Anugerah beri impak besar
Oleh Zul Husni Abdul Hamid dan Zaidi Mohamad
Selebriti anggap ABPBH beri peluang pertingkat kerjaya
INDUSTRI hiburan tanah air saban tahun menyaksikan peralihan. Bersilih ganti nama menduduki puncak populariti namun tidak ramai yang mampu bertahan pada kedudukan teratas.
Tiada jalan pintas untuk mengecapi nikmati populariti, sebaliknya ia terbina hasil kerja keras bersandar kepada bakat dan karya yang diiktiraf pencinta seni. Hanya yang terbaik mampu bertahan, melepasi pelbagai bentuk cubaan dan ujian yang mencabar untuk terus bertakhta di hati peminat.
Oleh itu, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang diperkenalkan sejak 21 tahun lalu bagaikan medan ujian kepada penggiat seni untuk melihat sejauh mana hasil kerja mereka diterima peminat.
Akur populariti datang seiring dengan bakat, membolosi senarai Top 5 acara yang menyaksikan persaingan sengit saban tahun adalah penghargaan terlalu bernilai diberikan peminat untuk bintang pilihan mereka. Bagi mereka yang pernah menang dalam ABPBH, ia meninggalkan kesan cukup besar dalam meningkatkan populariti dan kerjaya masing-masing.
Bahkan tersenarai dalam Top 5 ABPBH juga sudah dianggap sebagai pencapaian cukup membanggakan kepada mereka.
Penyampai radio Era, Linda Onn yang pernah enam kali mengungguli kategori Penyampai Radio Wanita Popular sejak diperkenalkan pada ABPBH 2001, mengakui acara berprestij ini bertindak sebagai satu bentuk publisiti positif terhadap perkembangan kariernya.
Dicalonkan dalam Top 5 kata Linda, sudah memadai malah turut membuka ruang kepada gadis ini untuk lebih mendekati peminat menerusi siri promosi jelajah yang disusun penganjur.
"Kemenangan secara tidak langsung meyakinkan apa yang saya lakukan ini dihargai. Sebelum ini, saya sendiri kurang pasti apakah pendengar atau peminat menerima apa yang dipersembahkan kerana kerjaya sebagai penyampai lebih terarah kepada kerja di balik tabir,” katanya.
Enam tahun mengungguli kategori itu, akui Linda, rezekinya bertambah malah populariti juga membantunya untuk memperkembangkan lagi karier dalam cabang seni berbeza.
"Di negara ini, ada sesetengah pihak yang lebih mengutamakan populariti berbanding bakat kerana nama yang dicipta membantu mempercepatkan lagi proses memperkenalkan sesuatu produk.
"Namun untuk bertahan lama, populariti harus bergerak seiring dengan bakat. Kualiti penting kerana ia menjamin karier seseorang selebriti bertahan dan kematangan itu dilihat menerusi penganjuran ABPBH.
"Peminat tidak hanya menilai pilihan daripada sudut populariti semata-mata. Bakat juga menjadi kriteria penting dalam menentukan calon pilihan mereka,” katanya.
Finalis Artis Nasyid Popular, Raihan turut melihat populariti sebagai elemen penting yang menjadi lonjakan untuk mereka terus bertakhta di hati peminat.
Jurucakap kumpulan ini, Che Amran Idris berkata, populariti juga membantu memudahkan mereka untuk menyalurkan mesej menerusi lagu yang disampaikan dengan lebih berkesan dan tepat kepada kelompok pendengar sasaran.
"Populariti bukan saja perlu dipertahankan, sebaliknya ditambahkan lagi dengan elemen lain untuk terus mengikat hati peminat bersama kita. Selain memperkenalkan produk berkualiti, publisiti daripada media dilengkapi dengan imej bagus turut memperkemaskan kemunculan seseorang selebriti di mata khalayak,” katanya.
Begitupun, Che Amran mengakui populariti datang bersama tanggungjawab berat, apatah lagi selepas irama nasyid diterima dalam arus perdana, setiap aspek perlu dijaga.
