[ 03-12-2008 ]
Sidang Editor:
PENAUNG
Y. Bhg. Dato' Dr. Firdaus Haji Abdullah
Ketua Pengarah DBP

PENASIHAT
Hajah Noresah Baharom
Pengarah Jabatan Bahasa

Othman Ismail
Ketua Bahagian Pengembangan
Bahasa Melayu DBP

KETUA EDITOR
Rohayu Ismail
(ayu@dbp.gov.my)

TIMBALAN KETUA EDITOR
Siti Ruzaiha Mohd Riffin
(ruzaiha@dbp.gov.my)

EDITOR DBP
Wan Mohd Saophy Amizul Wan Mansor
(amizul@dbp.gov.my)

Roziah Mohd Yunus
(roziah@dbp.gov.my)

Norazlinda Misran
(linda_m@dbp.gov.my)

Fatimah Zahrin Mohd Taib
(fatimah@dbp.gov.my)

PROMOSI
Ismail Karmun
(karmun@dbp.gov.my)

PENYELARAS LAMAN WEB
BERITA HARIAN-KLIK DBP

Unit Berita Harian Online
emediabh@bharian.com.my

 
Falsafah Sains: Pendekatan Kualitatif
[Oleh Norsuhaila Ibrahim ]

Falsafah ialah ilmu untuk memahami alam semesta menggunakan akal dan pemikirannya bersandarkan pada penghujahan mantik dan model matematik yang akhirnya akur dan tunduk pada kewujudan Pencipta sekalian alam.

Pendekatan epistemologi kesatuan ilmu yang menggabungkan tiga ilmu, iaitu sains tabii, matematik dan metafizik telah mendekatkan saintis dengan Pencipta alam. Adakah saintis yang menerokai sempadan ilmu menerusi pendekatan ini tidak merasakan kekerdilan dirinya apabila berhadapan dengan keagungan Pencipta alam sejagat? Pendekatan ini diharapkan dapat mencapai matlamat falsafah sains untuk melahirkan saintis yang berakhlak dan beretika.

Andainya ilmu ibarat pohon, maka akhlak ialah buahnya dan daripada buah dikenali pokoknya.

Inilah antara intipati buku Falsafah Sains: Pendekatan Kualitatif karya Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail yang perlu dibaca untuk memahami falsafah sains yang sebenarnya.

Paradigma yang ditakrifkan secara tersirat dalam buku ini diketengahkan menggunakan pendekatan naratif kualitatif yang bersifat persuasif.

Pendekatan yang diketengahkan dalam buku ini berbeza dengan pendekatan paradigma Barat atau Timur. Dalam buku ini penulis mengemukakan satu pendekatan sistem nilai bersepadu yang menjadi inti sari falsafah pendidikan negara yang diamalkan di Malaysia, yang menekankan kesatuan jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Pembaca akan memahami paradigma tersebut hanya setelah selesai membaca dan meneliti keseluruhan teks.

Turut dimuatkan perbincangan tentang tokoh dan pemikiran mereka yang mempengaruhi anjakan paradigma sains ketika itu. Buku ini merakamkan pelibatan pelajar falsafah sains yang terdiri daripada pelbagai etnik, kaum, agama dan budaya di Universiti Putra Malaysia menerusi analisis falsafah yang berdasarkan metodologi, fakta dan maklumat yang sebenar.

Penulisan buku ini menekankan aspek kualitatif sains yang sering dilupakan dalam perkembangan teknologi moden. Asalnya, sains menjadi satu wadah untuk mencari kebenaran menerusi pemerhatian terhadap alam semesta mencakupi aspek kualitatif, ketuhanan serta etika, dan teknologi hanyalah sebagai aspek sampingan.

Namun, akhir-akhir ini aspek asal sains itu seolah-olah dilupakan dan teknologi itu menjadi matlamat utama.

Tulisan ini menyingkap kembali pemikiran sains yang merentasi tamadun sebagai satu kajian bandingan dan epilog agar sistem nilai yang murni dijelmakan kembali dalam penyelidikan sains dan teknologi kontemporari. Aspek kualitatif dan kuantitatif harus berkembang seiring dengan pembangunan teknologi agar seimbang dengan perkembangan etika dan moral manusia. Buku yang diterbitkan sempena Sambutan Jubli Emas DBP ini boleh didapati di Galeri ilmu DBP dengan harga RM50.00.


