Limpahan borang undian ABPBH 2007
BAHANG Anugerah Bintang Popular Berita Harian (AB PBH) 2007 semakin memuncak apabila borang undian peringkat akhir sudah dihentikan 19 Mac lalu. Kini, proses pengiraan undi yang diterima daripada pembaca sedang rancak dijalankan. Pusat pengiraan undi ABPBH 2007 di Balai Berita Kuala Lumpur menerima lebih 10 0,000 borang penyertaan sekali gus membuktikan tanda sokongan pembaca bagi penganjuran anugerah edisi ke-21 ini.
Pengiraan undi secara berkomputer, telus dan sistematik itu sudah dimulakan sejak 1 Februari lalu yang dilakukan 10 petugas khas.
Borang undian peringkat akhir disiarkan dalam Berita Harian/Berita Minggu sejak 23 Januari dan berakhir pada 19 Mac lalu. Bagaimanapun borang penyertaan masih diterima hingga hari ini (23 Mac) dan perkiraan akan diteruskan hingga 28 Mac ini.
Tinjauan di bilik pengiraan undi mendapati puluhan guni borang masih belum dibuka dan kerja pengiraan menjadi semakin rancak. Sehingga kini, penganjur menerima sebanyak 30 guni borang dan masih berbaki 12 guni belum dihabiskan pengiraannya. Untuk menyelesaikan pengiraan borang, petugas memulakan tugasan seawal jam 9 pagi terpaksa bersengkang mata hingga lewat malam.
Selain sibuk dengan tugas pengiraan borang undi, penganjur turut menerima banyak borang penyertaan yang dihantar dengan daya usaha kreativiti pembaca. Sememangnya ia sudah menjadi tradisi, borang yang memuatkan slogan menarik, unik dan kreatif selain kekemasan borang peraduan juga membantu dalam pemberian markah. Pembaca berhak meraih hadiah menarik yang ditawarkan penganjur.
Apa yang menjadi kebanggaan besar buat penganjur adalah daya usaha kreativiti yang dilakukan pembaca dalam menghantar borang undian menjadikan tahun ini adalah antara paling meriah. Pemilihan pemenang adalah berdasarkan konsep Undi dan Menang serta slogan mestilah berkisar mengenai calon atau pilihan dalam kategori Bintang Paling Popular.
Penganjur berpuas hati dengan penyertaan kali ini yang memperlihat bukan saja borang dihiasi indah dan nampak cantik tetapi slogan disertakan juga menarik dan kreatif hingga menyukarkan penganjur memilih yang terbaik. Antara hadiah utama menanti pembaca bertuah ialah kereta Peugeot 307 bernilai RM140,000 dan barang kemas Habib bernilai RM50,000, selain pelbagai barang elektrik JVC bernilai RM30,000.
Antaranya, dua set TV LCD bersaiz 32 dan 42 inci, masing-masing berharga RM2,999 dan RM7,999, selain empat unit camcorder berharga RM1,999 setiap satu; sebuah sistem teater rumah (RM1,69 9) dan dua set pemain DVD Hi-Fi (RM1,199 seunit).
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


