ke muka utama
Teks Ucapan Berita Bajet Laporan Ekonomi
 
LaporanEkonomi
Pertumbuhan ekonomi dunia dijangka menyeluruh
[]

EKONOMI dunia diunjurkan berkembang 5.2 peratus pada 2008 berdasarkan perkembangan yang dicatatkan negara maju.

Unjuran itu adalah sama berbanding 5.2 peratus pada 2007.

Pertumbuhan ekonomi dunia pada 2008 secara amnya dijangka lebih menyeluruh pada peringkat serantau serta domestik dan akan terus merangsang aliran perdagangan dan pelaburan dunia.

Pertumbuhan pesat ekonomi dunia didorong pantas di Jepun, Eropah, China dan India yang dijangka akan mengimbangi kesan penyederhanaan ekonomi Amerika Syarikat (AS), susulan kemelesetan pasaran perumahan dan kelembapan perbelanjaan pengguna.

Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada pasaran luar yang semakin berkembang serta peluang perdagangan dan pelaburan yang makin bertambah disokong usaha berterusan ke arah meningkatkan daya saing dan daya tahan negara.

Walaupun, pertumbuhan ekonomi dunia terus kukuh, paras inflasi masih pada tahap terkawal.

Bagaimanapun, setengah negara membangun yang berkembang pesat akan mengalami tekanan inflasi disebabkan kenaikan harga tenaga dan makanan.

Harga minyak mentah kekal tinggi disebabkan kekangan kapasiti pengeluaran dan peningkatan permintaan, sementara harga makanan naik sedikit berikutan bekalan berkurangan kerana cuaca dan penggunaan biofuel semakin meningkat.

Ekonomi AS berkembang empat peratus dalam tempoh suku kedua 2007, hasil aktiviti ekonomi yang kembali cergas serta disumbangkan daripada perbelanjaan pengguna, pelaburan tetap bukan kediaman awam.

Kegiatan ekonomi di kawasan euro yang merangkumi 13 negara mencatat pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah daripada jangkaan, iaitu 2.5 peratus dalam tempoh suku kedua 2007, selepas berkembang 3.1 peratus dalam suku pertama.
 
Copyright 2006 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.