Kesabaran jadi kunci kejayaan Siti
Oleh Zubir Mohd Yunus
ANUGERAH Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) adalah satu-satunya anugerah dalam industri hiburan yang membabitkan peminat saja mengundi artis kegemaran mereka dan ia lebihmenjurus kepada kepercayaan peminat 100 peratus, demikian kata penyanyi nombor satu negara, Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin.
"Selepas Siti melaluinya dari tahun ke tahun apabila sudah bergelar Bintang Paling Popular sebanyak enam kali dan Penyanyi Wanita Popular sebanyak sembilan kali, ia lebih kepada kepercayaan peminat terhadap kerja seni dan bakat Siti. Ia juga bergantung kepada kegiatan yang kita buat, contohnya penghasilan albumdan produk yang berterusan. Tapi, dalam masa sama, Siti tidak dapat menjangka hayat nyanyian Siti bertahan selama mana.
"Contohnya dalam kategori Bintang Paling Popular, Siti akui Siti akan ada seorang pelapis suatu hari nanti. Siti tidak akan selamanya berada pada kedudukan itu. Siti pernah tewas di tangan Rosyam Nor, Saiful Apek dan Mawi. Namun, Siti rasa amat bertuah kerana menerusi kategori Penyanyi Wanita Popular, Siti masih diberi kepercayaan. Memang Siti tabik kepada peminat. Bagaimana peminat menghargai Siti, Siti turut menghargai mereka.
"Jika sebelum berumah tangga, mungkin banyak faktor lain yang mempengaruhi peminat menghargai Siti. Kini selepas berkahwin, mereka terus memberi sokongan, justeru memang Siti kagum dengan mereka. Siti harap peminat di Malaysia ini, menilai seseorang artis itu dari segi bakat dan bukannya keperibadian semata-mata. Tak kiralah kalau Mawi dah kahwin ke, sekiranya dia masih bagus dalam kerja seni, peminat masih boleh menilai kehebatannya.
"Sekiranya artis itu masih bertahan dari segi nyanyian, persembahan, lakonan, kerja amal, cita-cita yang baik, sepatutnya peminat terus menobatkannya sebagai yang paling popular. Sebagai artis, Siti melalui gosip, kontroversi, cabaran dan sebagainya dengan tenang serta sebijak-bijaknya. Tindakan kita turut mempengaruhi penilaian orang terhadap kita. Contohnya cerita negatif membuatkan kita melenting tak tentu hala, sedikit sebanyak orang menilai karektor kita, kita ni orang yang macam mana," kata Siti yang mengakui peminat di Malaysia terlalu sensitif.
Baginya, cara seseorang artis popular itu bercakap, tingkah laku dan hal peribadi turut mempengaruhi peminat. "Siti sendiri sudah melalui karier seni selama 12 tahun. Siti rasa `kunci' Siti ialah kesabaran dan tahu apa yang Siti buat. Apabila ada gosip yang teruk melanda Siti, Siti berpegang kepada satu, sekiranya tak betul, tak perlulah kita melenting. Marah boleh, kita ni manusia, tapi dalam landasan yang betullah, tak perlulah kita serang-serang orang. Tak perlu juga pergi kepada media, memperbesar-besarkan isu itu.
"Siti ada cara yang terbaik, kalau perlu berhadapan dengan individu berkenaan, berhadapanlah dengan tenang, tak perlu campur tangan media.
Selebihnya Siti banyak membiarkan semua itu berlalu. Benda yang tak betul, kalau kita beri komen, ia akan jadi besar. Sekiranya kita mendiamkan diri, perkara itu akan berlalu dengan sendiri. Kita berpegang pada adat ketimuran, bukanya seperti artis Barat, mereka lebih geram kontroversi yang boleh menaikkan nama mereka.
"Prinsip diri juga memainkan peranan. Apa yang Siti buat, bersederhana. Siti juga pernah dicemuh dari segi berpakaian suatu ketika dulu apabila orang kata Siti kekampungan. Namun, Siti memilih pakaian yang selesa, namun tetap mengikut arus yang sesuai.
"Bagi Siti, apa yang Siti kekalkan orang suka, itu sudah memadai. Siti tak pernah ganggu orang, tak pernah aniaya orang dan jangan cari musuh, itu paling penting. Ini antara perkara yang menyokong artis itu, tapi bagi Siti lebih banyak kepada penghasilan album dan kerja keras kita. Sampingan pula ialah keperibadian kita, paling utama kerja seni yang berterusan," katanya.
Tidak kecewa dengan andaian
SITI Nurhaliza juga mengakui sikap manusia kalau dia tak kenal, maka dia tak cinta. "Orang yang tak mengenal diri Siti, mereka akan membuat pelbagai andaian, tapi Siti tak pernah berasa kecil hati. Cuma sekarang Siti sentiasa memikirkan macam mana nak memberi semula kepada orang yang masih lagi mengharapkan persembahan Siti yang terbaik, album yang terbaik, itu lebih bagus.
"Kalau Siti memikirkan orang yang tak suka Siti, yang membenci Siti, menjatuhkan kita, macam mana kita nak hidup, nak kerja? Yang penting kerja harus dijalankan, rezeki tetap ada.
"Cinta Siti pada bidang seni, Siti terus tampil dengan album, show dan macam-macam lagi. Muzik dah jadi darah daging Siti. Mungkin suatu hari nanti, Siti akan slow down, tapi tak tahu lagi bila. Ketika itu mungkin Siti akan lebih memberi tumpuan kepada keluarga dan anak-anak.
"Sekarang peminat masih menerima kehadiran Siti dalam bidang seni, selagi itu Siti akan memberi sumbangan. Siti nak ucapkan syabas kepada Berita Harian kerana berjaya mengekalkan acara berprestij seperti ABPBH apabila tahun ini sudah memasuki edisi ke-21 penganjurannya, sekali gus memberi peluang kepada peminat mengundi artis yang mereka suka.
"ABPBH adalah satu acara yang sangat istimewa kerana ia merangkumi pelbagai cabang seni. Bukan saja nyanyian, tapi pelakon, pelawak, pengacara TV, penyampai radio dan sebagainya, itulah industri seni kita," katanya.
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


