dengan memastikan adakah kata kerja itu memerlukan objek atau tidak. Sebagai contoh, bandingkanlah pasangan kata kerja dalam ayat-ayat yang berikut:

7. (a) Sungai itu mengalir lesu. (kata kerja tak

transitif)

(b) Sungai itu mengalirkan

sampah-sarap. (kata kerja

transitif)

8. (a) Wanita itu menangis

sepanjang hari kerana terlalu sedih. (kata kerja tak transitif)

(b) Wanita itu menangisi

kematian kucing kesayang-

annya. (kata kerja transitif)

9. (a) Pantai Port Dickson memanjang sejauh lebih 10 km.

(kata kerja tak transitif)

(d) Para pekerja meman-

jangkan jalan itu sehingga

ke hujung kampung. (kata

kerja transitif)

Dalam siri seterusnya, akan kita bincangkan pula pelbagai bentuk awalan me- yang menyebabkan sering kali pengguna bahasa, termasuk golongan penulis, keliru untuk menggunakan bentuk yang tepat, sama ada me-, mem-, men-, meng- atau menge-.

Sebilangan anda pun mungkin ada yang bermasalah ketika menulis, sama ada patut mengatakan mempastikan atau memastikan, mencintai atau menyintai, mewujudkan atau mengwujudkan, mengebumikan atau mengkebumikan, mengetengahkan atau mengenengahkan dan pelbagai bentuk yang lain lagi. Kita bertemu dalam siri akan datang untuk membincangkan isu itu.


 
Istilah Bahasa  
>> Patrimoni
Harta pusaka yang diwarisi daripada bapa atau nenek moyang sebelah bapa.
>> Patrilineal
Berkaitan dengan hubungan keturunan atau kekeluargaan mengikut garis keturunan sebelah lelaki atau bapa.
>> Mores
Tatalaku, adat, kebiasaan dan sebagainya yang sudah mendasari nilai-nilai kehidupan sesuatu kumpulan.
>> Pemawah
Orang yang mengusahakan tanah, memelihara ternakan dan sebagainya yang dipawahkan oleh tuan punya kepadanya.
>> Peracun
1. Orang yang meracun atau meracuni: Perempuan boleh menjadi penawar dan perempuan juga boleh menjadi peracun. 2. Orang yang membuat racun.
>> Peracik
Orang yang menangkap burung dengan menggunakan racik: Bapanya bukanlah peracik burung sepenuh masa.
>> Pempasteur
1. Orang yang melakukan proses atau kerja pempasteuran. 2. Alat untuk mempasteurkan sesuatu bahan seperti susu, keju dan krim.
>> Penyihir
Orang yang mengenakan (ilmu) sihir terhadap orang lain.
>> Perangka
Orang yang merangka (program, rancangan dan sebagainya), perancang: Para perangka dan penyelia program ini terdiri daripada pegawai di Kementerian Pendidikan.
>> Memprosakan
Menukarkan puisi (sajak dan sebagainya) kepada prosa: Mereka juga diberi bimbingan tentang teknik memprosakan puisi, sajak dan sebagainya.
>> Repertori (répertori)
Persembahan teater yang terdiri daripada beberapa lakonan (drama) oleh satu kumpulan teater untuk tempoh masa yang singkat.
>> Repertoir (répertoir)
1. Semua drama, muzik, nyanyian, cerita dan sebagainya yang sedia untuk dinyanyikan (dilakonkan, dipersembahkan dan sebagainya) oleh penyanyi, pelakon, pemuzik dan sebagainya; 2. (Komputer) set arahan lengkap yang dimiliki oleh komputer tertentu.
>> Sarkasme
Kiasan atau ironi yang mengandungi unsur-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakitkan hati seseorang, sindiran.
>> Kesasterawanan
Hal (sifat dan sebagainya) yang berkaitan dengan sasterawan: Pengarang harus memiliki keterampilan kesasterawanan yang menguasai teknik penulisan dan peka terhadap hal-hal kemanusiaan.
>> Pak Mulung
Tukang cerita dalam persembahan mekmulung yang turut sama melakonkan ceritanya dengan pelakon lain.
>> Imperialisme (imperialism)
Penguasaan sesebuah negara ke atas negara lain sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial atau budaya. Dengan penguasaan ini, penjajah akan mengeksploitasi segala sumber dan tenaga yang terdapat dalam negara tersebut untuk kepentingan negara mereka.
>> Hegemoni (hegemony)
Penguasaan pemerintah terhadap orang ramai tanpa kekerasan dan paksaan. Orang ramai memberikan sokongan dan legitimasi kepada pemerintah tanpa menyedari bahawa mereka sedang dikuasai, khususnya dari sudut pemikiran dan nilai. Penguasaan ini boleh dibentuk melalui kempen yang berkesan, sistem pendidikan, peranan media, manipulasi unsur budaya, faktor sejarah masyarakat dan juga penggunaan agensi pemerintahan seperti polis, undang-undang, bahagian keselamatan dalam negeri, imigresen dan sebagainya. Melalui hegemoni ini, pemerintahan sesebuah kerajaan dapat bertahan lebih lama.
>> Konserto
Gubahan muzik yang menampilkan persembahan pemain solo dengan iringan orkestra.
>> Presto (présto)
Tempo muzik yang dimainkan dengan cepat.
>> Rondo
Bentuk lagu yang mengulangulang melodi utamanya, yang selalunya terdapat dalam pergerakan gubahan akhir muzik sonata atau konserto.
>> Septet (séptét)
1. gubahan muzik untuk sekumpulan tujuh orang penyanyi atau pemuzik; 2. kumpulan muzik yang terdiri daripada tujuh orang penyanyi atau pemuzik.
>> Largo
Muzik yang dimainkan dengan tempo yang sangat perlahan.
>> Rabub
Sejenis alat bunyi-bunyian bertali satu yang digesek, yang dimainkan oleh masyarakat kaum Kenyah di Sarawak.
>> Bibliofil
Orang yang suka mengumpul atau meminati buku, pencinta buku.
>> Bigamis
Orang yang beristeri atau bersuami dua.
>> Filateli
Kegemaran mengumpul dan mengkaji setem.
>> Pempamer
Pihak atau orang yang mempamerkan sesuatu produk, barang dsb: Pameran ini mencatat sejarah dengan penyertaan lebih enam ribu pempamer dari kira-kira dua ratus buah negara.
>> Plutokrat
Orang yang kaya-raya dan berkuasa, orang yang berpengaruh kerana kekayaannya.
>> Purbawan
Orang yang mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang purba atau antik.
>> Tonem
Tonem (ton'm) - Ciri nada yang membezakan dua bentuk atau kata seiras dalam bahasa nadaan seperti bahasa Cina dan bahasa Thai.

 
 
Glosari  
>> Covergirls (MAGAZINE)
Wajah penghias
 
 
Mutiara Kata  
>> Tenas Effendy
Sebagai pemimpin ianya cerdik
Tahu Menyemak bijak menilik
Tahu menyelesaikan perkara pelik.
Ilmunya luas budi pun baik
Akalnya panjang bicara pun molek
Negeri makmur rakyat terdidik.
 
 
Bahasa Sukuan  
>> Kata Klasik: Pertanda, pelebaya
Takrif: Orang yang menjalankan hukuman mati. Disebut juga algojo. Contoh ayat: Maka lalulah disuruhnya bunuh sebentar itu juga kepada pertanda.
 
Hakcipta Terpelihara © 2007 Berita Harian Sdn Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768
Berita Harian Harian Metro Emedia Emedia NSTP