[ 03-12-2008 ]
Sidang Editor:
PENAUNG
Y. Bhg. Dato' Dr. Firdaus Haji Abdullah
Ketua Pengarah DBP

PENASIHAT
Hajah Noresah Baharom
Pengarah Jabatan Bahasa

Othman Ismail
Ketua Bahagian Pengembangan
Bahasa Melayu DBP

KETUA EDITOR
Rohayu Ismail
(ayu@dbp.gov.my)

TIMBALAN KETUA EDITOR
Siti Ruzaiha Mohd Riffin
(ruzaiha@dbp.gov.my)

EDITOR DBP
Wan Mohd Saophy Amizul Wan Mansor
(amizul@dbp.gov.my)

Roziah Mohd Yunus
(roziah@dbp.gov.my)

Norazlinda Misran
(linda_m@dbp.gov.my)

Fatimah Zahrin Mohd Taib
(fatimah@dbp.gov.my)

PROMOSI
Ismail Karmun
(karmun@dbp.gov.my)

PENYELARAS LAMAN WEB
BERITA HARIAN-KLIK DBP

Unit Berita Harian Online
emediabh@bharian.com.my

 
Bermula dengan Anak Raja dengan Anak Papa...
[]

Sejarah penerbitan DBP dalam bidang penerbitan buku dan majalah bermula setelah DBP berpindah dari Johor Bahru ke Jalan Young, Kuala Lumpur pada 12 Julai 1957. Bermula dengan penerbitan Anak Raja dengan Anak Papa (1957) karya Mark Twain yang diterjemahkan oleh Za`ba, dan isu pertama majalah Dewan Bahasa (1957) dengan jumlah cetakan 7,000 naskhah setiap bulan, DBP mengorak langkah dalam penerbitan buku di bawah Bahagian Pengarang yang diketuai oleh Kamaludin Muhammad (Keris Mas). Pada tahun 1961, jumlah buku yang diterbitkan meningkat kepada 43 judul. Keadaan ini sejajar dengan pertambahan istilah yang diusahakan oleh Jawatankuasa Istilah, iaitu 37,000 istilah dalam pelbagai bidang termasuk sains dan matematik, yang membolehkan DBP menerbitkan buku ilmu pengetahuan.

Tun Syed Nasir Ismail, ketika itu selaku Pengarah DBP telah memantapkan lagi usaha penerbitanmelalui perancangan yang lebih kukuh, sehinggakan berjaya menghasilkan judul yang banyak, meskipun dengan bilangan kakitangan yang sedikit dan kebanyakannya terdiri daripada bekas guru.

Kegiatan penerbitan semakin rancak apabila DBP berpindah ke bangunannya sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur pada tahun 1962 dengan terbentuknya Jawatankuasa Penerbitan. Untuk meningkatkan penerbitannya, Bahagian Penerbitan telah mengalami penyusunan semula bahagian pada tahun 1971, 1977, 1986, semasa DBP di bawah Ketua Pengarah kelima, Datuk Hassan Ahmad. Pada tahun 1986, Jabatan Penerbitan telah dibentuk secara rasmi. Jabatan Penerbitan ketika itu terdiri daripada Bahagian Buku Pelajaran, Bahagian Penterjemahan dan BahagianMajalah. Melalui penyusunan semula organisasi DBP pada tahun 1995 dan 1999 di bawah pimpinan Ketua Pengarah ketujuh, Dato’ A. Aziz Deraman, Jabatan Penerbitan terdiri daripada lima bahagian, iaitu Bahagian Sains Sosial dan Kemanusiaan (SSK), Bahagian Agama, Falsafah dan Tamadun Islam (AFTI), Bahagian Majalah, Bahagian Ensiklopedia, Bahagian Sains dan Teknologi (S&T) serta Unit Hak Cipta dan Unit Mutimedia. Pada tahun 2006, kedua-dua unit ini telah dinaikkan tarafnya kepada Bahagian.

Bahagian Multimedia yang ditubuhkan pada tahun 1998 menjadi pelengkap kepada penerbitan bercetak DBP. Fungsi bahagian ini meliputi penerbitan elektronik buku, penerbitan elektronik majalah dan penerbitan elektronik kamus, daftar istilah dan ensiklopedia dan lain-lain dalam bentuk CDROM, kaset, DVD, dan web.

DBP kini telah menerbitkan kira-kira 10 000 judul buku. Antara tahun 1990 hingga 2005, DBP menerbitkan5513 judul bukudalam pelbagai bidang, dan secara puratanya, 345 judul setahun. Daripada jumlah itu, kesusasteraan mencatatkan jumlah yang tertinggi, iaitu 1951 judul, diikuti oleh sains sosial 744 judul dan sains tulen 644 judul.

