Aura Mawi masih kukuh
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff; Serimah Mohd Sallehuddin; Farihad Shalla Mahmud
AURA penyanyi ini masih cukup kuat. Lalu, buat kali ketiga Asmawi Ani naik ke pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) untuk menerima trofi Bintang Paling Popular.
Peminat masih setia bersama jejaka berusia 28 tahun dari Johor ini, biarpun saat gemilangnya bersama Akademi Fantasia (AF) sudah dua musim berlalu. Namun, undian untuk pemuda ini nyata semakin susut. Jika pada 2005 Mawi menerima 351,570 undi dan 261,555 undian untuk tahun lalu, tahun ini Mawi hanya menerima undian sebanyak 119, 268.
Bagaimanapun, Mawi sendiri sebenarnya ada mengatakan, dia sudah bersedia untuk menerima apa saja keputusan yang datang. Menang mahupun kalah, dia menadah dengan tangan terbuka.
"Saya sebenarnya tidak pernah memikirkan untuk mengekalkan kemenangan. Saya tahu, semakin ramai artis baru yang mendapat tempat di hati peminat. Bagaimanapun, saya amat bersyukur apabila rezeki masih menyebelahi saya. Kemenangan ini pula tentunya menyuntik semangat untuk saya bekerja lebih keras, demi membalas balik budi peminat," katanya ketika ditemui selepas diumumkan Penyanyi Lelaki Popular dan Bintang Paling Popular ABPBH 2007, mengekalkan dua trofi dimenangi pada edisi ke-19 dan ke-20 anugerah itu.
Katanya, bagi membalas jasa peminat, dia berkemungkinan muncul bersama sebuah lagi album qasidah pada Ramadan nanti. Ketika ini, dia dan pasukannya sedang berusaha untuk mengumpul bahan terbaik bagi meneruskan kesinambungan kejayaan karier seninya, seterusnya menghadiahkan peminat sebuah album yang mampu menghiburkan semua. Mawi juga teringin untuk mengadakan konsertnya sendiri.
Mawi memberitahu, sebagai penyanyi, dia tidak mampu untuk menjangka berapa lama dia mampu bertahan di tempat teratas dan pada masa yang sama, dia juga enggan memikirkan sangat soal populariti. Kemenangan yang diperoleh pula, ujarnya, bukanlah dianggap beban, sebaliknya pemberian daripada Ilahi.
Berhubung hadiah yang dimenangi iaitu sebuah kereta Peugeot sumbangan Nasim Sdn Bhd dan set barang kemas Habib, kedua-duanya bernilai hampir RM350,000, anak muda ini berkata, dia belum terfikir mengenai kereta barunya itu, manakala barang kemas terbabit pula akan disimpannya sendiri.
Sehingga kini, Mawi sudah pun memiliki lima kereta dan sebahagiannya digunakan oleh anggota keluarga.
Diusik dengan gurauan mengapa tidak dihadiahkan saja koleksi indah Habib itu kepada teman wanitanya, Nora'asikin Rahmat atau lebih mesra disapa Ekin, Mawi hanya ketawa dan sekali lagi mengulang kenyataan dia akan menyimpan barang kemas berkenaan.
Beberapa jam sebelum acara kemuncak, Mawi sempat mengumumkan kepada wartawan, Ekin ialah wanita paling istimewa yang bertakhta di hati sanubarinya ketika ini. Pengumuman itu adalah yang pertama terbit daripada mulut jejaka ini, setelah sekian lama berteka-teki mengenai kedudukan sebenar perhubungan mereka.
Pada majlis minum petang anjuran Lord's Tailor, Mawi memberitahu sekumpulan wartawan, dia menyukai gadis senegerinya itu kerana perangainya yang `gila-gila', sikapnya yang matang serta keserasian mereka sebagai teman.
Begitupun, Mawi mahupun Ekin yang turut hadir pada majlis minum petang itu menafikan gosip mengatakan mereka kononnya akan bernikah pada Disember nanti. Mawi beranggapan, gosip yang disiarkan dalam Bintang Popular Ahad lalu itu hanya bersifat serkap jarang.
"Saya juga terkejut dengan cerita berkenaan kerana kami berdua belum pun membuat sebarang perancangan. Kami berdua juga belum bertunang," tegas Mawi sambil berkata, dia juga seperti insan biasa lain yang mempunyai rasa untuk bercinta.
Pada pertanyaan apakah dia kini bersedia untuk melamar Ekin, Mawi menegaskan, dia tidak berani untuk memberikan ulasan yang 'lebih-lebih' mengenai perkara itu. Namun jika jodohnya sudah tiba, dia tidak akan menolaknya.
Dia juga tidak menetapkan bilakah waktu atau umur terbaik untuknya mendirikan rumah tangga. Katanya: "Jika cepat, cepatlah jodoh saya dan kalau lambat pula, lambatlah nampaknya."
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


