Bagaikan mimpi
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
TIDAK pernah terlintas di fikiran guru dari Sekolah Kebangsaan Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, Farahwahida Mohd Zin, 30, untuk melewati karpet merah bersama artis popular tanah air dalam sesi perarakan masuk ke Arena of Stars, genting Highlands, malam ini.
Pemenang peraduan Gemilang Bersama Bintang (GBB) siri pertama itu adalah seorang daripada empat pembaca bertuah yang akan merasai pengalaman berjalan di karpet merah seperti mana dilakukan artis dalam sebuah acara anugerah, apatah lagi pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007.
Siapa yang tidak teruja dapat berjalan di atas karpet merah bersama artis popular dalam satu majlis berprestij yang dilimpahi cahaya kamera dan menjadi tumpuan ramai. Bukan semua orang berpeluang melalui pengalaman yang bakal dilalui Farahwahida malam ini. Dikelilingi dan bergesel bahu dengan bintang ternama bagaikan mimpi buat Farahwahida.
Farahwahida yang ditemui ketika sedang sibuk mencuba pakaian bakal diperagakan malam ini di gerai batik milik STR Sdn Bhd terletak di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, berkata perasaannya ketika itu cukup berdebar dan begitu teruja.
Katanya lagi, dia masih lagi tidak dapat membayangkan suasana serta pengalaman yang akan ditempuhi malamini kerana inilah peluangnya bertemu artis popular yang diminatinya seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi.
"Pengalaman ini akan menjadi satu peristiwa yang tidak akan saya lupakan sepanjang hidup. Saya tidak sangka rezeki berpihak kepada saya memandangkan hanya menghantar satu penyertaan saja.
"Saya tidak meletak sebarang harapan, kerana saya tahu beribu-ribu pembaca turut menghantar penyertaan. Selepas dihubungi Berita Harian, saya masih lagi sukar mempercayai dan bertanya kepada suami benarkah apa yang saya dengar," katanya yang akan membawa seorang rakan untuk menemaninya.
Menurutnya, inilah kali pertama dia menyertai peraduan GBB. Hatinya terbuka untuk menyertai peraduan ini kerana terpengaruh dengan promosi meluas terhadap ABPBH 2007.
"Saya sentiasa mengikuti perkembangan ABPBH sejak dulu termasuklah kisah siri jelajah promosi yang dipaparkan di akhbar. Saya ingin berterima kasih kepada Berita Harian kerana memberi peluang kepada kami golongan pembaca merasai sendiri pengalaman selebriti berjalan di karpet merah," katanya yang juga memenangi barang kemas tajaan Habib Jewels Sdn Bhd bernilai RM5,000 serta pakej percutian lima hari empat malam ke Bali untuk dua orang.
Selain Farahwahida, GBB turut dimenangi Md Amin Mohamad (kedua) dan Nora Hamid (ketiga). Pemenang siri kedua adalah Norkhalilah Mohamad, Ahmad Farih Mustamir Neguib dan Wirna Ilyana Mohd Arshad. Pemenang siri ketiga pula adalah Nor Razmi Che Hat, Mohd Ferdaus Sari dan Annis Fadzreen Mohd Razzib.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


