[ 03-12-2008 ]
Sidang Editor:
PENAUNG
Y. Bhg. Dato' Dr. Firdaus Haji Abdullah
Ketua Pengarah DBP

PENASIHAT
Hajah Noresah Baharom
Pengarah Jabatan Bahasa

Othman Ismail
Ketua Bahagian Pengembangan
Bahasa Melayu DBP

KETUA EDITOR
Rohayu Ismail
(ayu@dbp.gov.my)

TIMBALAN KETUA EDITOR
Siti Ruzaiha Mohd Riffin
(ruzaiha@dbp.gov.my)

EDITOR DBP
Wan Mohd Saophy Amizul Wan Mansor
(amizul@dbp.gov.my)

Roziah Mohd Yunus
(roziah@dbp.gov.my)

Norazlinda Misran
(linda_m@dbp.gov.my)

Fatimah Zahrin Mohd Taib
(fatimah@dbp.gov.my)

PROMOSI
Ismail Karmun
(karmun@dbp.gov.my)

PENYELARAS LAMAN WEB
BERITA HARIAN-KLIK DBP

Unit Berita Harian Online
emediabh@bharian.com.my

 
TERAMPIL MENGARANG: Senarai Semak Penulisan yang Berkesan
[Bersama Profesor Dr. Awang Sariyan]

Dalam siri ruangan Terampil Mengarang pada sepanjang tahun ini, telah saya huraikan asas penulisan yang berkesan. Huraian yang saya berikan pada dasarnya terbahagi kepada tiga bahagian pokok. Yang pertama ialah huraian yang berkaitan dengan langkah-langkah pada tahap prapenulisan atau tahap persediaan untuk mengarang. Yang kedua ialah huraian yang berkaitan dengan tahap penulisan yang sebenarnya. Yang terakhir ialah huraian tentang tahap pasca penulisan atau penyemakan.

Dalam tahap prapenulisan, antara perkara yang penting diberi perhatian termasuklah:

1. Sebab anda menulis (untuk menyampaikan maklumat, ilmu, pandangan atau fikiran anda, atau mungkin juga untuk menghiburkan khalayak. Tulisan itu boleh sahaja dalam bentuk rencana, ulasan, buku, cerpen, novel, puisi atau drama.

2. Siapakah khalayak tulisan anda (Walaupun memang ada tulisan yang sesuai dibaca oleh pelbagai kelompok pembaca, namun elok anda memastikan adakah tulisan yang akan anda hasilkan itu untuk golongan dewasa, remaja, kanak-kanak, orang awam, ahli akade-mik, profesional atau sebagainya. Dengan demikian tulisan anda lebih terarah dan berfokus kepada pembaca sasaran yang utama.)

3. Apakah bidang yang hendak anda tulis (Sebaik-baiknya pilihlah bidang yang anda kuasai, atau jika anda kurang menguasainya tetapi berminat tentang bidang itu, anda perlu berusaha mendalaminya. Elakkan menulis sesuatu bidang yang tidak anda kuasai.)

4. Apa skop atau ruang liputnya (Skop atau ruang liput pula penting agar tulisan anda berfokus dan tidak terlalu banyak isu yang digarap kerana tanpa skop yang jelas, pembaca akan kehilangan arah dan isu atau perkara pokok yang hendak anda kemukakan.)

5. Pemerolehan bahan (Penulis yang bertanggungjawab perlu memastikan bahawa maklumat atau ilmu yang hendak disampaikan ada asasnya. Oleh itu diperlukan usaha memperoleh maklumat daripada sumber yang munasabah, seperti bahan cetak (akhbar, majalah, buku, ensiklopedia dan sebagainya),

bahan elektronik (televisyen, radio, video, cakera padat, internet, rakaman) atau mungkin kajian lapangan.)

Dalam tahap penulisan yang sebenarnya, perkara yang perlu dilakukan dengan penuh perhatian

adalah seperti yang berikut:

1. Merangka isi tulisan atau karangan (Rangka isi utama dan isi sokongan perlu dicatat dan di-susun menurut urutan yang logis supaya ketika menulis kelak aliran pemikiran anda lebih terarah dan lancar. Rangka dapat dibuat dalam bentuk senarai isi dan juga dalam bentuk peta minda.)

2. Menulis bahagian pendahuluan (yang kira-kira dapat memberikan gambaran tentang isu atau gagasan pokok yang anda kemukakan dalam tulisan anda. Pendahuluan berfungsi juga sebagai daya tarik kepada pembaca. Oleh itu anda perlu memikirkan pendahuluan yang menarik dan berkesan.)

