ke muka utama
Teks Ucapan Berita Bajet Laporan Ekonomi
 
LaporanEkonomi
Perbelanjaan swasta mengukuh
[]

SEKTOR swasta terus menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara disokong pengukuhan pelaburan dalam sektor berkenaan dan kerancakan perbelanjaan pengguna.

Perbelanjaan sektor swasta dijangka mengukuh sebanyak 8.6 peratus pada 2007, sejajar sentimen pengguna yang positif dan persekitaran perniagaan yang menggalakkan.

Prestasi kukuh sektor swasta disokong pelbagai langkah mesra perniagaan termasuk pengurangan kadar cukai korporat dan pelaksanaan dasar monetari yang akomodatif.

Pendapatan sektor swasta dijangka meningkat 9.9 peratus berikutan aktiviti ekonomi yang semakin berkembang dan kadar syarat perdagangan lebih baik.

Sehubungan itu, sektor swasta dijangka menyumbang 5.2 peratus kepada pertumbuhan ekonomi dengan peratus bahagian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 61.5 peratus, manakala sektor awam berkembang 10.1 peratus menyumbang 2.4 mata peratusan kepada KDNK.

Sementara itu, pelaburan swasta pada 2007 dijangka berkembang 7.1 peratus dengan peratusan bahagian kepada KDNK sebanyak 11.6 peratus, berikutan persekitaran perniagaan yang lebih baik.

Perkembangan ini sejajar meningkatnya keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia yang dicerminkan Indeks Keadaan Perniagaan (BCI) yang mencatat 122.1 mata pada suku kedua tahun ini, paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

Malaysia terus berupaya menarik pelaburan langsung asing (FDI), walaupun dalam persekitaran pelaburan antarabangsa yang mencabar.

Jumlah bersih kemasukan FDI dalam suku pertama tahun ini berkembang 54.1 peratus kepada RM5.6 bilion dengan menyaksikan sektor pembuatan menjadi penyumbang utama merangkumi 52.2 peratus daripada jumlah FDI, diikuti perdagangan borong dan runcit (26.4 peratus), pengantaraan kewangan (16.8 peratus) serta perlombongan dan kuari 7.7 peratus.

Perbelanjaan penggunaan swasta pula dijangka meningkat 9.0 peratus merangkumi 49.9 peratus daripada KDNK tahun ini, manakala penggunaan awam dianggar berkembang 10.8 peratus didorong peningkatan perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan serta emolumen lebih tinggi.

Mengenai prospek bagi 2008, perbelanjaan dan pelaburan swasta dijangka masing-masing berkembang 8.2 peratus dan 9.5 peratus.

 
Copyright 2006 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.