LaporanEkonomi
Misi nasional harus direalisasikan
[]
PADA tahun ini, Malaysia meraikan 50 tahun kemerdekaan. Dalam tempoh tersebut, kita telah mencapai tahap pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial yang membanggakan, dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar benar berkembang pada kadar purata 6.3 peratus; insiden kadar kemiskinan berkurang dengan ketara daripada lebih 50 peratus kepada 5.7 peratus, sementara pendapatan perkapita telah meningkat tinggi.
Langkah dasar dan perubahan struktur yang mantap, yang dilaksanakan untuk menangani cabaran dalaman dan luar negara, telah menjadikan ekonomi negara lebih fleksibel, struktur ekonomi lebih pelbagai dan asas makroekonomi lebih kukuh.
Pendekatan yang mesra perniagaan dan pembaharuan berorientasi pasaran telah memastikan aktiviti sektor swasta terus cergas.
Di samping itu, usaha berterusan dalam penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam melalui peningkatan kecekapan dan integriti, membolehkan program serta projek Kerajaan dilaksanakan dengan efektif.
Pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan ini juga telah dicapai di dalam persekitaran politik yang stabil dengan pengagihan ekonomi yang seimbang dan saksama.
Melangkah ke hadapan, Misi Nasional harus direalisasikan ke arah mencapai taraf negara maju.
Misi Nasional memberi penekanan kepada lima teras iaitu meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi, meningkatkan keupayaan pengetahuan, menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi, meningkatkan kualiti hidup dan mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.
Pelan pembangunan dan strategi untuk pelaksanaan Misi Nasional akan memantapkan usaha ke arah Wawasan 2020.
Pada tahun 2007, ekonomi dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan pada kadar 6.0 peratus.
Asas makroekonomi kekal teguh, disokong oleh paras inflasi dan kadar pengangguran yang rendah, tabungan yang tinggi, pasaran saham yang cergas, nilai ringgit yang semakin kukuh dan lebihan akaun semasa yang tinggi.
Pertumbuhan ekonomi negara dijangka disokong oleh semua sektor, dengan sektor perkhidmatan sebagai penyumbang utama.
Pelaksanaan program dan projek Rancangan Malaysia Kesembilan yang lebih rancak akan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Permintaan domestik akan dipacu oleh perbelanjaan Kerajaan yang lebih tinggi, di samping peningkatan perbelanjaan swasta yang disokong oleh sentimen perbelanjaan pengguna dan keyakinan perniagaan yang lebih kukuh.
Insentif yang diperkenalkan baru-baru ini bagi merangsang sektor hartanah dan Wilayah Pembangunan Iskandar akan turut menyumbang kepada perkembangan kukuh dalam aktiviti pelaburan, dari dalam dan luar negara.
Globalisasi, liberalisasi pasaran dan persaingan yang meningkat memerlukan kita untuk bergerak pantas ke rantaian nilai yang lebih tinggi.
Kita tidak boleh terus bergantung kepada sumber asli, kos buruh yang rendah dan pertumbuhan berasaskan modal untuk memberi kelebihan daya saing.
Sebaliknya, kualiti modal insan bertambah penting dalam menentukan daya saing ekonomi Malaysia.
Pembangunan modal insan yang mantap akan menyokong pergerakan ekonomi negara dalam rantaian nilai tambah yang lebih tinggi serta menjadi pemangkin untuk pewujudan sumber pertumbuhan baru.
Kerajaan sangat komited untuk menambah baik persekitaran yang menyokong pihak swasta berkembang pesat.
Sektor swasta seharusnya memainkan peranan sebagai peneraju dalam menggerakkan ekonomi ke rantaian nilai lebih tinggi.
Usahawan seharusnya membina keupayaan dan memantapkan pengurusan untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan pada tahap kualiti yang terbaik.
Agenda sosial kekal sebagai komponen utama dalam penggubalan dasar ekonomi memandangkan ukuran sebenar kejayaan ekonomi ialah pencapaian taraf hidup yang lebih tinggi dan kesejahteraan yang lebih baik bagi semua lapisan rakyat.
Kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan tegar dengan menyediakan peluang ekonomi dan perumahan mampu milik yang mencukupi.
Pada masa yang sama, pihak swasta harus lebih aktif dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.
Hanya melalui kerjasama bersepadu antara tiga pihak, iaitu Kerajaan, sektor swasta dan rakyat akan menjamin negara kita terus makmur.
Kerajaan akan memberi penekanan berterusan kepada pembangunan ekonomi yang mapan serta perkongsian kemakmuran negara demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat dipertingkatkan ke tahap yang lebih cemerlang.
Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi Menteri Kewangan
|