3. Menulis perenggan-perenggan (yang mengembangkan rangka isi atau peta minda yang telah anda susun sebelumnya. Ingatlah bahawa perenggan karangan fakta ada binaannya yang perlu dipenuhi. Dua bahagian utama perenggan ialah ayat judul atau ayat yang menyatakan isi atau fakta utama, sementara yang kedua ialah bahagian pengembangannya, seper-ti huraian lanjut, bahasan, contoh, data, petikan dan sebagainya. Elakkan penyataan isi atau fakta yang tidak disokong oleh unsur-unsur pengembangannya.)

4. Format atau penataan (Ada tulisan yang berformat khusus, seperti surat, memorandum, kertas cadangan, laporan dan sebagainya. Anda perlu memastikan tulisan anda ditulis menurut format yang khusus. Penataan pula bermaksud pengolahan isi atau fakta yang memenuhi urutan logis, mempunyai kepaduan dan jalinan. Tulislah karangan yang seolah-olah sungai yang mengalir lancar, bukan tulisan yang seolah-olah sungai yang berjeram.)

5. Bahasa yang baik (dari sudut sistem bahasa seperti tatabahasa, ejaan, tanda baca dan gaya bahasa. Penulis yang baik ialah penulis yang tidak mengabaikan aspek bahasa kerana bahasa menjadi wahana penyampaian ilmu, maklumat dan pendapat.)

Akhirnya, pada peringkat pascapenulisan, anda perlu menitikberatkan:

1. Penyemakan isi atau fakta (dari segi kesahihan dan kekiniannya. Pastikan anda merujuk dokumen yang mutakhir dalam hal data, perangkaan dan maklumat tertentu.)

2. Penyemakan bahasa (tatabahasa, ejaan, tanda baca, penggunaan kosa kata dan gaya bahasa)

3. Penyemakan aspek pengolahan keseluruhan tulisan (jalinan isi atau fakta, susunan isi, kedudukan maklumat yang menarik perhatian pembaca dan penggunaan unsur yang dapat membantu penjelasan, seperti gambar, ilustrasi, lukisan, rajah dan sebagainya. Pastikan juga bahawa bahagian-bahagian yang penting bagi sesuatu bentuk tulisan tidak ditinggalkan, seperti tulisan ilmiah memerlukan senarai rujukan dan ada waktunya memerlukan lampiran).

Mudah-mudahan sekiranya anda membiasakan diri menulis dengan penuh disiplin, anda dapat menghasilkan karangan yang berkesan dan dapat menjadi penulis yang berjaya. Selamat menulis.


