Janji tak lupa diri
Oleh Serimah Mohd Salelhuddin
"TIDAK akan lupa diri," itu janji Sofaz ketika ditemui sejurus selepas menerima trofi Artis Berkumpulan/Duo Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007, yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Kota Keriangan, Ahad lalu.
Sofaz melangkah lebih lancar dalam dunia nyanyian hanya selepas lima tahun menceburi arena seni suara. Jangka masa itu agak panjang jika hendak dibandingkan dengan peserta program realiti yang mengecap kemasyhuran tidak sampai setahun bergelumang dalam dunia seni.
Anugerah demi anugerah yang diterima sekali gus menyemarakkan semangat enam anak muda ini. Tahun lalu, nama Sofaz dijulang dalam Anugerah Planet Muzik (APM) di Singapura untuk kategori sama. Anugerah pertama yang diterima mereka bagai memberi petanda baik kepada karier Are Meer, Shah, Fairouz, One, Zimi dan Rodie.
Tahun 2008, nasib terus menyebelahi Sofaz. Di wajah mereka, jelas terpancar raut kurang percaya kerana mereka tidak berasakan Sofaz sudah cukup popular. Meniti pula senarai Top 5, Sofaz merasakan kedudukan mereka cukup jauh jika dibandingkan dengan Spider, Kristal mahupun Misha & Andy.
Kemenangan ini kata mereka umpama meringankan seketika perit jerih yang dilalui sepanjang lima tahun cuba membina nama. Menyingkap kembali pengalaman lalu, ia terlalu perit.
Masih mereka ingat, betapa sukarnya untuk memulakan langkah sebagai anak seni. Kerjaya terpaksa dikorbankan hingga kekeringan wang ringgit. Pada ibu bapa dan adik beradik terpaksa mereka meminta-minta dan mujur juga keluarga memahami.
"Lima tahun bagi kami, masih belum cukup lama dalam industri ini. Kami bukan hendak berlawan, bagi kami anugerah ini sebagai rezeki. Jika dikenang kembali perit jerih yang kami lalui, ia terlalu perit.
"Ketika baru menceburi bidang ini, Sofaz naik motosikal ke studio sambil mengusung gitar. Ada yang naik teksi, Are Meer pula sanggup berhenti kerja semata-mata hendak memberikan tumpuan lebih serius kepada Sofaz. Kami bersyukur sangat kerana usaha kami selama ini tidak sia-sia," kata One mewakili rakan yang lain.
Kemenangan ini juga sekali gus bermakna Sofaz tidak harus main-main dalam berkarya. Mengakui, anugerah bermakna mereka harus melipat gandakan lagi usaha kerana peminat sudah memberi kepercayaan. Justeru, kepercayaan yang dipertaruhkan itu harus diguna sebaiknya.
"Bukan setakat menghasilkan karya yang baik. Sofaz akan meningkatkan lagi usaha mendekati peminat. Tanpa mereka kami tidak akan sampai ke tahap ini.
"Sehingga kini pun kami masih lagi sukar mempercayai anugerah ini menjadi milik kami. Sofaz memang tidak mengharap langsung. Kami datang ke sini sekadar untuk berhibur. Jangkaan kami mungkin Spider atau Jinbara serta calon lain yang menang, apa pun kami sangat bersyukur," kata Are Meer.
Tanggungjawab yang lebih berat tidak mendatangkan tekanan buat mereka. Sememangnya mereka harus bekerja keras lagi, bukan setakat untuk menjadi penyanyi yang terbaik. Tetapi kerana mereka tidak mahu mempersia-siakan kepercayaan yang diberikan peminat.
Kata mereka, gelaran popular tidak akan menjadikan mereka lupa ataupun besar kepala. Malah, mereka bersedia menerima teguran seandainya ada yang merasakan mereka sudah berubah sikap.
"Jika satu hari nanti, kami alpa dan mula besar kepala. Tolonglah sedarkan kami, supaya kami tidak terus hanyut. Lagipun untuk apalah kami hendak besar kepala kerana selepas ini mungkin gelaran Artis Berkumpulan/Duo Popular menjadi milik orang lain pula," kata mereka.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


