Detik indah sepanjang hayat
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
MESKIPUN terasa janggal apabila pertama kali dikelilingi penyanyi, pelakon, pengacara, penyampai radio dan pelawak yang selama ini hanya ditatap di akhbar mahupun majalah, empat pemenang Peraduan Gemilang Bersama Bintang (GBB) tidak mungkin melupakan detik indah yang dihadiahkan Berita Harian.
Kesemua empat pemenang siri satu hingga empat peraduan itu, Farahwahida Mohd Zin, 30; Nurkhalilah Mohamad, 25; Zamri Che Ahmad, 24 dan Norazzmi Che Hat, 25, ketika ditemui sejurus berakhirnya acara gemilang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 berkata, mereka melalui pengalaman menakjubkan yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat.
Perasaan asing dikelilingi selebriti ditolak ketepi, sebaik melihat artis pujaan masing-masing saat menanti untuk berarak di permaidani merah. Kata mereka lagi, usaha ini harus diteruskan Berita Harian supaya pembaca lain juga berpeluang menyelami perasaan artis berjalan di permaidani merah.
"Pengalaman ini adalah satu kenangan yang tidak akan saya lupakan. Bukan mudah untuk mendapat peluang seperti ini. Ia meninggalkan satu pengalaman manis buat saya. Berita Harian harus meneruskan lagi usaha ini supaya pembaca lain dapat merasakan apa yang saya rasakan.
"Pada mulanya terasa janggal juga berjalan di permaidani merah. Maklumlah kita ini siapa jika dibandingkan dengan artis, tetapi apabila melihat lautan manusia yang menanti kemunculan artis di atas permaidani merah perasaan seronok mula menerjah.
"Cuma saya kecewa kerana tidak dapat bertemu artis pujaan, Datuk Siti Nurhaliza. Nasib baik saya berpeluang bertemu Fara Fauzana. Setidak-tidaknya ia mengubat kekecewaan saya," kata pendidik itu.
Nurkhalilah Mohamad yang datang jauh dari Kelantan pula berkata, kehadirannya ke Genting Kota Keriangan ternyata tidak sia-sia. Pengalaman menyeronokkan yang dilalui segera melenyapkan kepenatan berjam-jam menaiki bas untuk menyaksikan acara gemilang itu.
Namun sebelum tiba, pelbagai perasaan menerjah diri - takut, gemuruh dan pada masa yang sama teruja. Perasaan itu datang silih berganti. Takut dan gemuruh kerana banyak yang memerhati, sementara perasaan teruja pula terbit kerana dapat berjumpa dengan artis diminati.
"Ini adalah kenangan paling manis dalam hidup saya kerana berpeluang mendekati artis dengan lebih dekat. Peluang seperti ini bukannya datang selalu, Berita Harian wajar meneruskan usaha seperti ini," katanya yang manis dengan kebaya lace warna hitam.
Bagi dua jejaka, Norazzmi dan Zamri, mereka seakan-akan kelu lidah untuk berkata-kata. Barangkali terlalu seronok melalui pengalaman indah ini, hingga apabila ditemui mereka sukar menggambarkan perasaan itu tidak seperti ketika ditemui kala mencuba sut untuk ke acara kemuncak ABPBH 2007.
Norazzmi yang bertugas sebagai peguam berkata, dia terlalu seronok. Langsung tidak pernah terlintas di fikiran melalui pengalaman seperti ini.
"Terasa bagaikan selebriti pula apabila berjalan beriringan dengan artis di permaidani merah. Dengan pengalaman ini, sedikit sebanyak saya dapat melihat gelagat dan kehidupan artis. Lebih menyeronokkan kerana saya berpeluang bertemu dengan dua artis pujaan saya iaitu Dynas dan Fahrin," katanya.
Zamri pula berkata, dia cuba mengawal perasaan gementar dan bersikap normal. Namun yang mengejutkan Zamri ialah melihat orang yang terlalu ramai membanjiri kawasan permaidani merah. Zamri yang meminati penyanyi Anuar Zain tidak akan melupakan pengalaman ini.
"Seronok sangat kerana dapat berjumpa dengan artis pujaan saya. Selain itu, saya juga gembira kerana dapat merasai bagaimanakah perasaan artis berjalan di permaidani merah. Pada mulanya terasa janggal juga, tetapi lama-kelamaan perasaan itu bertukar menjadi seronok," katanya yang pertama kali dapat menyaksikan ABPBH secara langsung.
Pemenang GBB juga bakal menerima hadiah pakej percutian ke Bali tajaan POTO Travel & Tours selama lima hari empat malam untuk dua orang serta barang kemas Habib bernilai RM5,000.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


