[ 06-09-2008 ]
Sidang Editor:
PENAUNG
Y. Bhg. Dato' Dr. Firdaus Haji Abdullah
Ketua Pengarah DBP

PENASIHAT
Hajah Noresah Baharom
Pengarah Jabatan Bahasa

Othman Ismail
Ketua Bahagian Pengembangan
Bahasa Melayu DBP

KETUA EDITOR
Rohayu Ismail
(ayu@dbp.gov.my)

TIMBALAN KETUA EDITOR
Siti Ruzaiha Mohd Riffin
(ruzaiha@dbp.gov.my)

EDITOR DBP
Wan Mohd Saophy Amizul Wan Mansor
(amizul@dbp.gov.my)

Roziah Mohd Yunus
(roziah@dbp.gov.my)

Norazlinda Misran
(linda_m@dbp.gov.my)

Fatimah Zahrin Mohd Taib
(fatimah@dbp.gov.my)

PROMOSI
Ismail Karmun
(karmun@dbp.gov.my)

PENYELARAS LAMAN WEB
BERITA HARIAN-KLIK DBP

Unit Berita Harian Online
emediabh@bharian.com.my

 
Budi Yang Baik Jadi Ingatan
[]

SIDANG Editor Klik DBP mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik. Profesion keguruan ialah kerjaya yang paling dihormati. Begitu mulianya sumbangan mereka hingga ada suatu hari dalam setahun diiktiraf sebagai hari untuk mengenang jasa lebih daripada 350,000 guru yang masih berkhidmat di seluruh pelosok negara. Oleh itu, hargailah jasa dan sumbangan para guru yang tidak pernah jemu mendidik anak bangsa. Bersama-samalah kita menzahirkan rasa terima kasih kepada semua guru termasuklah ratusan ribu yang tidak lagi berada dalam perkhidmatan tetapi tetap kekal dipanggil "Cikgu".

Pada kesempatan ini juga Sidang Editor Klik DBP mengucapkan Selamat Bersara kepada dua orang yang istimewa yang selayaknya bergelar “guru” kepada kami iaitu Pengarah Jabatan Bahasa, Puan Hajah Noresah Baharom yang selama ini setia menemui kita dalam ruangan Nukleus dan Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Melayu, Encik Othman Ismail. Kedua-dua insan ini banyak membimbing dan tidak pernah lokek berkongsi ilmu dengan kami. Nukleus bulan April buah tangan terakhir daripada Puan Noresah Baharom dan Nukleus keluaran kali ini sebagai tanda kenang-kenangan daripada Encik Othman Ismail. Ribuan terima kasih atas jasa dan sumbangan yang diberikan.

Klik DBP pada bulan ini juga memberi tumpuan kepada Konvensyen Munsyi Dewan yang telah diadakan pada 18 hingga 21 April yang lalu. Untuk makluman pembaca Munsyi Dewan merupakan tenaga penggerak yang membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melaksanakan kegiatan kebahasaan di seluruh negara. Konvensyen dwitahunan yang berkonsepkan “Munsyi untuk Munsyi” diisi dengan pembentangan kertas kerja yang dihasilkan oleh mereka dan berkongsi dapatan kajian untuk meningkatkan wibawa dan pengetahuan Munsyi. Oleh sebab Munsyi Dewan kerjayanya sebenarnya seorang pendidik ataupun yang berkait dengan hal ehwal pendidikan resolusi konvensyen menggariskan beberapa tuntutan dan usaha untuk memperkasakan bahasa kebangsaan, memantapkan lagi sistem pendidikan khususnya pendidikan bahasa Melayu dan meningkatkan imej serta fungsi Munsyi dalam melaksanakan tugas sebagai “mata” dan “telinga” DBP. Dalam hal ini juga DBP amat mengharapkan sokongan dan kerjasama yang erat daripada Kementerian Pelajaran Malaysia serta jabatan-jabatan pelajaran negeri selaku induk kepada hampir 90 peratus Munsyi Dewan demi memastikan pelibatan dan komitmen mereka dalam aktiviti kemunsyian.

Keluaran pada kali ini juga tampil dengan sedikit kelainan. Ruangan “Apa Sudah Jadi” ditiadakan dan sebarang kesalahan bahasa kebangsaan yang ditemui atau apa jua cadangan serta pandangan bolehlah diteruskan melalui ruangan “Di Mana Bumi Dipijak di Situ Langit Dijunjung”. Mulai keluaran bulan ini juga Klik DBP memberi peluang kepada semua Munsyi Dewan untuk menulis dan berkongsi pandangan tentang isu-isu bahasa, sastera, penerbitan dan budaya melalui ruangan “Munsyi Menulis”. Sesungguhnya ilmu yang dikongsi, ganjaran kebaikannya makan berterusan dari satu generasi ke satu generasi. ayu@dbp.gov.my


