Oleh Zubir Mohd Yunus
Fara berhati-hati meniti puncak, Mila tak mahu tersilap langkah
TEMBOK besar dibina Linda Onn dalam empayar Penyampai Radio Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama enam tahun berturut-turut mulai 2001, akhirnya dirobohkan Fara Fauzana. Fara merampas 'takhta' berkenaan daripada terus berada pada genggaman Linda, sekali gus membuktikan Fara kini berada di puncak, manakala Linda harus menerima hakikat popularitinya sudah merosot.
Selain dinobatkan sebagai Penyampai Radio Wanita Popular, Fara mengekalkan popularitinya apabila terus merangkul gelaran Pengacara TV Wanita Popular pada majlis yang berlangsung di Genting Highlands, Ahad lalu. Fara pulang bergaya bersama dua trofi. Kini terbukti, Fara lebih popular daripada Linda Onn, apa komen Fara?
“Hidup seseorang umpama roda, sekejap kita di atas, ada kalanya berada di bawah. Hari ini hidup Fara sedang meniti puncak dan Fara juga akan turun suatu hari nanti, tapi tak tahu bila masanya. Tembok besar Linda Onn bukan Fara yang pecahkan, sebaliknya pembaca Berita Harian sendiri. Fara pula sekadar menerima trofi pengiktirafan daripada mereka.
“Tiada istilah Fara lebih popular daripada Linda. Sekurang-kurangnya Fara perlu menang trofi Penyampai Radio Wanita Popular selama enam tahun berturut-turut seperti Linda, barulah ketika itu populariti Fara boleh disamakan sepertinya,” kata Fara dalam fotografi khas bersama Bintang Popular, Rabu lalu.
Desas-desus sebelum ini mendakwa hubungan akrab yang terjalin antara Fara dan Linda ketika sama-sama di radio Era, kini tidak semesra dulu apabila Fara berhijrah ke HotFM. Pada masa sama, populariti Fara lebih memuncak berbanding Linda. Ini membuka ruang mengenai hubungan mereka sebenarnya menghadapi perang dingin bagi merebut populariti.
“Fara sendiri tak faham mengapa isu ini terus diperkatakan, padahal hubungan Fara dengan Linda masih seperti dulu, kami OK! Tapi, terus terang Fara katakan, hubungan kami tidak akrab seperti Fara dan Nana Era. Orang kata Linda Onn kutuk Fara di belakang, kenapa Fara perlu berbaik dengannya? Tapi, hakikatnya Linda tidak begitu!
“Mungkin teguran Linda di belakang Fara dianggap kutukan oleh orang sekeliling. Justeru, Fara harap hentikan spekulasi yang tidak sihat ini lebih-lebih lagi ke atas dunia penyiaran,” jelas Fara.
Bagaimana pula dengan gosip percintaan antara Fara dengan personaliti popular TV3, Ally Iskandar kerana sehingga ke hari ini kisah cinta kedua-duanya masih diperdebatkan pendengar HotFM dan penonton 8TV?
“Sebenarnya gosip cinta dengan Ally sekadar gurauan di kalangan peminat. Terus-terang, gosip itu sedikitpun tidak mengganggu kerjaya Fara sebagai penyampai radio dan pengacara, sebaliknya ia mengganggu kehidupan peribadi Fara! Bayangkan, gara-gara gosip cinta Fara-Ally, sampai sekarang Fara belum ada steady boy friend!,” kata Fara lagi.
Mila takut terkena badi
BAGI Mila, bergelar juara AF5 adalah satu platform untuknya pergi lebih jauh. Dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2007 pula sebagai petanda karier seninya mula diterima peminat.
“Kemenangan di AF5, ibarat Mila diberi sampan dan kini pandai-pandailah Mila mendayung untuk menuju ke destinasi yang sebenar, jangan sampai tersilap langkah. Sekalipun banyak badai menimpa kebelakangan ini, umpama cerita negatif antara Mila dan Ebi, tapi Alhamdulillah, peminat sentiasa bersama Mila. Jatuh, bangun Mila di bidang seni bersama mereka tanpa mengambil kira perkara peribadi.
“Sebenarnya, gosip cinta antara Mila dan Ebi, mematangkan lagi pemikiran Mila supaya lebih berhati-hati dalam menjalin erti persahabatan. Mengenai Ebi pula, Mila dah lupakan kenangan pahit dalam persahabatan kami. Tapi, Ebi tetap kawan Mila dan kami masih mampu bekerjasama demi kejayaan kerjaya seni masing-masing. Apa saja kenyataan Ebi yang keluar di media sebelum ini, Mila dah lupakan,” kata Mila berterus-terang.
Bergelar Artis Baru Wanita Popular, seolah-olah menjadi ‘badi’ kerjaya artis berkenaan tidak mampu bertahan lama.
“Mila tak nak tenggelam begitu saja dan membiarkan ‘badi’ itu terkena pada Mila. Mila harus berbuat sesuatu kerana Mila sedar persaingan terlalu hebat. Kemenangan hari ini adalah satu bonus, tapi lebih penting Mila harus fikirkan kerja keras yang perlu dilakukan untuk menjamin masa depan,” katanya bersungguh-sungguh.
Info Fara Fauzana
Info Mila
Hantar kepada kawan Format pencetak


