Sidang Editor:
|
PENAUNG
Y. Bhg. Dato' Dr. Firdaus Haji Abdullah
Ketua Pengarah DBP
PENASIHAT
Hajah Noresah Baharom
Pengarah Jabatan Bahasa
Othman Ismail
Ketua Bahagian Pengembangan
Bahasa Melayu DBP
KETUA EDITOR
Rohayu Ismail
(ayu@dbp.gov.my)
TIMBALAN KETUA EDITOR
Siti Ruzaiha Mohd Riffin
(ruzaiha@dbp.gov.my)
EDITOR DBP
Wan Mohd Saophy Amizul Wan Mansor
(amizul@dbp.gov.my)
Roziah Mohd Yunus
(roziah@dbp.gov.my)
Norazlinda Misran
(linda_m@dbp.gov.my)
Fatimah Zahrin Mohd Taib
(fatimah@dbp.gov.my)
PROMOSI
Ismail Karmun
(karmun@dbp.gov.my)
PENYELARAS LAMAN WEB
BERITA HARIAN-KLIK DBP
Unit Berita Harian Online
emediabh@bharian.com.my
|
| |
|
|
 |
Terampil Mengarang: Membuka Tirai Karangan dengan Pendahuluan
[Bersama Profesor Dr Awang Sariyan]
Salah satu syarat komunikasi yang berkesan ialah adanya pengenalan. Bayangkan, misalnya, mesyuarat yang tidak bermula dengan ucapan alu-aluan pengerusi sebagai pengenalan pasti menimbulkan ‘kejutan’ kepada anggota mesyuarat kerana secara tiba-tiba terus membincangkan agenda.
Bayangkan juga sebuah rencana yang tidak bermula dengan pendahuluan pasti menyebabkan pembaca meraba-raba mencari inti pati isu yang akan dibicarakan dalam rencana itu.
Demikianlah maka pendahuluan atau pengenalan amat penting dalam semua bentuk komunikasi, termasuk karangan.
Karangan memang merupakan salah satu bentuk komunikasi, iaitu antara penulis dengan pembaca.
Guru memulakan pengajaran dengan pendahuluan yang dikenal sebagai induksi set, misalnya dengan berbincang-bincang atau bersoal jawab ringkas dengan pelajar tentang hal yang ada kaitannya dengan isi pelajaran yang akan disampaikan. Penceramah pun memulakan komunikasinya dengan pendahuluan.
Bahkan perbualan biasa pun perlu bermula dengan pendahuluan agar wujud kemesraan dan kesediaan semua pihak yang terlibat dalam perbualan itu.
Pentingnya pendahuluan dalam karangan dan semua bentuk komunikasi dapat dikaitkan dengan pentingnya kepala pada jasad manusia. Hal ini demikian kerana pada bahagian kepala itulah terdapatnya wajah atau muka.
Wajah seseorang dapat memberikan gambaran watak dan peribadi orang itu. Demikianlah, pendahuluan karangan yang baik dapat memberikan gambaran tentang apakah yang akan dibincangkan dalam keseluruhan karangan itu. Dalam peperiksaan, dengan membaca pendahuluan karangan, pemeriksa sudah dapat memberikan penilaian awal tentang kejelasan calon dalam memahami dan menafsirkan kehendak tajuk atau soalan karangan. Oleh itu, amat penting sesebuah karangan dimulakan dengan pendahuluan, dan pendahuluan itu hendaklah dapat menggarap tajuk karangan itu sendiri.
Ada pelbagai cara menulis pendahuluan. Anda boleh menonjolkan isu semasa yang berkaitan dengan tajuk karangan anda. Anda boleh mengemukakan statistik yang mengejutkan atau menarik perhatian (tetapi mesti berdasarkan sumber yang sahih).
Anda boleh juga menyorot fakta sejarah yang berkaitan dengan isu yang anda bincangkan. Selain itu, unsur lain yang boleh digunakan ialah petikan, cerita, soalan dan bayangan masa hadapan yang berkaitan dengan tajuk.
Contoh pendahuluan yang menggunakan fakta semasa bagi tajuk “Bahasa Rojak ialah: ” Baik dalam media elektronik seperti televisyen dan radio mahupun dalam media cetak seperti akhbar dan majalah, memang banyak terdapat penggunaan bahasa yang bercampur-baur, terutama antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.
Bahkan dalam mesyuarat pun berlaku hal yang sama; apatah lagi dalam perbualan biasa sehari-hari. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Dr. Rais Yatim pernah mengibaratkan keadaan penggunaan bahasa seperti itu sebagai ‘sekerat ular sekerat belut’. Bentuk bahasa yang bercampur-campur itu secara popular kini dikenal sebagai bahasa rojak.”
Contoh pendahuluan yang menggunakan statistik pula (bagi tajuk “Perlunya Dasar Ekonomi Baharu Dipertahankan) adalah seperti yang berikut: “Dasar Ekonomi Baharu dicetuskan oleh kerajaan sesudah peristiwa hitam 13 Mei 1969 untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan untuk menyusun semula masyarakat Malaysia. Matlamat utamanya adalah untuk memupuk perpaduan kaum melalui keadilan ekonomi, terutama untuk menimbus jurang ekonomi antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera.
Namun sesudah lebih 30 tahun dasar itu dilaksanakan, Bumiputera baru mencapai 18 peratus dalam pemilikian ekuiti ekonomi negara, berbanding dengan 30 peratus sasaran yang ditetapkan. Oleh itu, timbul perbincangan agar dasar tersebut diteruskan.”
Dengan membaca pendahuluan seperti yang saya tunjukkan di atas itu, pembaca dengan segera mendapat gambaran tentang apa-apa yang akan dihuraikan atau dibincangkan oleh penulis seterusnya, berkaitan dengan tajuk karangan itu. Dalam keluaran akan datang, insya-Allah akan saya berikan beberapa contoh pendahuluan yang menggunakan unsur lain pula. Selamat mengarang.
|
|
|
|
|
| |
| Istilah Bahasa |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
|
|
|
|
|
| |
| Mutiara Kata |
|
|
>>
|
Tenas Effendy
Sebagai pemimpin ianya cerdik
Tahu Menyemak bijak menilik
Tahu menyelesaikan perkara pelik.
Ilmunya luas budi pun baik
Akalnya panjang bicara pun molek
Negeri makmur rakyat terdidik.
|
|
|
|
|
|
|
| |
| Bahasa Sukuan |
|
|
>>
|
Kata Klasik: Pertanda, pelebaya
Takrif: Orang yang menjalankan hukuman mati. Disebut juga algojo.
Contoh ayat: Maka lalulah disuruhnya bunuh sebentar itu juga kepada pertanda.
|
|
|
|
|
|
|
|