Dalam tempoh kewujudannya selama lima puluh tahun, DBP telah menerbitkan pelbagai jenis buku, daripada peringkat tadika hingga peringkat universiti, daripada peringkat kanak-kanak hingga peringkat dewasa, fiksyen, bukan fiksyen, buku profesional, buku ilmiah, kamus, dan ensiklopedia.

Projek penerbitan ensiklopedia yang pertama dikendalikan sepenuhnya oleh DBP ialah Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (ESKM). Baru-baru ini DBP telah melancarkan Ensiklopedia Sains dan Teknologi (EST) secara kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Selain penerbitan bercetak, DBP juga menghasilkan penerbitan elektronik, iaitu melalui penubuhan Bahagian Mutimedia.

DBP menerbitkan sebelas buah majalah dan enam buah jurnal.

Dalamusahamengembangkan tiga fungsi terasnya, DBP juga menerbitkan akhbar sisipan dalam akhbar Berita Harian, iaitu Klik DBP dan penerbitan melalui saluran radio, iaitu Citra DBP. Yang membanggakan DBP, meskipun baru berusia setahun jagung, Citra DBP telah mencipta sejarah, apabila Penerbit Citra Budaya,Wahi Irwan Kahar memenangi Anugerah Majalah Radio Terbaik sempena Anugerah Seri Angkasa 2005 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 10 Mac lalu.

Kemuncak penerbitan adalah antara tahun 1990 hingga 1995 apabila DBP menerbitkan 2967 judul buku, atau secara puratanya, 495 judul setahun – satu jumlah yang cukup tinggi kerana ketika itu, komputer tidak dibekalkan kepada editor. Selain itu, jumlah universiti dan pensyarah lebih rendah daripada yang ada sekarang.

Namun, DBP berjaya mewujudkan budaya penulisan dan penterjemahan dalam kalangan akademik dan golongan profesional. Dalam tempoh pertengahan tahun 1980-an hingga pertengahan 1990-an, bukan sahaja jumlah penerbitan buku DBP agak tinggi, tetapi yang tidak kurang penting ialah beberapa pihak, khusus penulis dan penterjemah ingin bersama-sama dengan DBP untuk memberikan sumbangan masing-masing dalam bidang penerbitan, baik buku mahupun majalah.

Meskipun kadangkala ada pihak tertentu yang mengkritik dan memperlekeh DBP, sumbangan organisasi ini terhadap perkembangan dunia penerbitan di tanah air ini sebenarnya cukup besar. Malahan, DBP boleh dianggap sebagai media mogul atau raja media, kerana media yang belum dimiliki oleh DBP lagi cuma stesen televisyen.

Dengan pelibatan dalam pelbagai bidang penerbitan, baik bercetak mahupun elektronik,DBP memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu, bahkan juga dari segi perkembangan intelektual.

Keceriaan DBP menyambut jubli emasnya pada 22 Jun ini, menjadi lebih bermakna dan signifikan jika penerbitan DBP sentiasa berada di barisan hadapan.

Justeru, Menara DBP bukan sekadar sebuah bentuk fizikal, tetapi juga merupakan sebuah “menara harapan” bagi masa hadapan penerbitan berbahasa Melayu, seperti yang disebut oleh Rozi Ali dalam New Straits Times empat tahun lalu, “DBP sebagai tulang belakang intelektual di Malaysia”. Pastinya, tulang belakang intelektual mesti diperkasakan atau diperkukuh melalui penerbitan buku bermutu.

Inilah cabaran yang dihadapi oleh Dato’ Dr. Firdaus Abdullah selaku Ketua Pengarah dan Datuk Johan Jaaffar selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, dan pastinya amat bergantung pada sokongan mantap warga DBP dari pelbagai peringkat.


