[ 07-10-2008 ]
Sidang Editor:
PENAUNG
Y. Bhg. Dato' Dr. Firdaus Haji Abdullah
Ketua Pengarah DBP

PENASIHAT
Hajah Noresah Baharom
Pengarah Jabatan Bahasa

Othman Ismail
Ketua Bahagian Pengembangan
Bahasa Melayu DBP

KETUA EDITOR
Rohayu Ismail
(ayu@dbp.gov.my)

TIMBALAN KETUA EDITOR
Siti Ruzaiha Mohd Riffin
(ruzaiha@dbp.gov.my)

EDITOR DBP
Wan Mohd Saophy Amizul Wan Mansor
(amizul@dbp.gov.my)

Roziah Mohd Yunus
(roziah@dbp.gov.my)

Norazlinda Misran
(linda_m@dbp.gov.my)

Fatimah Zahrin Mohd Taib
(fatimah@dbp.gov.my)

PROMOSI
Ismail Karmun
(karmun@dbp.gov.my)

PENYELARAS LAMAN WEB
BERITA HARIAN-KLIK DBP

Unit Berita Harian Online
emediabh@bharian.com.my

 
Munsyi Dewan - Membantu DBP Membudayakan Bahasa Kebangsaan
[Oleh Siti Ruzaiha Mohd Riffin]

"Kita tidak mahu menjadi seperti bangsa Hawaii yang telah kehilangan bahasa ibundanya lantaran kealpaan terhadap kepentingan bahasa kebangsaan sebagai jati diri negara bangsa mereka. Atas kesedaran inilah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan melipatgandakan usaha pembudayaan bahasa kebangsaan ke segenap lapisan masyarakat tanpa mengira sempadan dan wilayah. Dalam hal ini, Munsyi Dewan memainkan peranan penting untuk memberikan perkhidmatan”.

Demikianlah ucapan dan keyakinan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, YB Datuk Razali Ismail ketika merasmikan Konvensyen Munsyi Dewan IV baru-baru ini di Hotel Crown Princess, Kuala Lumpur. Teks ucapan yang dibacakan oleh Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Tuan Haji Zulkifli Wazir turut menyarankan agar DBP sewajarnya memberikan tumpuan terhadap penyebaran bahasa Melayu kepada masyarakat berbilang kaum secara lebih terancang.

Beliau juga menegaskan bahawa pihak KPM bersedia membantu DBP melaksanakan apa-apa sahaja kegiatan kebahasaan yang dianjurkan bagi memastikan bahasa kebangsaan dinobatkan dan diletakkan ditempatnya semula. Sehubungan dengan itu, dalam usaha untuk terus memartabatkan bahasa Melayu yang semakin dihimpit dengan pelbagai cabaran dan dilema, pelbagai pendekatan dirancang dan dijalankan oleh DBP.

Oleh itu, organisasi yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasakan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, DBP meneruskan usaha melantik Munsyi Dewan atau tenaga pengajar luar untuk membantu DBP sekali gus KPM melaksanakan program kebahasaan di seluruh negara.

Untuk mengiktiraf Munsyi Dewan yang dilantik, DBP menganjurkan Konvensyen Munsyi Dewan pada 18 hingga 21 April yang lalu. Seramai 30 orang Munsyi Dewan Fasa V menerima watikah pelantikan dan sijil penghargaan. Sebanyak 16 kertas kerja dibentangkan dalam majlis yang berkonsepkan “Munsyi untuk Munsyi” itu bagi meningkatkan kewibawaan dan pengetahuan Munsyi. Seisi dialog bersamasama dengan Pengarah Jabatan dan Cawangan/ Wilayah juga diadakan untuk memberikan penerangan tentang tanggungjawab Munsyi dalam usaha mengembangkan peranan mereka selain memberikan ceramah bahasa.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Haji Abdullah dalam ucapannya pula meminta agar pihak Kementerian mengambil perhatian tentang pelepasan waktu bekerja dan memberikan kerjasama kepada Munsyi yang dilantik sekiranya diminta untuk memberikan ceramah mahupun apa jua kegiatan kebahasaan yang dirancang oleh DBP. Sejak mula diperkenalkan pada tahun 1995, seramai 194 orang Munsyi dilantik.

“Walaupun DBP telah memberikan pelbagai latihan dan pengiktirafan, penggunaan Munsyi Dewan masih tidak begitu menyeluruh, khususnya di sektor pendidikan kerana terdapatnya kekangan, antaranya sukar mendapat pelepasan waktu bekerja atau kurang kerjasama daripada pihak pentadbir”, ujarnya dalam majlis yang dihadiri oleh kira-kira 300 orang.