 
Istilah Bahasa  
>> Patrimoni
Harta pusaka yang diwarisi daripada bapa atau nenek moyang sebelah bapa.
>> Patrilineal
Berkaitan dengan hubungan keturunan atau kekeluargaan mengikut garis keturunan sebelah lelaki atau bapa.
>> Mores
Tatalaku, adat, kebiasaan dan sebagainya yang sudah mendasari nilai-nilai kehidupan sesuatu kumpulan.
>> Pemawah
Orang yang mengusahakan tanah, memelihara ternakan dan sebagainya yang dipawahkan oleh tuan punya kepadanya.
>> Peracun
1. Orang yang meracun atau meracuni: Perempuan boleh menjadi penawar dan perempuan juga boleh menjadi peracun. 2. Orang yang membuat racun.
>> Peracik
Orang yang menangkap burung dengan menggunakan racik: Bapanya bukanlah peracik burung sepenuh masa.
>> Pempasteur
1. Orang yang melakukan proses atau kerja pempasteuran. 2. Alat untuk mempasteurkan sesuatu bahan seperti susu, keju dan krim.
>> Penyihir
Orang yang mengenakan (ilmu) sihir terhadap orang lain.
>> Perangka
Orang yang merangka (program, rancangan dan sebagainya), perancang: Para perangka dan penyelia program ini terdiri daripada pegawai di Kementerian Pendidikan.
>> Memprosakan
Menukarkan puisi (sajak dan sebagainya) kepada prosa: Mereka juga diberi bimbingan tentang teknik memprosakan puisi, sajak dan sebagainya.
>> Repertori (répertori)
Persembahan teater yang terdiri daripada beberapa lakonan (drama) oleh satu kumpulan teater untuk tempoh masa yang singkat.
>> Repertoir (répertoir)
1. Semua drama, muzik, nyanyian, cerita dan sebagainya yang sedia untuk dinyanyikan (dilakonkan, dipersembahkan dan sebagainya) oleh penyanyi, pelakon, pemuzik dan sebagainya; 2. (Komputer) set arahan lengkap yang dimiliki oleh komputer tertentu.
>> Sarkasme
Kiasan atau ironi yang mengandungi unsur-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakitkan hati seseorang, sindiran.
>> Kesasterawanan
Hal (sifat dan sebagainya) yang berkaitan dengan sasterawan: Pengarang harus memiliki keterampilan kesasterawanan yang menguasai teknik penulisan dan peka terhadap hal-hal kemanusiaan.
>> Pak Mulung
Tukang cerita dalam persembahan mekmulung yang turut sama melakonkan ceritanya dengan pelakon lain.
>> Imperialisme (imperialism)
Penguasaan sesebuah negara ke atas negara lain sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial atau budaya. Dengan penguasaan ini, penjajah akan mengeksploitasi segala sumber dan tenaga yang terdapat dalam negara tersebut untuk kepentingan negara mereka.
>> Hegemoni (hegemony)
Penguasaan pemerintah terhadap orang ramai tanpa kekerasan dan paksaan. Orang ramai memberikan sokongan dan legitimasi kepada pemerintah tanpa menyedari bahawa mereka sedang dikuasai, khususnya dari sudut pemikiran dan nilai. Penguasaan ini boleh dibentuk melalui kempen yang berkesan, sistem pendidikan, peranan media, manipulasi unsur budaya, faktor sejarah masyarakat dan juga penggunaan agensi pemerintahan seperti polis, undang-undang, bahagian keselamatan dalam negeri, imigresen dan sebagainya. Melalui hegemoni ini, pemerintahan sesebuah kerajaan dapat bertahan lebih lama.
>> Konserto
Gubahan muzik yang menampilkan persembahan pemain solo dengan iringan orkestra.
>> Presto (présto)
Tempo muzik yang dimainkan dengan cepat.
>> Rondo
Bentuk lagu yang mengulangulang melodi utamanya, yang selalunya terdapat dalam pergerakan gubahan akhir muzik sonata atau konserto.
>> Septet (séptét)
1. gubahan muzik untuk sekumpulan tujuh orang penyanyi atau pemuzik; 2. kumpulan muzik yang terdiri daripada tujuh orang penyanyi atau pemuzik.
>> Largo
Muzik yang dimainkan dengan tempo yang sangat perlahan.
>> Rabub
Sejenis alat bunyi-bunyian bertali satu yang digesek, yang dimainkan oleh masyarakat kaum Kenyah di Sarawak.
>> Bibliofil
Orang yang suka mengumpul atau meminati buku, pencinta buku.
>> Bigamis
Orang yang beristeri atau bersuami dua.
>> Filateli
Kegemaran mengumpul dan mengkaji setem.
>> Pempamer
Pihak atau orang yang mempamerkan sesuatu produk, barang dsb: Pameran ini mencatat sejarah dengan penyertaan lebih enam ribu pempamer dari kira-kira dua ratus buah negara.
>> Plutokrat
Orang yang kaya-raya dan berkuasa, orang yang berpengaruh kerana kekayaannya.
>> Purbawan
Orang yang mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang purba atau antik.
>> Tonem
Tonem (ton'm) - Ciri nada yang membezakan dua bentuk atau kata seiras dalam bahasa nadaan seperti bahasa Cina dan bahasa Thai.

 
 
Glosari  
>> Covergirls (MAGAZINE)
Wajah penghias
 
 
Mutiara Kata  
>> Tenas Effendy
Sebagai pemimpin ianya cerdik
Tahu Menyemak bijak menilik
Tahu menyelesaikan perkara pelik.
Ilmunya luas budi pun baik
Akalnya panjang bicara pun molek
Negeri makmur rakyat terdidik.
 
 
Bahasa Sukuan  
>> Kata Klasik: Pertanda, pelebaya
Takrif: Orang yang menjalankan hukuman mati. Disebut juga algojo. Contoh ayat: Maka lalulah disuruhnya bunuh sebentar itu juga kepada pertanda.
 
Hakcipta Terpelihara © 2007 Berita Harian Sdn Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768
Berita Harian Harian Metro Emedia Emedia NSTP