 
Istilah Bahasa  
>> Patrimoni
Harta pusaka yang diwarisi daripada bapa atau nenek moyang sebelah bapa.
>> Patrilineal
Berkaitan dengan hubungan keturunan atau kekeluargaan mengikut garis keturunan sebelah lelaki atau bapa.
>> Mores
Tatalaku, adat, kebiasaan dan sebagainya yang sudah mendasari nilai-nilai kehidupan sesuatu kumpulan.
>> Pemawah
Orang yang mengusahakan tanah, memelihara ternakan dan sebagainya yang dipawahkan oleh tuan punya kepadanya.
>> Peracun
1. Orang yang meracun atau meracuni: Perempuan boleh menjadi penawar dan perempuan juga boleh menjadi peracun. 2. Orang yang membuat racun.
>> Peracik
Orang yang menangkap burung dengan menggunakan racik: Bapanya bukanlah peracik burung sepenuh masa.
>> Pempasteur
1. Orang yang melakukan proses atau kerja pempasteuran. 2. Alat untuk mempasteurkan sesuatu bahan seperti susu, keju dan krim.
>> Penyihir
Orang yang mengenakan (ilmu) sihir terhadap orang lain.
>> Perangka
Orang yang merangka (program, rancangan dan sebagainya), perancang: Para perangka dan penyelia program ini terdiri daripada pegawai di Kementerian Pendidikan.
>> Memprosakan
Menukarkan puisi (sajak dan sebagainya) kepada prosa: Mereka juga diberi bimbingan tentang teknik memprosakan puisi, sajak dan sebagainya.
>> Repertori (répertori)
Persembahan teater yang terdiri daripada beberapa lakonan (drama) oleh satu kumpulan teater untuk tempoh masa yang singkat.
>> Repertoir (répertoir)
1. Semua drama, muzik, nyanyian, cerita dan sebagainya yang sedia untuk dinyanyikan (dilakonkan, dipersembahkan dan sebagainya) oleh penyanyi, pelakon, pemuzik dan sebagainya; 2. (Komputer) set arahan lengkap yang dimiliki oleh komputer tertentu.
>> Sarkasme
Kiasan atau ironi yang mengandungi unsur-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakitkan hati seseorang, sindiran.
>> Kesasterawanan
Hal (sifat dan sebagainya) yang berkaitan dengan sasterawan: Pengarang harus memiliki keterampilan kesasterawanan yang menguasai teknik penulisan dan peka terhadap hal-hal kemanusiaan.
>> Pak Mulung
Tukang cerita dalam persembahan mekmulung yang turut sama melakonkan ceritanya dengan pelakon lain.
>> Imperialisme (imperialism)
Penguasaan sesebuah negara ke atas negara lain sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial atau budaya. Dengan penguasaan ini, penjajah akan mengeksploitasi segala sumber dan tenaga yang terdapat dalam negara tersebut untuk kepentingan negara mereka.
>> Hegemoni (hegemony)
Penguasaan pemerintah terhadap orang ramai tanpa kekerasan dan paksaan. Orang ramai memberikan sokongan dan legitimasi kepada pemerintah tanpa menyedari bahawa mereka sedang dikuasai, khususnya dari sudut pemikiran dan nilai. Penguasaan ini boleh dibentuk melalui kempen yang berkesan, sistem pendidikan, peranan media, manipulasi unsur budaya, faktor sejarah masyarakat dan juga penggunaan agensi pemerintahan seperti polis, undang-undang, bahagian keselamatan dalam negeri, imigresen dan sebagainya. Melalui hegemoni ini, pemerintahan sesebuah kerajaan dapat bertahan lebih lama.
>> Konserto
Gubahan muzik yang menampilkan persembahan pemain solo dengan iringan orkestra.
>> Presto (présto)
Tempo muzik yang dimainkan dengan cepat.
>> Rondo
Bentuk lagu yang mengulangulang melodi utamanya, yang selalunya terdapat dalam pergerakan gubahan akhir muzik sonata atau konserto.
>> Septet (séptét)
1. gubahan muzik untuk sekumpulan tujuh orang penyanyi atau pemuzik; 2. kumpulan muzik yang terdiri daripada tujuh orang penyanyi atau pemuzik.
>> Largo
Muzik yang dimainkan dengan tempo yang sangat perlahan.
>> Rabub
Sejenis alat bunyi-bunyian bertali satu yang digesek, yang dimainkan oleh masyarakat kaum Kenyah di Sarawak.
>> Bibliofil
Orang yang suka mengumpul atau meminati buku, pencinta buku.
>> Bigamis
Orang yang beristeri atau bersuami dua.
>> Filateli
Kegemaran mengumpul dan mengkaji setem.
>> Pempamer
Pihak atau orang yang mempamerkan sesuatu produk, barang dsb: Pameran ini mencatat sejarah dengan penyertaan lebih enam ribu pempamer dari kira-kira dua ratus buah negara.
>> Plutokrat
Orang yang kaya-raya dan berkuasa, orang yang berpengaruh kerana kekayaannya.
>> Purbawan
Orang yang mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang purba atau antik.
>> Tonem
Tonem (ton'm) - Ciri nada yang membezakan dua bentuk atau kata seiras dalam bahasa nadaan seperti bahasa Cina dan bahasa Thai.

 
 
Glosari  
>> Covergirls (MAGAZINE)
Wajah penghias
 
 
Mutiara Kata  
>> Tenas Effendy
Sebagai pemimpin ianya cerdik
Tahu Menyemak bijak menilik
Tahu menyelesaikan perkara pelik.
Ilmunya luas budi pun baik
Akalnya panjang bicara pun molek
Negeri makmur rakyat terdidik.
 
 
Bahasa Sukuan  
>> Kata Klasik: Pertanda, pelebaya
Takrif: Orang yang menjalankan hukuman mati. Disebut juga algojo. Contoh ayat: Maka lalulah disuruhnya bunuh sebentar itu juga kepada pertanda.
 
Hakcipta Terpelihara © 2007 Berita Harian Sdn Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768
Berita Harian Harian Metro Emedia Emedia NSTP