 
Istilah Bahasa  
>> Patrimoni
Harta pusaka yang diwarisi daripada bapa atau nenek moyang sebelah bapa.
>> Patrilineal
Berkaitan dengan hubungan keturunan atau kekeluargaan mengikut garis keturunan sebelah lelaki atau bapa.
>> Mores
Tatalaku, adat, kebiasaan dan sebagainya yang sudah mendasari nilai-nilai kehidupan sesuatu kumpulan.
>> Pemawah
Orang yang mengusahakan tanah, memelihara ternakan dan sebagainya yang dipawahkan oleh tuan punya kepadanya.
>> Peracun
1. Orang yang meracun atau meracuni: Perempuan boleh menjadi penawar dan perempuan juga boleh menjadi peracun. 2. Orang yang membuat racun.
>> Peracik
Orang yang menangkap burung dengan menggunakan racik: Bapanya bukanlah peracik burung sepenuh masa.
>> Pempasteur
1. Orang yang melakukan proses atau kerja pempasteuran. 2. Alat untuk mempasteurkan sesuatu bahan seperti susu, keju dan krim.
>> Penyihir
Orang yang mengenakan (ilmu) sihir terhadap orang lain.
>> Perangka
Orang yang merangka (program, rancangan dan sebagainya), perancang: Para perangka dan penyelia program ini terdiri daripada pegawai di Kementerian Pendidikan.
>> Memprosakan
Menukarkan puisi (sajak dan sebagainya) kepada prosa: Mereka juga diberi bimbingan tentang teknik memprosakan puisi, sajak dan sebagainya.
>> Repertori (répertori)
Persembahan teater yang terdiri daripada beberapa lakonan (drama) oleh satu kumpulan teater untuk tempoh masa yang singkat.
>> Repertoir (répertoir)
1. Semua drama, muzik, nyanyian, cerita dan sebagainya yang sedia untuk dinyanyikan (dilakonkan, dipersembahkan dan sebagainya) oleh penyanyi, pelakon, pemuzik dan sebagainya; 2. (Komputer) set arahan lengkap yang dimiliki oleh komputer tertentu.
>> Sarkasme
Kiasan atau ironi yang mengandungi unsur-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakitkan hati seseorang, sindiran.
>> Kesasterawanan
Hal (sifat dan sebagainya) yang berkaitan dengan sasterawan: Pengarang harus memiliki keterampilan kesasterawanan yang menguasai teknik penulisan dan peka terhadap hal-hal kemanusiaan.
>> Pak Mulung
Tukang cerita dalam persembahan mekmulung yang turut sama melakonkan ceritanya dengan pelakon lain.
>> Imperialisme (imperialism)
Penguasaan sesebuah negara ke atas negara lain sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial atau budaya. Dengan penguasaan ini, penjajah akan mengeksploitasi segala sumber dan tenaga yang terdapat dalam negara tersebut untuk kepentingan negara mereka.
>> Hegemoni (hegemony)
Penguasaan pemerintah terhadap orang ramai tanpa kekerasan dan paksaan. Orang ramai memberikan sokongan dan legitimasi kepada pemerintah tanpa menyedari bahawa mereka sedang dikuasai, khususnya dari sudut pemikiran dan nilai. Penguasaan ini boleh dibentuk melalui kempen yang berkesan, sistem pendidikan, peranan media, manipulasi unsur budaya, faktor sejarah masyarakat dan juga penggunaan agensi pemerintahan seperti polis, undang-undang, bahagian keselamatan dalam negeri, imigresen dan sebagainya. Melalui hegemoni ini, pemerintahan sesebuah kerajaan dapat bertahan lebih lama.
>> Konserto
Gubahan muzik yang menampilkan persembahan pemain solo dengan iringan orkestra.
>> Presto (présto)
Tempo muzik yang dimainkan dengan cepat.
>> Rondo
Bentuk lagu yang mengulangulang melodi utamanya, yang selalunya terdapat dalam pergerakan gubahan akhir muzik sonata atau konserto.
>> Septet (séptét)
1. gubahan muzik untuk sekumpulan tujuh orang penyanyi atau pemuzik; 2. kumpulan muzik yang terdiri daripada tujuh orang penyanyi atau pemuzik.
>> Largo
Muzik yang dimainkan dengan tempo yang sangat perlahan.
>> Rabub
Sejenis alat bunyi-bunyian bertali satu yang digesek, yang dimainkan oleh masyarakat kaum Kenyah di Sarawak.
>> Bibliofil
Orang yang suka mengumpul atau meminati buku, pencinta buku.
>> Bigamis
Orang yang beristeri atau bersuami dua.
>> Filateli
Kegemaran mengumpul dan mengkaji setem.
>> Pempamer
Pihak atau orang yang mempamerkan sesuatu produk, barang dsb: Pameran ini mencatat sejarah dengan penyertaan lebih enam ribu pempamer dari kira-kira dua ratus buah negara.
>> Plutokrat
Orang yang kaya-raya dan berkuasa, orang yang berpengaruh kerana kekayaannya.
>> Purbawan
Orang yang mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang purba atau antik.
>> Tonem
Tonem (ton'm) - Ciri nada yang membezakan dua bentuk atau kata seiras dalam bahasa nadaan seperti bahasa Cina dan bahasa Thai.

 
 
Glosari  
>> Covergirls (MAGAZINE)
Wajah penghias
 
 
Mutiara Kata  
>> Tenas Effendy
Sebagai pemimpin ianya cerdik
Tahu Menyemak bijak menilik
Tahu menyelesaikan perkara pelik.
Ilmunya luas budi pun baik
Akalnya panjang bicara pun molek
Negeri makmur rakyat terdidik.
 
 
Bahasa Sukuan  
>> Kata Klasik: Pertanda, pelebaya
Takrif: Orang yang menjalankan hukuman mati. Disebut juga algojo. Contoh ayat: Maka lalulah disuruhnya bunuh sebentar itu juga kepada pertanda.
 
Hakcipta Terpelihara © 2007 Berita Harian Sdn Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768
Berita Harian Harian Metro Emedia Emedia NSTP