ke muka utama
Teks Ucapan Berita Bajet Laporan Ekonomi
 
BeritaBajet
KWSP bantu capai dasar miliki rumah
[Oleh Shamshul Azree Samshir ]

PUTRAJAYA: Keputusan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran bulanan daripada baki Akaun 2 bagi pembayaran balik pinjaman perumahan akan merangsang industri hartanah dan pertumbuhan penggunaan negara.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata nilai caruman sebanyak RM9.6 bilion dari Akaun 2 yang boleh dikeluarkan pencarum KWSP mampu memberi impak atau kesan limpahan kepada pelbagai kegiatan ekonomi.

"RM9.6 bilion ini jumlah besar yang memang akan memberi impak besar bukan saja kepada sektor hartanah yang mempunyai kesan dalam pelbagai bidang ekonomi, tapi angka itu juga memberi impak kepada pertumbuhan penggunaan.

"Kita adalah negara yang terbuka dari segi perdagangan antarabangsa, jumlah perdagangan kita kalau dibandingkan dengan pendapatan kasar negara ialah 212 peratus dan tidak ada negara lain mencapai kadar itu termasuk di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

"Pertumbuhan penggunaan dan pelaburan tempatan juga suatu faktor atau landasan memajukan ekonomi negara dan nilai caruman RM9.6 bilion dari Akaun 2 ini akan memberi impak ke arah peningkatan ekonomi," katanya pada sidang akhbar khas selepas pembentangan Bajet 2008 kepada media tempatan di pejabatnya di Kementerian Kewangan (MOF) di sini, semalam.

Nor Mohamed berkata, kebenaran mengeluarkan caruman dari Akaun 2 secara bulanan membolehkan pencarum terutama dari kalangan berpendapatan rendah dan pertengahan membeli rumah atau membeli sebuah lagi rumah yang lebih besar untuk keperluan keluarga.

"Jika mereka sudah mempunyai rumah dan tidak ingin membeli rumah lain, caruman ini juga boleh digunakan untuk meringankan beban bayaran balik ansuran," katanya.

Nor Mohamed berkata, Bajet 2008 diterima baik kerana ia memberi kemudahan kepada semua lapisan rakyat.

"Kita nampak bajet ini dibentuk sedemikian rupa untuk memastikan semua golongan dan kelas pertengahan... Kadang-kadang kelas pertengahan ini rasa mereka tidak diberi fokus sebab orang kaya tidak perlu bantuan dan orang miskin kerajaan selalu bantu," katanya.

Beliau berkata, Bajet 2008 yang dianggap bajet pertama yang akan membawa negara ke era 50 tahun akan datang mencakupi semua aspek termasuk keperluan negara menguasai kepakaran atau 'niche' dalam bidang tertentu seperti bioteknologi dan sistem kewangan Islam.

Nor Mohamed berkata, Bajet 2008 turut memberi perhatian kepada golongan kurang berkemampuan seperti peniaga kecil-kecilan, nelayan atau petani yang tidak mempunyai slip gaji sebagai bukti pendapatan untuk dikemukakan dalam pinjaman kewangan di bank.

"Kita sediakan dana RM50 juta untuk memberi jaminan kepada bank supaya memberi pinjaman kepada golongan ini yang ingin memiliki rumah," katanya.

Mengenai pengurangan cukai korporat 25 peratus mulai 2009, beliau berkata, langkah itu amat baik walaupun ada pihak membandingkannya dengan Singapura dan Hong Kong.

"Memang Singapura tetapkan 18 peratus dan Hong Kong 17.5 peratus, tetapi mereka juga mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sedangkan kita tidak mengenakan cukai itu.

"Selain cukai korporat, kita juga memberi banyak elaun secara modal, elaun modal dipercepatkan, status perintis dan geran kepada pelabur dan kalau kita jumlahkan semua kemudahan ini, kita akan dapati cukai kita kurang 25 peratus," katanya.

Ditanya bagaimana kerajaan mengimbangi kadar penurunan cukai yang diumumkan supaya tidak menjejaskan pendapatan negara, Nor Mohamed berkata:

"Sistem percukaian kita sekarang makin efisien di mana kadar pungutan cukai akan menjadi lebih baik dan apabila kadar pendapatan meningkat, lebih banyak cukai dapat dipungut."
 
Copyright 2006 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas.