Gelombang baru ABPBH 2007
Oleh Farihad Shalla Mahmud
BIARPUN keputusan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands malam kelmarin tidaklah begitu mengejutkan seperti mana keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang baru berlalu, namun ia tetap menyaksikan gelombang perubahan apabila beberapa nama baru bangkit untuk menggenggam trofi berprestij yang menjadi idaman ramai itu.
Bukan itu saja malah ada di antara keputusan yang diumumkan itu menyaksikan tumbangnya empayar penguasaan sesetengah kategori seperti Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular. Itulah yang berlaku apabila kata putus ditentukan peminat sendiri.
Siapa sangka nama seperti Rusdi Ramli, Dynas, Faizal Ismail dan kumpulan Sofaz mampu meyakinkan pengundi untuk menobatkan mereka sebagai antara yang popular walaupun mereka boleh dikatakan sebagai calon bukan pilihan untuk mengungguli kategori terbabit.
Sebagai contoh, kemenangan Rusdi Ramli sebagai pelakon Filem Lelaki Popular memang mengejutkan ramai pihak kerana bukan mudah pelakon ini menumbangkan nama besar lain seperti Afdlin Shauki, Saiful Apek serta Rosyam Nor yang diakui adalah `gergasi' dalam kategori ini.
Barangkali kemenangan Rusdi ini adalah satu mesej daripada peminat yang bukan saja inginkan populariti tetapi juga mereka mahukan pelakon yang mereka pilih itu menepati cita rasa mereka serta mempunyai mutu kerja yang bagus dan diakui, Rusdi memiliki kedua-dua kriteria itu. Begitu juga dengan Dynas yang memenangi Pelakon TV Wanita Popular.
Kemenangan pelakon tinggi lampai itu membuatkan Fasha Sandha kempunan untuk menggenggam trofi itu buat kali kedua berturut-turut. Malah dia juga berjaya mengetepikan calon lain yang tak kurang hebatnya seperti Rita Rudaini, Rozita Che Wan dan Siti Shahrizah (Eja).
"Memang tak jangka akan menang sebab saya fikir kategori itu menjadi milik Fasha. Apabila pengacara umumkan nama pemenang, saya tarik tangan Fasha suruh dia naik pentas. Tapi bila mereka kata saya yang menang, rasa tak percaya pula," kata Dynas yang menyifatkan anugerah yang dimenanginya itu sebagai rezeki perkahwinannya.
Fasha pula masih boleh mampu tersenyum apabila mengekalkan kategori Pelakon Filem Wanita Popular yang menyaksikannya mengetepikan Erra Fazira, Maya Karin, Vanidah Imran dan Sharifah Amani yang diakui kesemua mereka mempunyai peluang sama rata untuk menang.
Mungkin inilah hikmah yang dikurniakan buat pelakon jelita ini selepas melalui episod duka serta kontroversi kurang enak beberapa bulan sebelum malam kemuncak ABPBH menjelang.
Paling mengejutkan dalam senarai keputusan malam kelmarin adalah tumbangnya penguasaan Linda Onn untuk kategori Penyampai Radio Wanita Popular selama enam tahun berturut-turut apabila gelaran itu berpindah milik kepada Fara Fauzana. Biarpun sebelum ini pernah ada ramalan yang mengatakan penyampai radio Hot FM itu bakal merampas gelaran itu namun baru kini perkara itu menjadi kenyataan.
Fara bukan saja berjaya menewaskan `musuh ketatnya' dalam kategori terbabit tetapi dia juga pulang dengan bergaya apabila turut mempertahankan anugerah yang dimenanginya tahun lalu iaitu Pengacara TV Wanita Popular. Kejayaan Fara itu turut dikongsi bersama rakan setugasnya iaitu Faizal Ismail apabila penyampai berkepala botak itu turut dinobatkan sebagai Penyampai Radio Lelaki Popular.
Mungkin ada hikmah di sebalik penantian Faizal yang sebelum ini begitu kerap dicalonkan namun dia tetap tewas di tangan Halim Othman sehinggalah penyampai Sinar FM itu mengambil keputusan mengundur diri dari dunia penyiaran awal tahun ini barulah peluang untuknya menang terbuka luas.
Walaupun persaingan Faizal boleh dikatakan hebat-hebat belaka namun populariti yang dimilikinya sebagai pengacara Muzik-Muzik sedikit sebanyak membantu dirinya untuk merasai kenikmatan menggenggam anugerah itu ditangan sendiri.
Bintang Akademi Fantasia musim kelima iaitu Dafi dan Mila mendominasi kategori artis baru popular. Tidak dinafikan populariti kedua-duanya ini memang mencanak lebih-lebih lagi Mila yang begitu hangat dengan kisah cinta tiga seginya yang digembar-gembur media sebelum ini.
Dan Dafi pula, tuah wajahnya yang comel ditambah lagu nyanyiannya Bila Terasa Rindu yang cukup popular di corong radio turut menyumbang untuk peminat menobatkannya sebagai artis baru lelaki popular.
