Sorok tocang di kem PLKN
Oleh Rozdan Mazalan
Anggota Kristal mengakui pengalaman itu begitu bermakna
SEHARI dihabiskan bersama-sama 430 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem PLKN Semenyih baru-baru ini tidak sama seperti mana tiga bulan yang dihabiskan pelatih ini. Namun sehari yang diperuntukkan untuk merasai sendiri nilai persahabatan yang terjalin antara mereka cukup bermakna buat empat anggota kumpulan Kristal ini.
Jika sebelum ini mereka dikenali dengan imej rock berambut panjang yang digilai ramai remaja, namun untuk memasuki PLKN ini mereka akur dengan arahan untuk menyembunyikan imej sebenar mereka.
Mereka tidak menduga akan turut merasai pengalaman berharga itu kerana sebelum ini tidak kesampaian berbuat demikian atas faktor umur.
Bagi vokalis mereka, Mohd Razlan Mohamed Yusof, 23 atau selesa digelar Lan, menyambut tawaran merasai sendiri pengalaman bersama pelatih PLKN suatu yang tidak pernah diduga.
“Apa yang mampu saya katakan program ini cukup bermakna buat saya kerana sebelum ini saya sentiasa mengimpikan untuk melalui segala aktiviti mengikut modul yang mereka lakukan di dalam kem ini.
“Setelah merasai sendiri ternyata sebenarnya pengalaman di dalam ini tidak sama dengan apa orang luar katakan. Saya dapat melihat peserta di sini begitu kuat hubungan sesama mereka yang tidak mengira bangsa, kaum dan agama.
“Mereka dilatih dengan nilai murni, mengenal diri sendiri dan mengutamakan disiplin dalam setiap perbuatan,” katanya yang sebelum ini pernah menganggotai persatuan Bulan Sabit Merah dan Kadet Polis di sekolahnya.
Gitaris, Rody atau Muhamad Rodi Baharuddin, 22 mengakui nasibnya kurang baik apabila tidak terpilih menyertai PLKN biarpun sepatutnya disenaraikan untuk kumpulan pertama.
“Sepatutnya saya digolongkan dalam kumpulan pertama PLKN diperkenalkan namun nama saya tidak disenaraikan pada tahun itu dan saya terlepas. Apabila diberi peluang kali ini saya teruja melihat peserta di sini dengan keadaan yang sangat selesa dan baik untuk memotivasikan diri sendiri.
“Jika sebelum ini kehidupan saya sebagai artis diselubungi dengan bunyi muzik yang bising dan sukar untuk mendapatkan ketenangan, namun di sini saya rasa terlalu aman dan selesa berada di sini,” katanya.
Bagi Izal pemain bass kumpulan ini pula turut berkongsi keseronokan berada di sini dengan pelbagai aktiviti lasak yang menguji fizikal dan mentalnya.
“Walaupun sehari namun saya rasa enjoy berada di sini. Sekiranya saya masih belum berkerjaya sudah tentu teringin untuk menyertai mereka. Namun sejak menjadi artis ini keadaan diri terlalu sibuk dengan persembahan ke seluruh negara.
“Tiga bulan terlalu lama memandangkan kami perlu memberi komitmen dalam kerjaya kami dan sehari di sini cukup berharga mengutip pengalaman yang akan kami simpan sampai bila-bila,” katanya.
Berbeza pula dengan pemain drum kumpulan ini Acap yang kini baru berusia 15 tahun. Pengalaman yang dapat dirasai di sini akan dijadikan panduan sekiranya dirinya tersenarai pada masa akan datang.
“Sebenarnya saya belum cukup umur untuk memasuki PLKN namun dalam usia muda ini saya dapat merasai pengalaman itu lebih awal. Kalau pada masa akan datang saya terpilih, sudah tentu saya akan pergi kerana ini adalah arahan kerajaan negara kita yang harus saya patuhi.
“Banyak kenangan di sini yang seronok untuk dijadikan pengalaman dan panduan yang boleh dijadikan iktibar memulakan hidup baru sebagai seorang remaja yang berwawasan,” katanya ketika detik manis menjalani penggambaran program Riuh@1 terbitan Luncai Emas Sdn Bhd untuk terbitan RTM1 di Kem itu.
Kristal yang turut dicalonkan dalam kategori Artis Berkumpulan/ Duo Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH2007) menganggap penganjuran ABPBH satu landasan terbaik berada di dalam industri hiburan.
“Jelajah promosi ABPBH2007 adalah langkah bijak untuk kami mendekatkan diri dengan peminat di seluruh negara. Inisiatif yang penganjur lakukan selain mempromosikan ABPBH sendiri adalah memperkenalkan kami kepada masyarakat dan peminat sekeliling dengan lebih dekat, sebab itu kami sudah membuat keputusan untuk mengikut ke semua destinasi ABPBH2007 kali ini kesemua negeri,” kata Lan yang akan menyertai roud tour ke Alor Setar, Kedah (14 dan 15 Mac), Pasir Gudang, Johor (21 dan 22 Mac) serta Shah Alam (23 Mac).
Hantar kepada kawan
Format
pencetak