"Barangkali tanggungjawab ini tidak terlalu berat untuk artis arus perdana kerana lagu yang dibawakan sedikit berbeza, berbanding Raihan yang sudah sinonim dengan lagu berimejkan keislaman. Imej yang dibawa perlu seiring dengan mesej yang disampaikan supaya masyarakat tidak memandang serong sekali pun Raihan sudah membolosi muzik arus perdana,” katanya.
Che Amran juga memuji usaha Berita Harian yang terus mengiktiraf artis nasyid dengan menyediakan kategori khusus kepada penggiat irama itu.
Baginya, hasrat murni yang dilakar Berita Harian itu wajar diteruskan kerana ABPBH membantu mendidik masyarakat supaya menghargai karya bercirikan keislaman.
Sheila Rusly yang pernah empat kali mengungguli kategori Artis Komedi Wanita Popular melihat pengiktirafan yang diterima hasil kerja keras selama lebih sedekad bergelar anak seni.
Katanya, populariti yang dibinanya itu bukan datang sekelip mata. Selepas melalui pelbagai episod yang menguji, malah pernah perjalanan karier seninya terhenti atas sebab tertentu, kepulangan semula ke arena seni dengan menetapkan kualiti watak sebagai kriteria utama memberikan pulangan yang berkesan kepada kerjaya lakonan Sheila.
"Pengiktirafan yang diberikan peminat mendorong saya untuk terus memberikan yang terbaik serta memenuhi kehendak mereka.
"ABPBH menjadi pembakar semangat, malah menggerakkan kreativiti untuk lebih berani mencuba dan mempersembahkan sesuatu yang berbeza kerana sebagai anak seni, saya mahu dikenali sebagai insan serba boleh dan tidak hanya terikat dengan sesuatu watak semata-mata,” katanya.
Bagi Rosyam Nor pula, beliau tidak menyangkal populariti yang dikecapi menyediakan platform terbaik untuk membina status, selain membuka ruang mempelbagaikan bakat dan memperluaskan rezeki sebagai anak seni.
Aktor yang sudah lapan kali mengecapi nikmat Pelakon Filem Lelaki Popular, tidak menafikan populariti penting apabila memilih bidang seni sebagai jalan hidup.
"Anugerah seperti ABPBH membantu menaikkan nama dan kerjaya saya. Lapan kali menyandang gelaran Pelakon Filem Lelaki Popular menyemarakkan semangat saya untuk terus berjuang dan memperkasakan kebolehan sebagai pelakon.
"Melihat kemunculan bakat baru, saya perlu akur akan putaran kehidupan anak seni. Tidak selamanya kita akan berada di atas kerana setiap kita mempunyai rezeki, peluang dan masa untuk menyinar.
"Dengan kehadiran mereka, sekurang-kurangnya kita ada pelapis yang bakal mewarnai lagi persada seni di negara kita,” katanya yang turut dicalonkan untuk ABPBH07 bagi kategori yang sama buat kali kesembilan.
Bagi penyampai radio dan pengacara TV popular, Fara Fauzana, kemenangan dalam ABPBH membantu memperkenalkan namanya dan radio HotFM.
"Tidak dinafikan kemenangan saya sebanyak dua kali bagi kategori Pengacara TV Wanita Popular memberi tempias khasnya kepada stesen radio Hot fm dan juga TV3 di mana saya mengendalikan Melodi.
"Ia boleh diumpamakan sebagai batu loncatan untuk saya terus dikenali. Ada juga peminat mengakui mereka mengikuti perkembangan daripada stesen radio terdahulu, malah apabila beralih ke Hot fm, kesetiaan mereka tidak berubah.
"Ada peminat yang dengar radio semata-semata mahu mendengar suara saya di corong radio. Justeru, saya tidak dapat menolak populariti penting untuk membina reputasi dan tapak yang lebih kukuh dalam bidang penyiaran.
"Saya bertuah kerana memiliki kerjaya menerusi dua medium iaitu radio dan televisyen untuk mengembangkan bakat saya. Saya tidak mampu memaksa peminat untuk terus meminati (mengundi) saya, sebaliknya saya akan terus berusaha memantapkan diri untuk terus kekal berada dalam liga seni hiburan ini,” katanya.
Edisi ABPBH 2007 menyaksikan Fara buat kali ketiga dicalonkan untuk dua kategori iaitu Pengacara TV Wanita Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