 
Istilah Bahasa  
>> Patrimoni
Harta pusaka yang diwarisi daripada bapa atau nenek moyang sebelah bapa.
>> Patrilineal
Berkaitan dengan hubungan keturunan atau kekeluargaan mengikut garis keturunan sebelah lelaki atau bapa.
>> Mores
Tatalaku, adat, kebiasaan dan sebagainya yang sudah mendasari nilai-nilai kehidupan sesuatu kumpulan.
>> Pemawah
Orang yang mengusahakan tanah, memelihara ternakan dan sebagainya yang dipawahkan oleh tuan punya kepadanya.
>> Peracun
1. Orang yang meracun atau meracuni: Perempuan boleh menjadi penawar dan perempuan juga boleh menjadi peracun. 2. Orang yang membuat racun.
>> Peracik
Orang yang menangkap burung dengan menggunakan racik: Bapanya bukanlah peracik burung sepenuh masa.
>> Pempasteur
1. Orang yang melakukan proses atau kerja pempasteuran. 2. Alat untuk mempasteurkan sesuatu bahan seperti susu, keju dan krim.
>> Penyihir
Orang yang mengenakan (ilmu) sihir terhadap orang lain.
>> Perangka
Orang yang merangka (program, rancangan dan sebagainya), perancang: Para perangka dan penyelia program ini terdiri daripada pegawai di Kementerian Pendidikan.
>> Memprosakan
Menukarkan puisi (sajak dan sebagainya) kepada prosa: Mereka juga diberi bimbingan tentang teknik memprosakan puisi, sajak dan sebagainya.
>> Repertori (répertori)
Persembahan teater yang terdiri daripada beberapa lakonan (drama) oleh satu kumpulan teater untuk tempoh masa yang singkat.
>> Repertoir (répertoir)
1. Semua drama, muzik, nyanyian, cerita dan sebagainya yang sedia untuk dinyanyikan (dilakonkan, dipersembahkan dan sebagainya) oleh penyanyi, pelakon, pemuzik dan sebagainya; 2. (Komputer) set arahan lengkap yang dimiliki oleh komputer tertentu.
>> Sarkasme
Kiasan atau ironi yang mengandungi unsur-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakitkan hati seseorang, sindiran.
>> Kesasterawanan
Hal (sifat dan sebagainya) yang berkaitan dengan sasterawan: Pengarang harus memiliki keterampilan kesasterawanan yang menguasai teknik penulisan dan peka terhadap hal-hal kemanusiaan.
>> Pak Mulung
Tukang cerita dalam persembahan mekmulung yang turut sama melakonkan ceritanya dengan pelakon lain.
>> Imperialisme (imperialism)
Penguasaan sesebuah negara ke atas negara lain sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial atau budaya. Dengan penguasaan ini, penjajah akan mengeksploitasi segala sumber dan tenaga yang terdapat dalam negara tersebut untuk kepentingan negara mereka.
>> Hegemoni (hegemony)
Penguasaan pemerintah terhadap orang ramai tanpa kekerasan dan paksaan. Orang ramai memberikan sokongan dan legitimasi kepada pemerintah tanpa menyedari bahawa mereka sedang dikuasai, khususnya dari sudut pemikiran dan nilai. Penguasaan ini boleh dibentuk melalui kempen yang berkesan, sistem pendidikan, peranan media, manipulasi unsur budaya, faktor sejarah masyarakat dan juga penggunaan agensi pemerintahan seperti polis, undang-undang, bahagian keselamatan dalam negeri, imigresen dan sebagainya. Melalui hegemoni ini, pemerintahan sesebuah kerajaan dapat bertahan lebih lama.
>> Konserto
Gubahan muzik yang menampilkan persembahan pemain solo dengan iringan orkestra.
>> Presto (présto)
Tempo muzik yang dimainkan dengan cepat.
>> Rondo
Bentuk lagu yang mengulangulang melodi utamanya, yang selalunya terdapat dalam pergerakan gubahan akhir muzik sonata atau konserto.
>> Septet (séptét)
1. gubahan muzik untuk sekumpulan tujuh orang penyanyi atau pemuzik; 2. kumpulan muzik yang terdiri daripada tujuh orang penyanyi atau pemuzik.
>> Largo
Muzik yang dimainkan dengan tempo yang sangat perlahan.
>> Rabub
Sejenis alat bunyi-bunyian bertali satu yang digesek, yang dimainkan oleh masyarakat kaum Kenyah di Sarawak.
>> Bibliofil
Orang yang suka mengumpul atau meminati buku, pencinta buku.
>> Bigamis
Orang yang beristeri atau bersuami dua.
>> Filateli
Kegemaran mengumpul dan mengkaji setem.
>> Pempamer
Pihak atau orang yang mempamerkan sesuatu produk, barang dsb: Pameran ini mencatat sejarah dengan penyertaan lebih enam ribu pempamer dari kira-kira dua ratus buah negara.
>> Plutokrat
Orang yang kaya-raya dan berkuasa, orang yang berpengaruh kerana kekayaannya.
>> Purbawan
Orang yang mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang purba atau antik.
>> Tonem
Tonem (ton'm) - Ciri nada yang membezakan dua bentuk atau kata seiras dalam bahasa nadaan seperti bahasa Cina dan bahasa Thai.

 
 
Glosari  
>> Covergirls (MAGAZINE)
Wajah penghias
 
 
Mutiara Kata  
>> Tenas Effendy
Sebagai pemimpin ianya cerdik
Tahu Menyemak bijak menilik
Tahu menyelesaikan perkara pelik.
Ilmunya luas budi pun baik
Akalnya panjang bicara pun molek
Negeri makmur rakyat terdidik.
 
 
Bahasa Sukuan  
>> Kata Klasik: Pertanda, pelebaya
Takrif: Orang yang menjalankan hukuman mati. Disebut juga algojo. Contoh ayat: Maka lalulah disuruhnya bunuh sebentar itu juga kepada pertanda.
 
Hakcipta Terpelihara © 2007 Berita Harian Sdn Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768
Berita Harian Harian Metro Emedia Emedia NSTP