Oleh Rozdan Mazalan
Diddy dapat tawaran berlakon daripada Sheila Rusly ketika di Kota Bharu
REZEKI jejaka tampan Shamsul Hirdi Muhid, 23 atau lebih mesra disapa Diddy semakin bertambah. Sejak mengikuti ke semua destinasi jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang bermula 9 Februari lalu di Kota Bharu, Kelantan, sudah ada yang mula memandang dua kali wajahnya yang berpotensi untuk menjadi seorang pelakon.
Lalu tidak keterlaluan apabila bintang kelahiran Akademi Fantasia yang dicalonkan menerusi Artis Baru Lelaki Popular ABPBH tahun ini menganggap jelajah promosi itu menjadi batu loncatan baginya mendekatkan diri bersama peminat dan hubungan sesama artis lain.
“Menerusi jelajah ini saya bertuah kerana dapat berkenalan dengan lebih rapat dengan akan artis yang turut dicalonkan dalam ABPBH2007 terutama artis yang berada di dalam bidang lakonan. Antara yang pertama kali saya kenal dan bersembang ialah Maya Karin, Sheila Rusly, Fouziah Gous, Zul Yahya, Vanida Imran, Julia Ziegler, Dynaz dan ramai lagi.
“Inilah hikmahnya apabila bertemu secara tidak sengaja dengan Sheila di Kota Bharu baru-baru ini. Ia menjadi titik permulaan untuk saya memperkembangkan bakat dalam bidang lakonan.
“Alhamdulillah, pada mulanya saya diminta untuk menyertainya dalam program Citarasa Selebriti, lalu Sheila terus menawarkan tawaran untuk membintangi telemovie sempena sambutan Hari Ibu yang akan disambut tidak lama lagi. Saya menerimanya sebagai penghargaannya yang tak terhingga,” katanya yang ditemui sewaktu menjalankan rutin hariannya bersenam di Taman Tasik Titiwangsa, baru-baru ini.
Diddy yang sehingga kini masih lagi terkejut apabila namanya tersenarai dalam Top 5 anugerah itu dan mengenepikan puluhan nama lain tetap bersyukur dengan penghargaan peminatnya.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembaca Berita Harian kerana menyedari akan kehadiran saya dalam industri ini. Dicalonkan sebagai Top 5 cukup memadai dan beranggapan ini adalah satu kemenangan besar saya pada tahun ini.
“Sekiranya salah seorang daripada kami ditabalkan sebagai Artis Baru Lelaki Popular ia menjadi satu bonus. Tetapi saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk memiliki bonus ini,” katanya yang bersyukur di atas pencapaian peribadinya setakat ini.
Diddy yang sentiasa mengutamakan kesihatan dalam kehidupan sehariannya gemar menjadikan jogging sebagai aktiviti rutin.
“Ini adalah aktiviti paling kerap saya lakukan setiap hari. Biasanya saya akan keluar jam 5.30 pagi ke satu destinasi untuk berjogging dan saya akan mengambil masa selama 45 minit untuk mengeluarkan peluh. Cukuplah sekadar dua kali seminggu mengamalkan aktiviti ini kerana selebihnya saya juga turut menjadi ahli Celebrity Fitness.
“Sebagai penyanyi baru, persediaan fizikal dan mental amat penting dalam kerjaya saya sebagai penyanyi kerana saya mahu terus kekal dalam bidang yang saya cintai ini,” katanya.
Sementara itu, Diddy yang kini popular menerusi lagunya Hilang dan Sunyi bakal memperkenalkan single terbaru berjudul Genggam karya Audi Mok dan lirik oleh Imran bermula April ini.
Dia yang bernaung di bawah syarikat rakaman dan pengurusan artis F-tersix Sdn Bhd turut dilamar syarikat telekomunikasi terkemuka DiGi untuk menyertai mereka dalam projek jelajah negara, DiGi Superstar.
“Program ini akan dimulakan pertengahan Mac ini dan kami akan menjelajah ke tujuh bandar termasuk di Ipoh, Perak, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Sabah dan Johor Bahru,” katanya.
Info: Diddy
- Nama: Shamsul Hirdi Muhid
- Umur: 23
- Tarikh Lahir: 5 Oktober 1985
- Asal: Kuala Lumpur
- Tinggi: 180 sentimeter
- Berat: 73 kilogram
- Hobi: Bersenam, memandu dan mendengar muzik.
- Kerjaya: Penyanyi dan berlakon
- Teater: Lorong Blues (arahan Fauziah Nawi)
Hantar kepada kawan Format pencetak


