[ 03-12-2008 ]
Sidang Editor:
PENAUNG
Y. Bhg. Dato' Dr. Firdaus Haji Abdullah
Ketua Pengarah DBP

PENASIHAT
Hajah Noresah Baharom
Pengarah Jabatan Bahasa

Othman Ismail
Ketua Bahagian Pengembangan
Bahasa Melayu DBP

KETUA EDITOR
Rohayu Ismail
(ayu@dbp.gov.my)

TIMBALAN KETUA EDITOR
Siti Ruzaiha Mohd Riffin
(ruzaiha@dbp.gov.my)

EDITOR DBP
Wan Mohd Saophy Amizul Wan Mansor
(amizul@dbp.gov.my)

Roziah Mohd Yunus
(roziah@dbp.gov.my)

Norazlinda Misran
(linda_m@dbp.gov.my)

Fatimah Zahrin Mohd Taib
(fatimah@dbp.gov.my)

PROMOSI
Ismail Karmun
(karmun@dbp.gov.my)

PENYELARAS LAMAN WEB
BERITA HARIAN-KLIK DBP

Unit Berita Harian Online
emediabh@bharian.com.my

 
Terampil Mengarang: Binaan Kata dalam Karang-Mengarang (1)
[Bersama Profesor Dr. Awang Sariyan]

Sesuatu idea atau fakta, bahkan perasaan, kita tampilkan dalam karangan dengan menggunakan beberapa banyak kata. Oleh itu, amat penting segala yang berkaitan dengan kata dikuasai oleh penulis. Salah satu aspek tentang kata yang penting ialah binaan kata.

Mengapakah kita perlu memahami binaan kata? Jawabnya ialah supaya kita dapat menggunakan kata yang betul bentuknya dan tepat pula maknanya. Sesuatu bentuk kata berkaitan rapat de-ngan maknanya. Sebagai contoh, kata mengagumkan ialah bentuk kata kerja atau perbuatan yang berapitan meng-…-kan, yang lain maknanya daripada kata mengagumi yang merupakan kata kerja berapitan me-…-i. Perhatikan penggunaannya da-lam ayat yang berikut:

1. Kejayaan Malaysia memupuk perpaduan rakyat mengagumkan beberapa banyak negara di dunia.

2. Pencapaian atlet OKU itu sungguh mengagumkan.

3. Sarjana asing mengagumi keindahan sastera Melayu.

Penggunaan kata mengagumkan dalam ayat (1) dan (2) menunjukkan makna unsur yang menjadi subjek ayat dikagumi iaitu, “kejayaan Malaysia memupuk perpaduan rakyat”, dan “pencapaian atlet OKU”. Makna kedua-dua ayat itu menjadi salah jika kata mengagumkan ditukar dengan kata mengagumi. Jika ada orang yang menulis ayat “Kejayaan Malaysia memupuk perpaduan rakyat mengagumi beberapa banyak negara di dunia”, maka makna yang timbul ialah bahawa “kejayaan Malaysia memupuk perpaduan rakyat” itu yang berasa kagum. Tentulah makna itu tidak munasabah sama sekali kerana bagaimanakah “kejayaan” dapat berasa kagum.

Demikian juga, jika ada orang yang menulis ayat “Pencapaian atlet OKU itu sungguh mengagumi”, maka makna yang timbul ialah bahawa “pencapaian atlet OKU” yang berasa kagum. Maknanya pun tidak munasabah kerana bagaimanakah “pencapaian” dapat berasa kagum. Penggunaan kata mengagumi dalam ayat (3) pula menimbulkan makna bahawa “sarjana asing” berasa kagum akan keindahan sastera Melayu. Dengan perkataan lain, yang mengagumkan sarjana asing ialah keindahan sastera Melayu, sehingga ayat itu dapat pula ditulis sebagai “Keindahan sastera Melayu mengagumkan sarjana asing”.

Namun, makna ayat (3) akan berubah sama sekali apabila ditulis sebagai “Sarjana asing menga-gumkan keindahan sastera Melayu”. Penukaran kata mengagumi dengan kata mengagumkan dalam ayat itu menimbulkan makna bahawa “Sarjana asing dikagumi oleh keindahan sastera Melayu”. Hal itu jelas tidak munasabah kerana bagaimanakah “keindahan sastera Melayu” dapat berasa kagum.

