Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
KALAU dihitung drama lakonannya belumpun mencecah jumlah 100 judul sepanjang 11 tahun bergelumang dalam persada seni, namun Siti Shahrizah atau Eja tetap memegang takhta antara pelakon wanita yang laris di kaca TV.
Bermula dengan drama Rahsia Demi Rahsia, lakonan Eja terus menyerlah menerusi drama Semakin Jauh, Kalau Itu Takdirnya, Kiranya Ku Tahu, Masih Ada Cinta, Mya Zara, Rama Rama Terkopak Sayapnya, Syawal, Sanggar Saadah, Cahaya Hati dan terbaru, Seputih Qaseh Ramadan.
Sambil tersenyum, Eja begitu anggun menggayakan koleksi Empress Habib Jewels bernilai hampir RM1 juta berkata: "Saya bersyukur kebanyakan drama lakonan saya begitu melekat di hati peminat. Kalau dihitung, tak sampai pun 100 judul drama yang saya lakonkan sepanjang 11 tahun bergelar anak seni.
"Sebenarnya saya berlakon tidak sekerap manapun, kalau pelakon lain mungkin sudah beratus-ratus drama dalam tempoh berbelas tahun, sebaliknya saya tidak begitu. Bagaimanapun, mungkin juga saya kerap muncul dalam drama yang menjadi bualan dan memberi kesan kepada penonton, jadi ramai yang menganggap saya laris di kaca TV."
Eja, 36, akui dirinya memang cerewet dalam memilih karektor. Faktor itu jugalah menyebabkan dia sering menolak tawaran lakonan drama sejak akhir-akhir ini.
"Saya mengingati kata-kata pengarah terkenal, Erma Fatima. Jika mahu kekal lama dalam industri seni, seseorang artis perlu memilih karektor berlainan. Saya percaya lama-kelamaan peminat akan bosan apabila saya hanya terikat dengan beberapa watak seperti wanita baik, teraniaya dan sering menangis.
"Jangan kata peminat, saya sendiri sebagai pelakon juga sudah bosan dengan watak-watak sedemikian. Kalau boleh saya tak mahu lagi melakonkan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Saya mahukan kelainan tetapi pengarah tidak berani memberi ruang kepada saya.
"Saya akui pernah rasa putus asa melihat skrip diberikan. Saya bosan dan mengambil tindakan berehat seketika untuk mengurangkan tekanan. Kalau dilihat beberapa tahun kebelakangan ini, saya banyak mengurangkan aktiviti lakonan dan memberi tumpuan pada keluarga," katanya yang mendapat tajaan rantai, cincin, subang dan rantai tangan Empress Habib Jewels yang diinspirasikan oleh koleksi maharani China yang indah buatan dan halus seninya.
Bantu bersih rumah kebajikan
EJA berkata, dia jarang dapat meluangkan masa dengan keluarga sejak membabitkan diri dalam dunia lakonan. Kesempatan berehat selama beberapa bulan daripada dunia lakonan memberi ruang buatnya menghabiskan masa dengan ibu bapa, adik beradik dan anak saudaranya.
"Selain bersama keluarga, saya juga mengambil ruang melakukan kerja kebajikan dengan membersihkan rumah kebajikan ketika saya bercuti. Sudah lama saya tidak menikmati hidup seperti orang lain dan semua yang saya lakukan ketika cuti begitu bermakna buat saya," katanya yang turut tercalon sebagai finalis dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007.
Akui Eja, dia bertuah kerana masih berada dalam liga popular sedangkan kehadiran pelakon baru yang bukan saja popular, tetapi berbakat dan mempunyai pengikut bagaikan cendawan selepas hujan turun.
"Dari usia dan kerjaya, saya sudah makin jarang muncul di kaca TV tetapi saya terharu peminat masih memilih saya antara senarai Top 5 dalam acara anugerah ini. Saya berterima kasih kepada peminat dan Berita Harian yang mencalonkan saya buat kali ketiga selepas saya merangkul Pelakon Wanita TV/VCD Popular ABPBH'04.
"Bagi saya, sudah tercalon dalam senarai Top 5 pun sudah dikira menang. Saya tidak mengharapkan apa-apa kerana saya tahu semua pencabar saya seperti Fasha Sandha, Dynas, Rita Rudaini dan Rozita Che Wan hebat dan memiliki peminat. Mereka juga dianggap bintang yang kini menyinari persada seni lakonan. Kalau menang sudah dikira bonus tetapi kalau sebaliknya saya tak kecewa. Saya pernah menang kategori yang sama sekali, jadi kalau boleh saya mahu dapatkan takhta pelakon terbaik pula," katanya.
Eja enggan dedah status diri
DITANYA mengenai statusnya yang masih jadi teka-teki, Eja hanya tersenyum. Soalnya semula, apa yang penting sangat mengenai status? Baginya, sudah tiada siapa yang berminat padanya yang kini sudah berusia 36 tahun.
Secara berterus-terang, duta produk kecantikan Forest' Secret itu akui dirinya tak pernah berkongsi soal peribadi dengan masyarakat umum selama terbabit dalam dunia persada seni. Bukan mahu berselindung tetapi dirinya tidak senang apabila soal peribadinya yang lebih menjadi perhatian berbanding kerjayanya.
"Saya berharap peminat dapat hormati prinsip dan pendirian saya. Saya tak suka pada kontroversi dan soal peribadi yang lebih dijaga berbanding kerjaya saya. Saya tak pernah kecil hati dengan tulisan wartawan mengenai peribadi saya, yang penting saya tidak menyakiti hati sesiapa.
"Apapun status, saya tak akan berkongsi dengan sesiapa. Saya juga mahu kerjaya saya yang bercakap dan bukan saya yang menggembar-gemburkannya," katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri Wadi Ulung arahan Raja Ahmad Alauddin terbitan Global Station Sdn Bhd.
Drama berkenaan menampilkan kelainan apabila Eja memegang watak Azrin, seorang gadis yang bersifat kelelakian.
Info Eja
Tahu, Tahta Hati, Tiga Dara Tan Tin Tun , Rindu Semakin Jauh, Masih Ada
Cinta, Wajah Kekasih, Cinta Semerbak Kayu Manis, Fitrah Khadijah, Dimata
Mu Aku, Dijiwa Mu Dia, Syawal, Kasih Syafikah Berbisiklah, Salam Datin
Sufi, Mencari Nur Khadijah, DNA Jasmin, Riben Merah Untuk Mama, Mencari
Arah Kiblat, Cahaya Hati, Talkin Terakhir, Bertaut Kembali, Mujahadah,
Mya Zara, Seputeh Qaseh Ramadhan, Bila Rama-Rama Terkopak Sayapnya, Sadiq & Co dan Bulan Bertemu Matahari
Hantar kepada kawan Format pencetak


