[ 03-12-2008 ]
Sidang Editor:
PENAUNG
Y. Bhg. Dato' Dr. Firdaus Haji Abdullah
Ketua Pengarah DBP

PENASIHAT
Hajah Noresah Baharom
Pengarah Jabatan Bahasa

Othman Ismail
Ketua Bahagian Pengembangan
Bahasa Melayu DBP

KETUA EDITOR
Rohayu Ismail
(ayu@dbp.gov.my)

TIMBALAN KETUA EDITOR
Siti Ruzaiha Mohd Riffin
(ruzaiha@dbp.gov.my)

EDITOR DBP
Wan Mohd Saophy Amizul Wan Mansor
(amizul@dbp.gov.my)

Roziah Mohd Yunus
(roziah@dbp.gov.my)

Norazlinda Misran
(linda_m@dbp.gov.my)

Fatimah Zahrin Mohd Taib
(fatimah@dbp.gov.my)

PROMOSI
Ismail Karmun
(karmun@dbp.gov.my)

PENYELARAS LAMAN WEB
BERITA HARIAN-KLIK DBP

Unit Berita Harian Online
emediabh@bharian.com.my

 
Trampil Mengarang: Binaan Kata dalam Karang-mengarang (2)
[Bersama Profesor Dr. Awang Sariyan]

Dalam keluaran lalu, telah saya tunjukkan beberapa contoh bagaimana penguasaan aspek binaan kata amat penting dalam karang-mengarang. Salah bentuk yang digunakan, mungkin salah pula pemahaman pembaca. Jika maknanya masih dapat diduga sekalipun, tulisan yang salah penggunaan binaan katanya menjadi cacat atau terjejas mutunya. Hal ini demikian kerana tulisan yang baik bukan sahaja mesti baik kandungannya, malahan mesti baik juga aspek persembahannya, termasuk bahasanya.

Kali ini mari kita bincangkan penggunaan kata tunggal sebagai binaan kata yang asas. Kata tunggal ialah kata yang dapat berdiri sendiri tanpa imbuhan, gandaan atau gabungan dengan unsur lain untuk menjadi kata majmuk.Kata tunggal berubah menjadi kata terbitan (kata berimbuhan), kata ganda atau kata majmuk apabila melalui proses penerbitan kata.

Kata tunggal ada yang berbentuk kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas (misalnya kata sendi, kata hubung, kata keterangan dan sebagainya). Perhatikanlah contoh penggunaan beberapa kata tunggal dan golongannya dalam ayat:

1. Akal dan bahasa merupakan anugerah Allah yang paling istimewa kepada manusia.

Kata akal, bahasa, anugerah, Allah, manusia ialah kata tunggal yang tergolong dalam kata nama. Kata istimewa pula ialah kata tunggal yang tergolong dalam kata adjektif, sementara kata dan, yang, paling ialah kata tunggal yang tergolong dalam kata tugas.

Semua kata tunggal yang digunakan dalam ayat itu menepati sistem bahasa Melayu. Namun apabila, misalnya, kata istimewa dalam ayat itu ditulis sebagai teristimewa, maka berlaku kelewahan atau penggunaan yang berlebihan bagi binaan kata tunggal itu. Kata itu tidak memerlukan awalan ter- kerana telah digunakan kata penguat paling di hadapannya.

Ada pengalaman menarik yang saya lalui ketika memberikan kursus penulisan kepada pelajar asing dari universiti di luar negara dalam hal penggunaan kata tunggal. Sebagai ujian awalan sebelum memberikan kursus, saya meminta pelajar menulis karangan ringkas tentang diri masing-masing. Salah seorang pelajar menulis ayat yang berikut:

2. Saya meninggal di bandar.

Pelajar itu mungkin beranggapan bahawa semua kata perlu diberi imbuhan sehingga kata tinggal yang sudah sempurna bentuk dan maknanya tanpa imbuhan pun diberinya awalan "me-". Kata tinggal ialah kata tunggal yang tergolong dalam kata kerja dan tidak memerlukan imbuhan untuk makna "diam atau bermastautin".

Kata itu boleh diberi imbuhan untuk menimbulkan makna yang lain, seperti awalan "me-" yang menimbulkan makna "mati" pada kata meninggal itu. Kesilapan seumpama itu mungkin tidak berlaku dalam kalangan pengguna asli bahasa Melayu, tetapi jelas bahawa pemahaman aspek binaan kata amat penting dalam karang-mengarang.