Dengan berdasarkan contoh awal itu, saya harap jelas pada anda bahawa menguasai selok-belok binaan kata amat penting sebagai prasyarat menghasilkan karangan atau tulisan yang berkesan.

Anda sudah melihat bagaimana kesannya apabila salah bentuk kata yang digunakan dalam tulisan. Kesannya ialah makna yang salah yang timbul daripada penggunaan bentuk kata yang salah.

Untuk memahami dan menguasai aspek binaan kata, anda pertama-tamanya perlu mengetahui adanya empat binaan kata dalam bahasa Melayu iaitu,

1. Kata tunggal

2. Kata terbitan (kata berimbuhan)

3. Kata ganda

4. Kanda majmuk

Memahami keempat-empat binaan kata itu bererti bahawa anda perlu menguasai ciri kata-kata yang termasuk dalam setiap binaan itu. Sebagai contoh, kata tunggal ialah kata yang tidak berimbuhan, tidak digandakan dan tidak juga berbentuk majmuk. Maka itu, apabila kata rahmat yang binaannya ialah kata tunggal dan sudah cukup menimbulkan makna yang lengkap diberi imbuhan menjadi kerahmatan, timbul kelewahan atau penggunaan yang berlebihan.

Tidakkah cukup kita katakan, misalnya, “Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada kita”? Mengapakah timbul kecenderung-an sesetengah orang menulis atau mengucapkan “Semoga Allah melimpahkan kerahmatan-Nya kepada kita”?

Tentang kata terbitan atau kata berimbuhan pula, perlu anda kuasai penggunaan pelbagai imbuhan yang ada dalam bahasa Melayu. Ada sejumlah imbuhan yang menerbitkan kata nama. Ada sejumlah pula yang menerbitkan kata kerja. Sebahagiannya pula ada yang menerbitkan kata adjektif atau kata sifat. Bahkan ada juga yang menerbitkan kata tugas.

Dalam hal kata ganda pula, ada kata ganda penuh, kata ganda separa dan kata ganda berentak. Ketiga-tiganya dapat digunakan untuk membantu penghasilan tulisan yang berkesan. Akhirnya, kata majmuk penting anda kuasai kerana binaan kata jenis ini berkaitan rapat dengan kreativiti dalam peluasan konsep tentang sesuatu. Kita akan membincangkan setiap binaan kata itu satu persatu.


