ke muka utama
Teks Ucapan Berita Bajet Laporan Ekonomi
 
LaporanEkonomi
KDNK diunjur berkembang enam peratus
[]

Dasar fiskal mapan dikekal bagi hadapi cabaran persekitaran luar

EKONOMI Malaysia dijangkakan terus mencatatkan pertumbuhan pesat pada 2008 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang antara enam dan 6.5 peratus di sebalik jangkaan ketidaktentuan ekonomi global.

Ini adalah peningkatan 6.8 peratus dalam pendapatan perkapita nominal daripada RM22,345 tahun ini kepada RM23,864.

Dari segi Pariti Kuasa Beli pula, ia meningkat kepada AS$14,206 dari AS$13,289 tahun ini.

Bagi memastikan ekonomi negara terus berdaya tahan tahun depan, dasar fiskal yang mapan akan dikekalkan dalam mengurus ekonomi sebagai persediaan menghadapi persekitaran luar seperti ketegangan geopolitik di Asia Barat yang mencetus kebimbangan bekalan minyak serta kesan krisis pinjaman subprima di Amerika Syarikat.

Cabaran yang dihadapi ekonomi itu akan ditangani secara komprehensif bagi memastikan negara terus berada di atas landasan pertumbuhan kukuh.

Antaranya, usaha akan dilakukan bagi mempelbagaikan destinasi eksport ke lebih banyak pasaran serantau bagi membantu mengimbangi kelemahan permintaan eksport dalam pasaran tradisional, manakala eksport yang mempunyai nilai tambah pula akan membantu menghadapi tekanan persaingan daripada ekonomi membangun.

Pengurusan ekonomi tahun depan juga akan memberi tumpuan kepada mengekalkan kestabilan makroekonomi dan meningkatkan daya saing bagi memastikan ekonomi berada di atas landasan pertumbuhan mapan, seterusnya mencapai matlamat pengagihan yang saksama.

Ke arah mempertingkatkan daya saing, kerajaan akan terus memperluas dan meningkatkan lagi potensi kegiatan nilai ditambah dalam negara.

Tumpuan akan diberikan bagi menggalakkan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk akses kepada kewangan, pemerolehan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan promosi produk serta eksport.

Dalam aspek menarik masuk pelaburan luar pula, usaha akan ditumpukan kepada menyelaras kerangka pelaburan dan insentif serta mengkaji semula pelaksanaan undang-undang dan peraturan.

Ini akan meningkatkan tahap kepastian pelabur dan seterusnya, membolehkan sektor swasta menimbang keputusan pelaburan yang penting berdasarkan perspektif jangka panjang.

Memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam pula adalah strategi berterusan yang akan ditumpukan tahun depan bagi memastikan sektor itu berperanan sebagai pemudah cara dalam menyokong pertumbuhan yang dipacu oleh sektor swasta.

Pengurusan ekonomi tahun depan turut memberi penekanan kepada memperkasa pembangunan modal insan.

Sehubungan itu, strategi ini akan menekankan kepada memenuhi peningkatan permintaan pekerja mahir dan berpengetahuan bagi menyokong dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.

Bagi tahun ini pula, ekonomi negara dijangka berkembang kukuh pada kadar enam peratus dalam persekitaran inflasi dan pengangguran yang rendah, tabungan yang tinggi, kadar tukaran asing yang menggalakkan serta akaun semasa yang kukuh.

Perkembangan ini adalah petanda baik bagi penduduk dan memastikan negara berada di landasan ke arah mencapai Wawasan 2020.

 
Copyright 2006 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.