Oleh Suzan Ahmad
PASIR GUDANG: Lebih 7,000 peminat menyerbu Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, di sini semalam bagi menyaksikan artis pujaan masing-masing yang mengikuti Road Tour Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH2007).
Ia lokasi kedua terakhir siri jelajah itu, selain Kompleks SACC Shah Alam selepas berkunjung ke Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Melaka dan Johor Bahru sejak dua bulan lalu.
Malah, berakhirnya siri jelajah ini bermakna semakin terasa bahang acara kemuncak majlis anugerah berprestij itu yang dijadualkan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, 30 Mac ini.
Membuka tirai persembahan ialah artis naungan KRU Records, Adam yang mendendangkan dua lagu, Robot dan Hai, sekali gus menghiburkan peminat, yang ada di antaranya menunggu seawal jam 9 pagi.
Ini diikuti Royce yang tampil menyanyikan lagu Pulau dan Dua Kali Cinta sebelum finalis ABPBH2007 mengambil giliran membuat persembahan.
Road Tour ABPBH2007 di sini semalam turut dihangatkan dengan kemunculan deejay jemputan, Isma Halil Hamzah, sebagai pengacara selain menghiburkan penonton dengan lagu Jeritan Sahabat, Minah Kilang dan Bubuk Jawa. Penyanyi baru berbakat besar, Iqwal Hafiz turut menghiburkan pengunjung dengan Mentera Semerah Padi pada majlis itu.
Segmen hiburan diteruskan dengan Farah Asyikin yang juga finalis Malaysian Idol yang menarik perhatian peminat dengan menyanyikan lagu popular Agnes Monica, Tak Ada Logika dan Seribu Penipuan, diikuti kumpulan nasyid Mirwana dengan lagu Aku Tanpa Cintamu dan lagu baru, Jauh. Selepas itu, Jaclyn Victor menghiburkan pengunjung dengan Cepat Cepat dan No One.
Bekas peserta Akademi Fantasia 4, Diddy menyanyikan lagu Hilang, Lena dan Saling Terpesona secara duet bersama Mila, yang kemudian meneruskan persembahannya dengan lagu Bila Cinta dan Gila.
Raja Azura atau Kak Engku membawakan lagu Alang Alang dan Hati Terkunci. Tirai persembahan diakhiri dengan penyanyi rock Bard R1. Pengunjung juga bermesra dengan pengacara seperti Azwan Ali, Raja Azura dan tiga penyampai radio Hot FM - Faizal Ismail dan Farah Fauzana.
Peminat turut berpeluang memenangi barang eksklusif ABPBH07, selain menaiki kereta Peugeot yang juga penaja ABPBH2007 bersama artis popular, termasuk Aaron Aziz dan Zul Yahya.
Selain aktiviti cabutan bertuah, pengunjung juga berpeluang membawa pulang barang eksklusif Habib Jewels, penaja utama ABPBH07 dan barang eksklusif ABPBH2007 dengan menjawab soalan kuiz.
Penganjur juga menyediakan kotak khas di situ bagi peminat menghantar borang undian ABPBH07 sebelum tarikh tutup penghantaran hari ini.
Hadir sama di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang sebelum ke Kompleks SACC ialah Pengerusi Jawatankuasa Induk ABPBH2007 juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah, Pengarang Bintang Popular, Akmal Abdullah dan Penolong Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Habib Jewels, Yasheedah Yashaiya.
INFO
Acara untuk peminat
Hantar kepada kawan Format pencetak