Ada pula waktunya kata atau bentuk yang bukan kata tunggal digunakan seolah-olah kata tunggal. Saya masih ingat akan lirik sebuah lagu yang di dalamnya terkandung bentuk yang remeh dan yang temeh. Kata remeh memang kata tunggal dan boleh digunakan sebagai bentuk yang berdiri sendiri, tetapi bentuk temeh bukan kata tunggal. Bentuk itu merupakan unsur yang melengkapkan kata remeh dan digunakan dalam bentuk kata ganda berentak, iaitu remehtemeh. Bentuk temeh tidak boleh dipisahkan daripada kata remeh.

Aspek lain yang amat perlu diberi perhatian ialah makna yang berlainan bagi kata tunggal yang seakan-akan sama bentuknya. Contohnya, ada orang yang tidak tahu bahawa kata rektor lain maknanya daripada kata reactor. Maka apabila ditulis ayat seperti yang berikut, pasti timbul makna yang salah:

3. Reaktor pertama universiti itu berasal dari Mesir.

Kata reaktor berkaitan dengan nuklear sedang kata rektor merujuk jawatan pemimpin universiti yang sama dengan naib canselor, atau di sesetengah universiti di luar negara disebut presiden.

Pernah pula penulis sebuah buku sejarah yang saya baca menggunakan kata Yunan untuk Yunani, sedang kedua-duanya berlainan. Yunan ialah nama provinsi atau wilayah di negara China sedang Yunani ialah nama lain bagi Greek. Kesalahan penggunaan kata tunggal yang berkaitan dengan nama itu pasti mengelirukan dan menyebabkan fakta sejarah dalam buku itu menjadi salah.

Contoh lain penggunaan kata tunggal yang salah dari segi maknanya tetapi amat lazim terdapat dalam komunikasi, termasuk tulisan ialah kata gejala. Amat meluas penggunaan kata gejala yang seolah-olah bermakna "masalah", sedang kata itu bererti "tanda". Contoh penggunaan yang salah ialah:

4. Gejala penagihan dadah dalam kalangan belia sudah sampai di peringkat yang parah.

Dalam konteks ayat tersebut, kata yang sesuai ialah masalah atau fenomena. Contoh penggunaan kata gejala yang betul ialah:

5. Oleh sebab gejala penyakit kanser biasanya agak lambat dikesan, anda dinasihati melakukan pemeriksaan kesihatan dari waktu ke waktu.

Demikianlah perbincangan ringkas tentang aspek kata tunggal dalam karang-mengarang. Semoga anda memberikan perhatian kepada penggunaan kata tunggal yang tepat, baik dari segi bentuk mahupun maknanya.