 
Istilah Bahasa  
>> Patrimoni
Harta pusaka yang diwarisi daripada bapa atau nenek moyang sebelah bapa.
>> Patrilineal
Berkaitan dengan hubungan keturunan atau kekeluargaan mengikut garis keturunan sebelah lelaki atau bapa.
>> Mores
Tatalaku, adat, kebiasaan dan sebagainya yang sudah mendasari nilai-nilai kehidupan sesuatu kumpulan.
>> Pemawah
Orang yang mengusahakan tanah, memelihara ternakan dan sebagainya yang dipawahkan oleh tuan punya kepadanya.
>> Peracun
1. Orang yang meracun atau meracuni: Perempuan boleh menjadi penawar dan perempuan juga boleh menjadi peracun. 2. Orang yang membuat racun.
>> Peracik
Orang yang menangkap burung dengan menggunakan racik: Bapanya bukanlah peracik burung sepenuh masa.
>> Pempasteur
1. Orang yang melakukan proses atau kerja pempasteuran. 2. Alat untuk mempasteurkan sesuatu bahan seperti susu, keju dan krim.
>> Penyihir
Orang yang mengenakan (ilmu) sihir terhadap orang lain.
>> Perangka
Orang yang merangka (program, rancangan dan sebagainya), perancang: Para perangka dan penyelia program ini terdiri daripada pegawai di Kementerian Pendidikan.
>> Memprosakan
Menukarkan puisi (sajak dan sebagainya) kepada prosa: Mereka juga diberi bimbingan tentang teknik memprosakan puisi, sajak dan sebagainya.
>> Repertori (répertori)
Persembahan teater yang terdiri daripada beberapa lakonan (drama) oleh satu kumpulan teater untuk tempoh masa yang singkat.
>> Repertoir (répertoir)
1. Semua drama, muzik, nyanyian, cerita dan sebagainya yang sedia untuk dinyanyikan (dilakonkan, dipersembahkan dan sebagainya) oleh penyanyi, pelakon, pemuzik dan sebagainya; 2. (Komputer) set arahan lengkap yang dimiliki oleh komputer tertentu.
>> Sarkasme
Kiasan atau ironi yang mengandungi unsur-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakitkan hati seseorang, sindiran.
>> Kesasterawanan
Hal (sifat dan sebagainya) yang berkaitan dengan sasterawan: Pengarang harus memiliki keterampilan kesasterawanan yang menguasai teknik penulisan dan peka terhadap hal-hal kemanusiaan.
>> Pak Mulung
Tukang cerita dalam persembahan mekmulung yang turut sama melakonkan ceritanya dengan pelakon lain.
>> Imperialisme (imperialism)
Penguasaan sesebuah negara ke atas negara lain sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial atau budaya. Dengan penguasaan ini, penjajah akan mengeksploitasi segala sumber dan tenaga yang terdapat dalam negara tersebut untuk kepentingan negara mereka.
>> Hegemoni (hegemony)
Penguasaan pemerintah terhadap orang ramai tanpa kekerasan dan paksaan. Orang ramai memberikan sokongan dan legitimasi kepada pemerintah tanpa menyedari bahawa mereka sedang dikuasai, khususnya dari sudut pemikiran dan nilai. Penguasaan ini boleh dibentuk melalui kempen yang berkesan, sistem pendidikan, peranan media, manipulasi unsur budaya, faktor sejarah masyarakat dan juga penggunaan agensi pemerintahan seperti polis, undang-undang, bahagian keselamatan dalam negeri, imigresen dan sebagainya. Melalui hegemoni ini, pemerintahan sesebuah kerajaan dapat bertahan lebih lama.
>> Konserto
Gubahan muzik yang menampilkan persembahan pemain solo dengan iringan orkestra.
>> Presto (présto)
Tempo muzik yang dimainkan dengan cepat.
>> Rondo
Bentuk lagu yang mengulangulang melodi utamanya, yang selalunya terdapat dalam pergerakan gubahan akhir muzik sonata atau konserto.
>> Septet (séptét)
1. gubahan muzik untuk sekumpulan tujuh orang penyanyi atau pemuzik; 2. kumpulan muzik yang terdiri daripada tujuh orang penyanyi atau pemuzik.
>> Largo
Muzik yang dimainkan dengan tempo yang sangat perlahan.
>> Rabub
Sejenis alat bunyi-bunyian bertali satu yang digesek, yang dimainkan oleh masyarakat kaum Kenyah di Sarawak.
>> Bibliofil
Orang yang suka mengumpul atau meminati buku, pencinta buku.
>> Bigamis
Orang yang beristeri atau bersuami dua.
>> Filateli
Kegemaran mengumpul dan mengkaji setem.
>> Pempamer
Pihak atau orang yang mempamerkan sesuatu produk, barang dsb: Pameran ini mencatat sejarah dengan penyertaan lebih enam ribu pempamer dari kira-kira dua ratus buah negara.
>> Plutokrat
Orang yang kaya-raya dan berkuasa, orang yang berpengaruh kerana kekayaannya.
>> Purbawan
Orang yang mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang purba atau antik.
>> Tonem
Tonem (ton'm) - Ciri nada yang membezakan dua bentuk atau kata seiras dalam bahasa nadaan seperti bahasa Cina dan bahasa Thai.

 
 
Glosari  
>> Covergirls (MAGAZINE)
Wajah penghias
 
 
Mutiara Kata  
>> Tenas Effendy
Sebagai pemimpin ianya cerdik
Tahu Menyemak bijak menilik
Tahu menyelesaikan perkara pelik.
Ilmunya luas budi pun baik
Akalnya panjang bicara pun molek
Negeri makmur rakyat terdidik.
 
 
Bahasa Sukuan  
>> Kata Klasik: Pertanda, pelebaya
Takrif: Orang yang menjalankan hukuman mati. Disebut juga algojo. Contoh ayat: Maka lalulah disuruhnya bunuh sebentar itu juga kepada pertanda.
 
Hakcipta Terpelihara © 2007 Berita Harian Sdn Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768
Berita Harian Harian Metro Emedia Emedia NSTP