Tunggu jenaka spontan Raja Lawak
Oleh Zaidi Mohamad
KEHADIRAN Ahmad Nabil Ahmad, 25 dirasakan sangat tepat pada saat negara kita bagaikan ketandusan pelawak generasi baru. Menjuarai program Raja Lawak musim kedua yang telah bersiaran menerusi Astro Prima menjadi titik tolak kepada kerlipan bintangnya yang dijangka bersinar jika kena pada gaya dan landasannya.
Kehidupannya juga sudah tak seperti dulu. Nabil semakin dikenali dan mengecapi populariti hari demi hari. Yang pasti pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007, Ahad ini, Nabil menggalas tanggungjawab besar sebagai barisan penyampai anugerah di samping Zul Yahya dan Sharifah Shahira.
Mengakui bangga dan bertuah dipilih sebagai penyampai anugerah ABPBH 2007, Nabil juga memikul tugas melakukan lawak spontan bersama Zul Yahya sewaktu acara selingan ketika iklan komersial ke udara di kaca TV. Malangnya acara selingan itu hanya boleh ditonton oleh lautan manusia yang memenuhi ruang Arena Of Stars, Genting Highlands.
"Sejujur-jujurnya saya amat berasa bertuah untuk sama-sama memeriahkan dan menjayakan ABPBH 2007. Terima kasih kepada pihak ABPBH 2007 yang sudi menjemput saya untuk turut serta. Saya akan bergandingan dengan Abang Zul Yahya dan Kak Sharifah Shahira untuk menyampaikan satu kategori pada malam itu. Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, sudahlah dapat jadi penyampai diberi peluang pula untuk acara lawak selingan sewaktu `commercial break'.
"Tapi hanya yang menonton secara langsung ABPBH 2007 di Arena Of Stars saja yang dapat melihat aksi dan kelibat saya dan Abang Zul. Yang di rumah itu, tengok iklan sajalah. Kalau nak tahu apa corak persembahan kami pada malam itu, kenalah tunggu. Nak cakap sekarang, tiadalah kejutan pula nanti," ungkap Nabil dalam nada yang begitu teruja untuk beraksi di ABPBH 2007.
Sesuatu yang harus diakui bukan mudah membuatkan seseorang terusik dan ketawa, bimbang pula dikatakan syok sendiri. Bagi Nabil, dia memandang dari sudut positif untuk terus berkarya sekali gus menghibur khalayak dengan keletah lucunya.
Artis naungan Maestro ini juga menjadikan Jerry Seinfeld sebagai idolanya. Mempertaruhkan gaya stand-up comedy, Nabil mengambil contoh Jerry sendiri untuk memperluaskan genre lawaknya.
"Saya akui bukan mudah untuk menggeletek hati seseorang. Tak semua jenaka kita boleh diterima umum. Silap langkah dan percaturan, natijahnya terpaling balik kepada kita. Gentar juga dilabel sebagai syok sendiri.
Tapi sudah termaktub jalan ini yang saya pilih, saya harus tampil segar agar tidak terus muncul dengan lawak tempelan, slapstik mahupun terlalu klise. Insya-Allah, saya akan terus memberi persembahan yang terbaik. Doakan saya ya!
"Setelah dinilai, saya rasa jiwa saya lebih kepada gaya lawak bersifat `stand up comedian'. Melalui gaya itu, saya bebas menjadi diri sendiri melalui variasi penceritaan. Saya suka melihat persembahan Jerry Seinfeld yang mengetengahkan konsep komedi yang sama. Selain Jerry, saya juga mengagumi bakat semula jadi yang ada pada aktor, Afdlin Shauki," ujar Nabil yang dalam proses perbincangan untuk tampil dengan rancangannya sendiri di Astro Prima. Tajuk sementara program itu mungkin dinamakan sebagai Lu Pikir Laa Sendiri, yang juga `tagline' yang dipopularkannya.
Melihat posisi lain, tak mustahil kemunculan Nabil dilihat sebagai pelapis kepada pelawak popular negara, Saiful Apek. Enggan larut dek populariti yang mungkin melalaikannya, Nabil perlu akur yang dirinya harus utuh dalam memastikan hayatnya di persada seni terus berkerlip. Nasihat keluarga masih diingatinya.
"Saya tak pernah rasa kehadiran saya ini untuk menggantikan Saiful Apek atau sesiapa pun. Yang berlegar-legar di fikiran saya ialah untuk sama-sama bekerjasama dengan Saiful Apek dan pelawak yang lain.
Setidak-tidaknya kami dapat terus mewarnai dunia lawak di negara kita. Saya ada juga menonton program Gitu-Gitu Apek yang dikendalikannya. Saya menanam hasrat untuk bekerjasama dengan Saiful Apek, Afdlin Shauki, AC Mizal dan Adlin Aman Ramli (sekadar menyebut beberapa nama).
PROFIL
Nama: Ahmad Nabil Ahmad
Adik-beradik: Anak ketiga daripada tujuh beradik
Umur: 25 tahun
Asal: Mambau, Seremban, Negeri Sembilan
Idola: Jerry Seinfeld dan Afdlin Shauki
Program kegemaran: Jerry Seinfeld Show, Raja Lawak
e-mel: nabilw_tx@yahoo.com
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


