BeritaBajet
Kaedah baru yuran PIBG dikaji
[Oleh Shaarani Ismail dan Betty Subaryati]
Kementerian akan umum kadar bayaran sebelum sesi 2008 bermula: Hishammuddin
KUALA TERENGGANU: Kementerian Pelajaran yang memansuhkan yuran persekolahan bermula sesi tahun depan, akan memastikan bayaran yang ditetapkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak membebankan penjaga.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Ketua Setiausaha kementerian dan Ketua Pengarah Pelajaran sudah diarah mencari kaedah terbaik dalam menentukan yuran PIBG sebelum sesi persekolahan 2008 bermula.
"Perkara ini kini dalam perhatian tetapi keputusan muktamad belum diputuskan lagi.
Walaupun kita tak boleh sekat pembayaran yuran yang dipersetujui PIBG, tetapi perlu dipastikan yuran ditetapkan nanti tidak menganiaya mereka yang tidak mampu," katanya selepas merasmikan Pelancaran Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2007 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di sini, semalam.
Hishammuddin berkata, kaedah terbaik perlu dicari bagi memastikan ibu bapa yang mampu terus menyumbang kepada PIBG sekolah tetapi pada masa sama, mereka yang tidak berkemampuan, tidak seharusnya terikat dengan yuran berkenaan.
"Saya fikir itu jalan terbaik kerana mengikut sistem sekarang mereka (ibu bapa) membayar yuran yang ditetapkan PIBG dan diluluskan Pejabat Pelajaran Daerah," katanya.
Di KOTA BHARU, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Zulkarnain Awang, berkata ibu bapa masih perlu membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan aktiviti kokurikulum yang ditetapkan pengurusan sekolah.
"Ada dua jenis yuran ditetapkan kementerian iaitu yuran tahunan RM5 bagi sekolah rendah dan RM9 untuk menengah. Menerusi Bajet 2008, yuran berkenaan dimansuhkan dan kerajaan akan menanggungnya bagi lima juta murid dan pelajar seluruh negara.
"Namun, ia tidak membabitkan yuran lain seperti yuran PIBG atau kokurikulum serta derma lain yang ditetapkan sekolah masing-masing," katanya selepas majlis Perasmian Projek Sekolah Angkat KPM-Intel di Sekolah Menengah Agama (SMKA) Falahiah dekat sini, semalam.
Zulkarnain berharap penjelasan itu akan menghapuskan kekeliruan ibu bapa dan guru berhubung pemansuhan yuran persekolahan.
Pada masa sama, beliau berkata, kementerian akan menyiasat dakwaan ibu bapa mengenai tindakan beberapa sekolah menetapkan yuran atau sumbangan pada kadar membebankan.
"Kita akan kaji bayaran lain yang dikenakan supaya tidak membebankan ibu bapa," katanya.
|