Masih utuh serta belum mampu dapat digugat sesiapa adalah Datuk Siti Nurhaliza dan kumpulan Rabbani.
Siti Nurhaliza terus membuktikan beliau masih penyanyi wanita yang masih sukar digugat apabila memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular untuk kali ke-11 berturut-turut. Ini menjadikan beliau antara penyanyi yang beruntung kerana walau apapun yang berlaku sama ada dilanda kontroversi liar serta berubah imej dan mengenakan tudung, sayang peminat terhadapnya tidak pernah pudar.
Biarpun kumpulan nasyid datang dan pergi, namun kedudukan kumpulan Rabbani tetap utuh apabila mereka dinobatkan sebagai kumpulan nasyid popular untuk tujuh tahun berturut-turut.
Sambil mengakui bersyukur dengan rezeki yang tuhan limpahkan pada mereka, Rabbani percaya setiap kejayaan tidak akan dapat dicapai dengan mudah andai tidak disertakan dengan usaha yang gigih dan diiringi doa pada yang maha kuasa.
Dan kemenangan Mawi untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Bintang Paling Popular sememangnya sudah dijangka kerana aura yang dimiliki pemuda dari Felda Taib Andak, Kulai Johor masih belum hilang walaupun tidak sehebat dua tahun lalu. Walaupun mengungguli kategori Bintang Paling Popular namun kalau diukur dari sudut undian, terlalu banyak bezanya.
Bagaimanapun, dengan jumlah undinya yang semakin merosot apakah ini bermakna populariti Mawi semakin hari semakin berkurangan, kita tunggu saja jawapannya nanti pada ABPBH yang akan datang.
Kemenangan lain yang tidak menunjukkan sebarang perubahan adalah kategori Pengacara TV Lelaki Popular yang masih menjadi mutlak Aznil Nawawi, pelakon Sheila Rusly menang mudah apabila dinobatkan sebagai Artis Wanita Komedi Popular untuk lima tahun berturut-turut, Saiful Apek juga kekal untuk kategori yang sama dimenanginya tahun lalu iaitu Artis lelaki Komedi Popular manakala Rosyam Nor terus gah dengan gelaran pelakon TV Lelaki Popular.
Sama ada suka atau tidak dengan keputusan yang diumumkan, pengundi sudah menyuarakan pilihan mereka. Bagi mereka yang merasakan kedudukan mereka selamat ketika ini, harus fikirkan semula kerana tidak ada yang bersifat kekal di dunia ini. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Kalau mahu nama terus kekal di ambang populariti, jauhkan kontroversi dan tingkatkan prestasi kerana peminat sekarang sudah bijak mengundi.
Komen Pemenang
"HALIM Othman pernah berkata kepada saya lima tahun lalu, satu hari nanti saya akan berada di tempatnya. Dia banyak memberi tunjuk ajar dan menyuntik keyakinan dalam diri saya. Bagi saya, nama saya hanya berada di celah mereka yang popular seperti AC Mizal dan Aznil Nawawi, langsung tidak terlintas untuk menang. Terima kasih kepada Seelan Paul kerana memberi peluang kepada saya, begitu juga dengan Fara Fauzana yang memberi peluang kepada saya menumpang di bawah namanya yang sudah melonjak tinggi."
Faizal Ismail - Penyampai Radio Lelaki Popular
"SAYA mengidamkan gelaran terbaik setelah enam tahun menyandang gelaran popular ini. Setiap kali menang, perasaannya berbeza-beza. Perasaan yang paling indah adalah ketika pertama kali menggenggam trofi ini. Saya mengharapkan supaya lebih ramai pelakon komedi dapat dilahirkan. Selepas enam tahun, tiba masanya untuk saya bergelar pelakon terbaik pula. Bagaimanapun, terbaik tidak semestinya popular. Saya mahu mengejar pengiktirafan yang terbaik satu hari nanti."
Saiful Apek - Artis Komedi Lelaki Popular
"SAYA dan Linda sudah berkata pada diri masing-masing sebelum ini, jika kami menang pada tahun ini, ia adalah rezeki. Bagi saya pula, jika kalah, maknanya saya perlu bekerja keras, manakala jika saya menang pula, saya mesti bekerja dengan lebih keras. Kemenangan sebagai penyampai radio pula sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada saya. Apatah lagi pasangan saya di konti, Faizal Ismail, turut menang pada malam ini. Pastinya, hakikat itu membuatkan `show' kami menjadi lebih susah."
Fara Fauzana - Pengacara TV Wanita Popular & Penyampai Radio Wanita
Popular
"KEMENANGAN ini bermakna saya harus melipat gandakan lagi kerja. Anugerah ini juga menjadi pembakar semangat buat saya untuk bekerja lebih kuat. Nampaknya peminat tidak pernah putus menyokong saya sejak masih berada di dalam Akademi Fantasia (AF6) sehingga kini."
Dafi - Artis Baru Lelaki Popular
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