 
Istilah Bahasa  
>> Patrimoni
Harta pusaka yang diwarisi daripada bapa atau nenek moyang sebelah bapa.
>> Patrilineal
Berkaitan dengan hubungan keturunan atau kekeluargaan mengikut garis keturunan sebelah lelaki atau bapa.
>> Mores
Tatalaku, adat, kebiasaan dan sebagainya yang sudah mendasari nilai-nilai kehidupan sesuatu kumpulan.
>> Pemawah
Orang yang mengusahakan tanah, memelihara ternakan dan sebagainya yang dipawahkan oleh tuan punya kepadanya.
>> Peracun
1. Orang yang meracun atau meracuni: Perempuan boleh menjadi penawar dan perempuan juga boleh menjadi peracun. 2. Orang yang membuat racun.
>> Peracik
Orang yang menangkap burung dengan menggunakan racik: Bapanya bukanlah peracik burung sepenuh masa.
>> Pempasteur
1. Orang yang melakukan proses atau kerja pempasteuran. 2. Alat untuk mempasteurkan sesuatu bahan seperti susu, keju dan krim.
>> Penyihir
Orang yang mengenakan (ilmu) sihir terhadap orang lain.
>> Perangka
Orang yang merangka (program, rancangan dan sebagainya), perancang: Para perangka dan penyelia program ini terdiri daripada pegawai di Kementerian Pendidikan.
>> Memprosakan
Menukarkan puisi (sajak dan sebagainya) kepada prosa: Mereka juga diberi bimbingan tentang teknik memprosakan puisi, sajak dan sebagainya.
>> Repertori (répertori)
Persembahan teater yang terdiri daripada beberapa lakonan (drama) oleh satu kumpulan teater untuk tempoh masa yang singkat.
>> Repertoir (répertoir)
1. Semua drama, muzik, nyanyian, cerita dan sebagainya yang sedia untuk dinyanyikan (dilakonkan, dipersembahkan dan sebagainya) oleh penyanyi, pelakon, pemuzik dan sebagainya; 2. (Komputer) set arahan lengkap yang dimiliki oleh komputer tertentu.
>> Sarkasme
Kiasan atau ironi yang mengandungi unsur-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakitkan hati seseorang, sindiran.
>> Kesasterawanan
Hal (sifat dan sebagainya) yang berkaitan dengan sasterawan: Pengarang harus memiliki keterampilan kesasterawanan yang menguasai teknik penulisan dan peka terhadap hal-hal kemanusiaan.
>> Pak Mulung
Tukang cerita dalam persembahan mekmulung yang turut sama melakonkan ceritanya dengan pelakon lain.
>> Imperialisme (imperialism)
Penguasaan sesebuah negara ke atas negara lain sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial atau budaya. Dengan penguasaan ini, penjajah akan mengeksploitasi segala sumber dan tenaga yang terdapat dalam negara tersebut untuk kepentingan negara mereka.
>> Hegemoni (hegemony)
Penguasaan pemerintah terhadap orang ramai tanpa kekerasan dan paksaan. Orang ramai memberikan sokongan dan legitimasi kepada pemerintah tanpa menyedari bahawa mereka sedang dikuasai, khususnya dari sudut pemikiran dan nilai. Penguasaan ini boleh dibentuk melalui kempen yang berkesan, sistem pendidikan, peranan media, manipulasi unsur budaya, faktor sejarah masyarakat dan juga penggunaan agensi pemerintahan seperti polis, undang-undang, bahagian keselamatan dalam negeri, imigresen dan sebagainya. Melalui hegemoni ini, pemerintahan sesebuah kerajaan dapat bertahan lebih lama.
>> Konserto
Gubahan muzik yang menampilkan persembahan pemain solo dengan iringan orkestra.
>> Presto (présto)
Tempo muzik yang dimainkan dengan cepat.
>> Rondo
Bentuk lagu yang mengulangulang melodi utamanya, yang selalunya terdapat dalam pergerakan gubahan akhir muzik sonata atau konserto.
>> Septet (séptét)
1. gubahan muzik untuk sekumpulan tujuh orang penyanyi atau pemuzik; 2. kumpulan muzik yang terdiri daripada tujuh orang penyanyi atau pemuzik.
>> Largo
Muzik yang dimainkan dengan tempo yang sangat perlahan.
>> Rabub
Sejenis alat bunyi-bunyian bertali satu yang digesek, yang dimainkan oleh masyarakat kaum Kenyah di Sarawak.
>> Bibliofil
Orang yang suka mengumpul atau meminati buku, pencinta buku.
>> Bigamis
Orang yang beristeri atau bersuami dua.
>> Filateli
Kegemaran mengumpul dan mengkaji setem.
>> Pempamer
Pihak atau orang yang mempamerkan sesuatu produk, barang dsb: Pameran ini mencatat sejarah dengan penyertaan lebih enam ribu pempamer dari kira-kira dua ratus buah negara.
>> Plutokrat
Orang yang kaya-raya dan berkuasa, orang yang berpengaruh kerana kekayaannya.
>> Purbawan
Orang yang mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang purba atau antik.
>> Tonem
Tonem (ton'm) - Ciri nada yang membezakan dua bentuk atau kata seiras dalam bahasa nadaan seperti bahasa Cina dan bahasa Thai.

 
 
Glosari  
>> Covergirls (MAGAZINE)
Wajah penghias
 
 
Mutiara Kata  
>> Tenas Effendy
Sebagai pemimpin ianya cerdik
Tahu Menyemak bijak menilik
Tahu menyelesaikan perkara pelik.
Ilmunya luas budi pun baik
Akalnya panjang bicara pun molek
Negeri makmur rakyat terdidik.
 
 
Bahasa Sukuan  
>> Kata Klasik: Pertanda, pelebaya
Takrif: Orang yang menjalankan hukuman mati. Disebut juga algojo. Contoh ayat: Maka lalulah disuruhnya bunuh sebentar itu juga kepada pertanda.
 
Hakcipta Terpelihara © 2007 Berita Harian Sdn Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768
Berita Harian Harian Metro Emedia Emedia NSTP