Pemenang peraduan ABPBH dipilih
KUALA LUMPUR: Senarai 62 pemenang termasuk hadiah utama yang bakal membawa pulang kereta Peugeot 307 bernilai RM140,000 peraduan Undi dan Menang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH2007) akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pemilihan pemenang yang diadakan di sini semalam daripada lebih 400,000 borang yang diterima dijalankan dalam tiga peringkat.
Pada peringkat saringan, ahli jawatankuasa memilih 5,000 borang penyertaan daripada lebih 400,000 borang yang layak memasuki pusingan kedua. Pada proses berikutnya, saringan ke atas 5,000 borang itu dilakukan dan penganjur menyenarai pendek 1,000 borang yang memuatkan slogan menarik, unik dan kreatif selain kekemasan borang peraduan.
Daripada 1,000 yang terbaik itu, ahli jawatankuasa memutuskan 300 pemenang yang berjaya memberikan slogan paling menarik, kreatif dan memenuhi maksud menarik yang menyaksikan 62 pemenang layak menerima pelbagai hadiah hebat.
Selain kereta Peugeot 307 untuk pemenang pertama, pemenang kedua akan membawa pulang barang kemas Habib Jewels Sdn Bhd bernilai RM50,000 dan tiga pemenang tempat ketiga menerima barangan Habib bernilai RM20,000 setiap seorang.
Lima pemenang lain akan membawa pulang barang tajaan Habib bernilai RM10,000 setiap seorang.
Pelbagai hadiah lain yang bakal dibawa pulang pemenang termasuk barang elektrik berjenama JVC bernilai RM30,000 termasuk dua set TV LCD bersaiz 32 dan 42 inci, masing-masing berharga RM2,999 dan RM7,999, selain produk Loreal bernilai RM3,000.
Pemilihan pemenang dibuat panel juri terdiri daripada Pengarang Eksekutif (Berita) Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Mahfar Ali; Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah; Pengurus Kanan Penajaan, Pemasaran New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Wan Rafilin Wan Mohd Noor; Pengarang Bintang Popular Berita Harian, Akmal Abdullah, selain Ahmad Firdaus Shaharudin Shah dan Faizah Osman.
Semua pemenang akan dihubungi penganjur selain mereka yang menang hadiah utama dan dalam kelompok teratas akan diminta hadir pada majlis penyampaian hadiah yang dijadualkan berlangsung April ini.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