 
Istilah Bahasa  
>> Patrimoni
Harta pusaka yang diwarisi daripada bapa atau nenek moyang sebelah bapa.
>> Patrilineal
Berkaitan dengan hubungan keturunan atau kekeluargaan mengikut garis keturunan sebelah lelaki atau bapa.
>> Mores
Tatalaku, adat, kebiasaan dan sebagainya yang sudah mendasari nilai-nilai kehidupan sesuatu kumpulan.
>> Pemawah
Orang yang mengusahakan tanah, memelihara ternakan dan sebagainya yang dipawahkan oleh tuan punya kepadanya.
>> Peracun
1. Orang yang meracun atau meracuni: Perempuan boleh menjadi penawar dan perempuan juga boleh menjadi peracun. 2. Orang yang membuat racun.
>> Peracik
Orang yang menangkap burung dengan menggunakan racik: Bapanya bukanlah peracik burung sepenuh masa.
>> Pempasteur
1. Orang yang melakukan proses atau kerja pempasteuran. 2. Alat untuk mempasteurkan sesuatu bahan seperti susu, keju dan krim.
>> Penyihir
Orang yang mengenakan (ilmu) sihir terhadap orang lain.
>> Perangka
Orang yang merangka (program, rancangan dan sebagainya), perancang: Para perangka dan penyelia program ini terdiri daripada pegawai di Kementerian Pendidikan.
>> Memprosakan
Menukarkan puisi (sajak dan sebagainya) kepada prosa: Mereka juga diberi bimbingan tentang teknik memprosakan puisi, sajak dan sebagainya.
>> Repertori (répertori)
Persembahan teater yang terdiri daripada beberapa lakonan (drama) oleh satu kumpulan teater untuk tempoh masa yang singkat.
>> Repertoir (répertoir)
1. Semua drama, muzik, nyanyian, cerita dan sebagainya yang sedia untuk dinyanyikan (dilakonkan, dipersembahkan dan sebagainya) oleh penyanyi, pelakon, pemuzik dan sebagainya; 2. (Komputer) set arahan lengkap yang dimiliki oleh komputer tertentu.
>> Sarkasme
Kiasan atau ironi yang mengandungi unsur-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakitkan hati seseorang, sindiran.
>> Kesasterawanan
Hal (sifat dan sebagainya) yang berkaitan dengan sasterawan: Pengarang harus memiliki keterampilan kesasterawanan yang menguasai teknik penulisan dan peka terhadap hal-hal kemanusiaan.
>> Pak Mulung
Tukang cerita dalam persembahan mekmulung yang turut sama melakonkan ceritanya dengan pelakon lain.
>> Imperialisme (imperialism)
Penguasaan sesebuah negara ke atas negara lain sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial atau budaya. Dengan penguasaan ini, penjajah akan mengeksploitasi segala sumber dan tenaga yang terdapat dalam negara tersebut untuk kepentingan negara mereka.
>> Hegemoni (hegemony)
Penguasaan pemerintah terhadap orang ramai tanpa kekerasan dan paksaan. Orang ramai memberikan sokongan dan legitimasi kepada pemerintah tanpa menyedari bahawa mereka sedang dikuasai, khususnya dari sudut pemikiran dan nilai. Penguasaan ini boleh dibentuk melalui kempen yang berkesan, sistem pendidikan, peranan media, manipulasi unsur budaya, faktor sejarah masyarakat dan juga penggunaan agensi pemerintahan seperti polis, undang-undang, bahagian keselamatan dalam negeri, imigresen dan sebagainya. Melalui hegemoni ini, pemerintahan sesebuah kerajaan dapat bertahan lebih lama.
>> Konserto
Gubahan muzik yang menampilkan persembahan pemain solo dengan iringan orkestra.
>> Presto (présto)
Tempo muzik yang dimainkan dengan cepat.
>> Rondo
Bentuk lagu yang mengulangulang melodi utamanya, yang selalunya terdapat dalam pergerakan gubahan akhir muzik sonata atau konserto.
>> Septet (séptét)
1. gubahan muzik untuk sekumpulan tujuh orang penyanyi atau pemuzik; 2. kumpulan muzik yang terdiri daripada tujuh orang penyanyi atau pemuzik.
>> Largo
Muzik yang dimainkan dengan tempo yang sangat perlahan.
>> Rabub
Sejenis alat bunyi-bunyian bertali satu yang digesek, yang dimainkan oleh masyarakat kaum Kenyah di Sarawak.
>> Bibliofil
Orang yang suka mengumpul atau meminati buku, pencinta buku.
>> Bigamis
Orang yang beristeri atau bersuami dua.
>> Filateli
Kegemaran mengumpul dan mengkaji setem.
>> Pempamer
Pihak atau orang yang mempamerkan sesuatu produk, barang dsb: Pameran ini mencatat sejarah dengan penyertaan lebih enam ribu pempamer dari kira-kira dua ratus buah negara.
>> Plutokrat
Orang yang kaya-raya dan berkuasa, orang yang berpengaruh kerana kekayaannya.
>> Purbawan
Orang yang mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang purba atau antik.
>> Tonem
Tonem (ton'm) - Ciri nada yang membezakan dua bentuk atau kata seiras dalam bahasa nadaan seperti bahasa Cina dan bahasa Thai.

 
 
Glosari  
>> Covergirls (MAGAZINE)
Wajah penghias
 
 
Mutiara Kata  
>> Tenas Effendy
Sebagai pemimpin ianya cerdik
Tahu Menyemak bijak menilik
Tahu menyelesaikan perkara pelik.
Ilmunya luas budi pun baik
Akalnya panjang bicara pun molek
Negeri makmur rakyat terdidik.
 
 
Bahasa Sukuan  
>> Kata Klasik: Pertanda, pelebaya
Takrif: Orang yang menjalankan hukuman mati. Disebut juga algojo. Contoh ayat: Maka lalulah disuruhnya bunuh sebentar itu juga kepada pertanda.
 
Hakcipta Terpelihara © 2007 Berita Harian Sdn Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768
Berita Harian Harian Metro Emedia Emedia NSTP