Muzik segar, persembahan mantap
Oleh Suzan Ahmad
BEZANYA antara penganjuran majlis anugerah lain berbanding Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) bukan saja ia adalah yang paling berprestij dan terbaik dari pelbagai sudut tetapi ia merangkumi tiga cabang industri hiburan - perfileman, muzik dan penyiaran - dalam satu acara, malah impak dari segi visualnya juga menjadikan acara edisi ke-21 ini cukup besar.
Demikian gambaran yang diberikan Pengarah Muzik ABPBH 2007, Ramli MS pada sesi raptai pertama persembahan untuk acara itu di bilik serba guna The New Straits Times Press (NSTP), Balai Berita, Khamis lalu.
"Sebagai seorang pengarah muzik, saya tidak suka persembahan yang menggunakan muzik yang diguna semula, terutama muzik yang besar impaknya kepada pendengar. Muzik perlu hadir dalam kesegaran, susunan baru, pendekatan baru dan sound baru," katanya yang perlu menggubah dan menyusun lapan lagu termasuk satu medley tribute kepada Allahyarham Loloq menerusi ABPBH kali ini.
Ramli mengakui, lagu ciptaan M Nasir dan lirik oleh Loloq, Kepadamu Kekasih sukar untuk di susun semula.
"Sulit juga kerana lagu ini selain begitu berbekas ia sudah sedia popular. Payah untuk setara pada irama, melodi muzik itu tidak boleh hentam keromo atau cincai saja sebab yang bakal menyanyikannya adalah artis ternama iaitu Ramli Sarip, Amy Search, Awie, Hattan dan Ella," katanya yang tidak mahu membunuh melodi asal lagu berkenaan selepas disusun semula.
Sesi raptai pertama itu turut disertai Mawi, Liza Hanim, Datuk Jalaluddin Hassan, Anuar Zain, Bob (AF2), Atilia, Amy, Awie, Ella, Hattan dan Ramli Sarip.
Kalau tahun lalu hanya 28 pemuzik orkestra mengiringi persembahan artis popular, kali ini 40 pemuzik termasuk pemuzik jemputan hebat seperti Steve Hassan Thornton, Fly (basis), Chobib, Genervie dan Arthur bakal menggemparkan Arena of Stars, Genting Highlands, bermula jam 9 malam ini.
Semangat yang diperoleh menerusi raptai saja sudah memadai untuk membuat penonton meremang bulu roma. Semua segmen, genre dan cabang industri itu bakal dipertontonkan kepada semua. Jika hiburan bergenre etnik kreatif dapat dirasai menerusi Mawi dan Heliza, pada segmen pop pula menampilkan Anuar Zain, Bob AF dan Atilia.
Jika anda mahukan impak vokal balada yang meruntun, dipersembahkan Liza Hanim menerusi lagu Merawat Luka tidak dilupakan, manakala segmen lagu indie atau alternatif menampilkan kumpulan Meet Uncle Hussein.
Apapun, peringatan awal untuk semua, ketika acara pembukaan oleh Datin Seri Siti Nurhaliza, pentas akan kosong khusus untuk memastikan ia dipenuhi kumpulan penari untuk berdansa bagi memanaskan suhu sejuk pada malam gemilang itu. Manakala acara penutup pula akan disempurnakan Ning Baizura.
Selain itu, jangan terkejut kerana, aktor berkaliber - Datuk Jalaluddin Hassan bakal mengejutkan tetamu dan penonton di rumah dengan mempersembahkan lagu Beautiful Maria diiringi penari jelita yang juga finalis ABPBH 2007 - Dynaz, Fasha Sandha dan Fouziah Gous. Bukan itu saja, setiap kali sesi berhenti rehat, penonton di Arena of Stars akan dihiburkan acara selingan oleh pelakon komedi popular, Zul Yahya sambil ditemani juara Raja Lawak Astro musim kedua, Nabil.
Info
MALAM KEMUNCAK ABPBH 2007
HOS
Ogy Datuk Ahmad Daud
Raja Azura
PERSEMBAHAN ARTIS
Datuk Siti Nurhaliza
Datuk Jalaludin Hassan
Ramli Sarip
Mawi
Fasha Sandha
Amy
Ella
Ning Baizura
Anuar Zain
Awie
Bob
Atilia
Dynaz
Fouziah Gous
Hattan
Liza Hanim
Heliza
Meet Uncle Hussain
PENYAMPAI TROFI
Datuk Yusni Hamid
AC Mizal
Afdlin Shauki
AG Hot FM
Anne Ngasri
Awie
Diana Danielle
Erra Fazira
Fauziah Latiff
Hans Isaac
Iqram Dinzly
Isma Halil Hamzah
Leya Hot FM
Nabil (Raja Lawak)
Ning Baizura
Noorkhiriah
Nora Danish
Noryn Aziz
Nurul
Rashidi Ishak
Rozita Che Wan
Sharifah Shahira
Syamsul Yusof
Zainal Din Zainal
Zul Yahya
Estranged
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


